SACRAMENTO - Sejak dilancarkan pada November 2022, ChatGPT telah menjadi hit yang luar biasa dan sensasi internet.
Chatbot yang diperkaya di bawah program kecerdasan buatan (AI) itu berupaya menjawab soalan mudah hingga yang paling sukar, merangka esei, cerita fiksyen dan haiku, malah boleh menghasilkan surat permohonan kerja.
Rekaannya berpotensi menjadikan manusia lebih malas kerana tanya apa sahaja kepada ChatGPT, ia boleh memberi segala jawapan yang diperlukan walaupun sebahagian maklumat mungkin kurang tepat.
Program AI tersebut mengandungi berbilion perkataan yang diperoleh daripada sumber seperti artikel di laman web yang kemudiannya membina ayat berdasarkan kebarangkalian statistik iaitu mengikut perkataan atau teks yang pernah digunakan.
Jawapan yang diberikan pula ditulis dengan lancar walaupun terdapat sedikit kesalahan dari segi tatabahasa.
Teknologi itu dibangunkan firma penyelidikan OpenAI berpusat di San Francisco dan berdasarkan rekaan AI sebelum ini yang digelar GPT-3.
Fungsinya sama seperti teks ramalan (predictive text) pada telefon bimbit, namun berupaya memberi respons dalam bentuk ayat lebih panjang dan bukan hanya dengan perkataan tunggal.
Bos Twitter, Elon Musk berpendapat ChatGPT adalah scary good berikutan kebanyakan pengguna awal chatbot itu termasuk penuntut kolej menganggap ia sebagai ‘penyelamat’ untuk menyiapkan tugasan pada saat akhir.
Tidak seperti chatbot lama, ChatGPT direka untuk menolak soalan yang dianggap kurang sesuai dan tiada jaminan jawapan yang diberikannya adalah benar-benar tepat.
"Ia adalah sistem pertama yang benar-benar buat saya berasa teruja kerana ia dilatih untuk mempunyai pengetahuan yang lebih meluas,” kata Pengarah Penyelidikan Asas AI di Alan Turing Institute di London, Profesor Michael Wooldridge.
Gugat pendidikan tradisional
Chatbot serba tahu itu bagaimanapun mencetuskan kebimbangan terhadap ‘wabak’ penipuan dalam kalangan pelajar di sekolah dan universiti.
Sejak kebelakangan ini, golongan pengajar telah menzahirkan rasa kurang senang terhadap keupayaan ChatGPT yang mungkin disalah guna, malah ia turut mencetuskan perdebatan tentang masa depan pendidikan tradisional.
Bagi mengelak lahirnya golongan ‘pemalas’, Jabatan Pendidikan New York telah melarang penggunaan ChatGPT kerana bimbang dengan impak negatif terhadap sesi pembelajaran.
"Ia tidak membina kemahiran menyelesaikan masalah dan berfikir secara kritis walaupun alat itu boleh memberikan jawapan yang cepat serta mudah,” kata jurucakapnya, Jenna Lyle.
Beberapa universiti di Australia juga memaklumkan ia akan mengubah format peperiksaan untuk melarang sebarang penggunaan alat AI yang dianggap sebagai penipuan secara langsung.
Bagaimanapun, terdapat segelintir pihak dalam sektor pendidikan mengambil pendekatan lebih santai dengan membenarkan alat AI digunakan dalam kelas kerana ia bukan satu ancaman yang besar.
"ChatGPT adalah inovasi yang penting, namun fungsinya tidak lebih daripada kalkulator atau penyunting teks. Ia dapat membantu individu yang tiada idea untuk membuat draf pertama esei tetapi mereka masih perlu menulis sendiri dengan gaya bahasa lebih sesuai,” ujar pendidik, Antonio Casilli.
Penyelidik dari University of Nantes, Olivier Ertzscheid juga berpendapat guru wajar melihat kegunaannya dari sudut yang lebih positif.
"Guru boleh bereksperimen dengan menghasilkan teks dan menganalisis hasilnya bersama pelajar,” jelasnya.
Difahamkan, terdapat perisian di universiti yang dapat mengesan plagiarisme dan ada juga pihak mencadangkan idea watermark digital atau penanda lain yang akan mengenal pasti hasil kerja AI.
OpenAI juga memaklumkan ia sedang mengusahakan prototaip watermark statistik.
"Setiap kali alat baharu muncul, kita pasti akan khuatir dengan potensi ia mungkin disalah guna segelintir pihak. Tetapi kita sebenarnya boleh menggunakan teknologi tersebut untuk menjadikan aktiviti dalam kelas lebih menarik,” jelas Casilli lagi. - Agensi
INFO
Dalam tempoh lima hari selepas diperkenalkan kepada umum, ChatGPT sudah meraih lebih sejuta pengguna.
Chatbot itu dilengkapi ciri utama seperti menjawab soalan, menolak pertanyaan yang dianggap tidak sesuai dan boleh mengakui kesalahan sendiri.
Ia dilatih dengan sejumlah besar data teks yang membolehkannya belajar mengenali corak dan kemudiannya menghasilkan teks sendiri dengan meniru pelbagai gaya penulisan.
ChatGPT menawarkan respons lebih kreatif berbanding model bahasa sama dibangunkan syarikat gergasi teknologi, Meta iaitu alat bahasa AI digelar RoBERTa.
Ia boleh mengautomatikkan tugasan berulang seperti pengurusan media sosial dan membantu untuk menulis e-mel.
Klik di sini untuk terus membaca