SHAH ALAM - Pendedahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung RM3 bilion hingga RM4 bilion bocor ke parti dan tokoh tertentu, menjadi satu kejutan besar buat seluruh rakyat Malaysia.
Sehubungan itu Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Fazril Saleh, menggesa kerajaan dan pihak berkuasa bertindak segera terhadap pendedahan yang mengakibatkan negara kehilangan jumlah wang yang besar.
Jelasnya, kebanyakan rakyat mungkin pernah mendengar desas-desus menyatakan 'orang politik makan duit', namun kenyataan sebenar seumpama itu tidak pula dapat dipastikan sehinggalah Anwar sendiri membongkarkannya secara rasmi dalam Majlis Dialog Belanjawan 2023.
"Pendedahan yang dinyatakan oleh Perdana Menteri telah kenal pasti RM3 bilion hingga RM4 bilion boleh diselamatkan daripada bocor ke parti dan tokoh tertentu merupakan satu lagi pendedahan yang bagaimanapun masih sangat umum sebenarnya.
"Rakyat pasti tertanya-tanya, siapakah individu terlibat dan parti politik manakah yang melakukan perkara khianat tersebut?
"Untuk itu, kerajaan perlu bertindak menyiasat dan mendedahkan siapakah yang terlibat, seterusnya mendakwa pihak yang menyeleweng wang negara tersebut,” katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.
Anwar dalam majlis dialog Belanjawan 2023 di Putrajaya pada Selasa menegaskan Malaysia mampu menyelamatkan sehingga RM10 bilion kebocoran dalam sistem perolehan kerajaan sekiranya amalan rasuah dapat dihentikan di semua peringkat.
Mengulas lanjut Fazril berkata, pendedahan Perdana Menteri berhubung salah guna kuasa dan perbuatan rasuah melibatkan wang negara itu satu tindakan berani dan telus, sekali gus merealisasikan tekad beliau memerangi budaya jijik tersebut daripada terus menular.
Menurutnya, semua pihak harus menyokong penuh keberanian dan komitmen Perdana Menteri yang konsisten mengekang jenayah rasuah supaya tidak menjadi budaya dan sistematik, sehinggakan ia menjadi norma yang sukar diubah.
Untuk itu katanya, dalam konteks perolehan dan peruntukan negara, kerajaan perlu mengamalkan kaedah pembelian secara tender terbuka yang dilihat lebih profesional dan telus.
Jelasnya, perkara tersebut paling dinanti-nantikan oleh rakyat, ekoran teguran dan syor-syor setiap tahun oleh Jabatan Audit Negara seolah-oleh tidak diendahkan.
"Undang-undang sudah ada, penguatkuasaan sudah dilakukan, garis panduan dan piawaian sudah ditetapkan tetapi rasuah tetap berjalan.
"Maksudnya orang-orang yang tahu undang-undang juga tahu cara mengelak undang-undang, maka disebabkan itu rasuah terus berlaku secara sistemik.
"Namun Perdana Menteri telah memberikan komitmen tinggi beliau untuk terus memperkemas tadbir urus negara.
"Maka kami percaya, berdasarkan peruntukan kuasa yang dimiliki oleh Perdana Menteri, beliau mampu melaksanakan agenda memerangi rasuah di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (Pusat C4) turut senada mendesak agar kerajaan bertindak tegas ke atas pihak yang terlibat dengan isu kebocoran berbilion ringgit.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pusat C4, Pushpan Murugiah berkata, isu ketirisan dan kebocoran di dalam sistem perolehan negara sememangnya telah lama berlaku, namun tidak pernah didedahkan secara terbuka oleh pemimpin negara.
Namun begitu katanya, sekiranya disemak laporan Jabatan Audit Negara, terdapat banyak isu ketirisan yang dilaporkan berhubung tender dan projek yang dilaksanakan.
Ekoran itu menurutnya, Pusat C4 adalah antara NGO yang sudah sekian lama meminta penggubalan undang-undang perolehan, setelah perkara sama dibincang dan diumumkan dalam Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023.
"NACP adalah satu strategi utama bagi membantu mengurangkan isu kebocoran dan ketirisan yang berlaku di dalam sistem pengurusan perolehan negara.
"Oleh itu, kerajaan harus mempertimbangkan semula secara serius untuk merangka satu undang-undang perolehan yang konsisten dan telus.
"Bagi isu yang didedahkan oleh Perdana Menteri tentang ketirisan sebanyak RM10 bilion tersebut, Pusat C4 menyeru kerajaan supaya menyiasat secara telus dan bertindak mendakwa individu terlibat.
"Keputusan dan hasil siasatan berhubung isu besar ini seharusnya didedahkan kepada umum, sekali gus membolehkan orang ramai tahu perkembangannya dan mempamerkan ketelusan kerajaan dalam menangani isu rasuah,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca