SHAH ALAM - Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mencadangkan agar tindakan pengisytiharan harta dimasukkan di bawah sistem Parlimen di dalam negara bagi memastikan ia benar-benar dipercayai dan telus. Presidennya, Jais Abdul Karim berkata,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mencadangkan agar tindakan pengisytiharan harta dimasukkan di bawah sistem Parlimen di dalam negara bagi memastikan ia benar-benar dipercayai dan telus.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, perkara itu perlu menjadi sebahagian daripada kandungan yang terdapat dalam upacara angkat sumpah dibacakan setiap ahli Parlimen ketika mereka mula menjawat jawatan tersebut.

"Pengisytiharan harta itu jika dilaksanakan di Parlimen, jika mereka menipu di situ dan ada bukti, maka mereka tergugur dengan sendiri sebagai ahli Parlimen.

"Mungkin dalam peraturan tersebut ada perkara yang memperuntukkan supaya mereka mengisytiharkan harta dalam tempoh tiga bulan selepas mengangkat sumpah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Jais berkata, langkah untuk melakukan pengisytiharan harta melalui Parlimen juga dilihat secara langsung membolehkan ia diakses kepada orang awam dan rakyat Malaysia.

Pada Selasa, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau sedang berbincang dengan pelbagai agensi termasuk SPRM bagi menetapkan parameter jelas berhubung aspek pengisytiharan harta agar lebih telus.

Pada masa sama, beliau turut mendakwa terdapat individu tidak jujur ketika mengisytiharkan jumlah aset sebenar yang dimiliki dan hanya bersandiwara dalam melaksanakan langkah berkenaan.

Mengulas lanjut, Jais mengakui terdapat kebenaran di sebalik kenyataan dikeluarkan Anwar itu memandangkan terdapat individu yang menggunakan atau ‘menumpang’ harta dimiliki kepada kroni atau keluarga.

"Mereka tahu kalau letak (harta) atas nama mereka, ia akan jadi isu kepada negara. Jadi amalan ini adalah satu perkara amat memalukan buat negara,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, langkah untuk menambah baik kaedah pengisytiharan harta kepada ahli politik di dalam negara itu adalah permulaan baik dalam meningkatkan lagi tahap integriti di Malaysia.

Dalam pada itu, beliau berkata, langkah meletakkan tanggungjawab menguruskan pengisytiharan harta kepada SPRM juga dilihat kurang berkesan dan hanya menambahkan beban kepada agensi tersebut yang mempunyai kapasiti agak terhad.

"Sebab SPRM pun sudah ada banyak tugasan yang saya lihat membebankan dengan isu kekurangan pegawai,” ujarnya.

PERLU ISYTIHAR SEMUA JENIS HARTA

Sementara itu, peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata,Ahli politik perlu mengisytiharkan semua jenis harta milik peribadi sekiranya langkah itu dimasukkan di bawah kerangka perundangan negara.

Katanya, ia termasuk setiap aset lain selain tanah dan wang tunai.

"Harta maksudnya segala benda yang dianggap harta. Kalau ada lukisan mahal, syiling lama yang dibeli, itu semua juga perlu untuk diisytihar,” katanya.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Mohamed Haniff berkata, ahli politik perlu melakukan pengisytiharan dengan telus untuk mendapatkan kepercayaan daripada pelbagai pihak termasuk rakyat.

"Kalau ada undang-undang sekali pun, mesti akan ada lompong dicari oleh pemimpin yang jahat untuk menjadikan hasil kekayaan mereka terselamat atau disorok daripada diisytiharkan,” ujarnya.

Tambah beliau, pengisytiharan yang dilakukan oleh sebilangan ahli politik adalah permintaan daripada parti atau kehendak sendiri.

"Ini bukan keperluan undang-undang melainkan apa yang diminta oleh undang-undang untuk mengisytiharkannya, contoh seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya.

BERI KUASA KEPADA SPRM

Timbalan Pengerusi Yayasan Anti Rasuah Malaysia Negeri Pahang, Ali Akbar Othman berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diberi kuasa menjalankan siasatan dan semakan harta kepada menteri kabinet.

Menurutnya, ia boleh diperluaskan lagi dengan memberi kuasa untuk membuat pendakwaan sendiri terhadap kes yang disiasat dan bukannya peguam negara.

Menurutnya, kuasa yang ada pada SPRM itu dapat memastikan kes rasuah diselesaikan dengan lebih telus, sekali gus mengelakkan kes tertangguh lama.

"Memberi kuasa siasat, semak dan pendakwaan kes kepada SPRM merupakan langkah permulaan untuk mengatasi masalah rasuah yang berlaku dalam negara ini.

"Jika hendak bagi kepada SPRM biar agensi itu buat dari mula hingga akhir, jangan separuh. Banyak kali kita dengar pada peringkat SPRM semua bukti ada namun didakwa ia mengambil masa lama,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ali Akbar turut mencadangkan agar siasatan dan semakan secara menyeluruh juga perlu dilakukan terhadap ketua jabatan.

"Ini kerana, mereka mempunyai kuasa untuk meluluskan sesuatu projek dan terdedah kepada jenayah rasuah.

"Jika dipantau masalah rasuah pasti dapat dikurangkan,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca