SHAH ALAM - Badan bukan kerajaan (NGO) rasuah menggesa kerajaan dan pihak berkuasa bertindak dengan mendedah, menyiasat dan mendakwa parti politik serta tokoh tertentu yang menyebabkan negara kehilangan sehingga RM4 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, siasatan yang serius dan segera perlu dilakukan, kerana ia melibatkan kehilangan wang negara dalam satu jumlah yang besar.
"Pihak berwajib perlu menyiasat dan mendedahkan petualang di sebalik ketirisan ini.
"Kita ingin negara ini stabil, tetapi selagi petualang yang menghancurkan negara tidak disekat daripada melakukan kerosakan demi kerosakan, kerugian demi kerugian kita akan alami.
"Kasihankanlah anak cucu kita dengan hutang mencecah trilion dan ketirisan akibat rasuah, bayangkan di di mana kita pada 10 tahun akan datang,” katanya kepada Rasuah Busters di sini pada Rabu.
Pada Selasa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa beliau mengenal pasti ketirisan wang RM3 hingga RM4 bilion ‘bocor’ kepada parti dan tokoh tertentu.
Jelas Anwar, negara juga dapat menyelamatkan sehingga RM10 bilion kebocoran dalam sistem perolehan kerajaan sekiranya amalan rasuah dapat dihentikan di semua peringkat.
Dalam pada itu, Nurhayati berkata, masalah itu bermula dengan menyalah guna kuasa, menipu dalam pengisytiharan mahupun membuat tuntutan-tuntutan palsu.
"Mula-mula menipu sikit-sikit, lama-lama jadi berbilion, saya sarankan supaya pihak yang berkaitan harus berperanan bertindak menyekat dan menyelidik perkara ini bermula punca bagaimana boleh berlakunya ketirisan itu.
"Jika perlu tutup ruang-ruang rasuah, mesti tutup, jika perlu pecat, pecat. Jika perlu tukar sistem perlu tukar. Jalankan amanah kepada rakyat tanpa ada pilih kasih. Dalam erti kata lain cari punca, cegah, dan hukum supaya kejadian ini tidak berlaku lagi,” katanya.
Nurhayati menambah, negara juga memerlukan reformasi perundangan berkaitan, undang-undang pendanaan politik serta undang-undang perolehan.
"Reformasi perundangan ini perlu dilakukan segera kerana negara sekarang sedang dipertaruhkan,” katanya.
Heret dalang tiris wang negara ke muka pengadilan
Sementara itu, Pengasas Rasuah Busters Taiping, Dr Muhd Fadhil Nuruddin meminta pihak berkuasa segera mengheret parti dan tokoh tertentu yang menyebabkan negara kehilangan sehingga RM4 bilion, ke muka pengadilan.
Menurutnya, pendedahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu itu harus disusuli dengan tindakan drastik.
Katanya, rakyat mahukan tindakan segera selain dibimbangi mereka yang terpalit dengan isu itu cuba ‘melarikan diri’.
"Bawa segera mereka yang terlibat dalam isu ini ke muka pengadilan, tidak kira kawan atau lawan, ingat rakyat sedang memerhati,” katanya kepada Rasuah Busters di sini pada Rabu.
Menurut Muhd Fadhil, isu rasuah yang sentiasa ‘dihidangkan’ di negara ini, jika dilihat semakin membarah dan menyarankan supaya tindakan bersepadu diambil bagi menghentikan perbuatan jelik itu daripada terus berleluasa.
"Jika tiada usaha yang jitu, rasuah akan kian membarah, sekali gus menyebabkan timbulnya masalah-masalah lain,” katanya.
Terdahulu, Muhd Fadhil mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Rabu.
Dalam pertemuan itu, Muhd Fadhil dan delegasi saling bertukar-tukar pandangan berhubung isu rasuah yang kian membelenggu negara dan peranan yang harus dimainkan bagi menjayakan agenda Malaysia bebas rasuah.
Menurut Muhd Fadhil pertemuan itu akan mengorak langkah yang lebih proaktif bagi Rasuah Busters Taiping dalam merencana pelan strategik membasmi rasuah.
"Ke hadapan, kita akan mengetengahkan agenda antirasuah, kita rancang supaya gerakan kita ini lebih efisien dan efektif.
"Kita juga mahu lakukan agenda kesedaran antirasuah kepada masyarakat di Taiping dan kita akan buat secepat mungkin sebab kita lihat benda ini perlu disebarluaskan,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca