KEBELAKANGAN ini perkataan federalisme banyak kedengaran apabila berlaku geseran antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri. Semoga kesemua ini membawa hikmah untuk kita lebih mendalami penghayatan tentang konsep federalisme.... Klik di sini untuk terus membaca

KEBELAKANGAN ini perkataan federalisme banyak kedengaran apabila berlaku geseran antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri. Semoga kesemua ini membawa hikmah untuk kita lebih mendalami penghayatan tentang konsep federalisme.

Federalisme ataupun sistem persekutuan bermaksud kedaulatan dan kuasa dikongsi oleh kedua-dua kerajaan pusat dan kerajaan-kerajaan negeri, wilayah atau provinsi.

Ini sering berlaku apabila entiti-entiti yang kecil bergabung untuk menjadi sebuah negara yang lebih besar demi kelebihan dalam keselamatan, pentadbiran atau pembangunan ekonomi, tetapi tidak ingin kehilangan kesemua kuasa mereka.

Proses penggabungan yang memelihara autonomi dan perbezaan berlaku di semua benua termasuk di rantau Nusantara dari dahulu lagi.

Persekutuan yang pertama di tanah air bukan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang disatukan oleh British pada tahun 1895, tetapi Negeri Sembilan yang dibentuk oleh sembilan luak (negeri kecil orang Minangkabau) yang ketika itu merangkumi Kelang, Bera, Segamat dan Naning pada tahun 1773.

Kerana negeri-negeri dalam persekutuan boleh mengekalkan sebahagian kuasanya, maka dengan demokrasi, negeri-negeri boleh memilih parti-parti pemerintah yang berlainan hala tuju dan keutamaan sama ada sesama negeri ataupun dengan kerajaan Persekutuan.

Perbezaan antara negeri sering ditakuti akan menyebabkan negara berpecah atau dikuasai kuasa asing.

Akan tetapi, kekhuatiran ini yang membawa kepada pemusatan kuasa dan pembatalan autonomi negeri yang sering menghangatkan konflik antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri.

Dalam kes yang paling teruk, perang saudara berlaku seperti di Ethiopia di benua Afrika sekarang malah boleh menghancurkan negara sampai langsung hilang daripada peta dunia seperti Yugoslavia di tenggara Eropah.

Sebaliknya, pemencaran kuasa atau desentralisasi, jika dirancang dengan baik, boleh mengurangkan sentimen ketidakpuasan negeri-negeri yang dianaktirikan.

Ini yang berjaya memelihara kesebatian Kanada dan Belgium sebagai persekutuan daripada gerakan pemisahan.

Malah di sesetengah ‘negara unitari’ (yang kedaulatan tertumpu pada kerajaan pusat sahaja) seperti United Kingdom, Sepanyol (hanya di wilayah Basque) dan Indonesia, pemencaran kuasa berjaya melemahkan sentimen atau gerakan pemisahan.

Walaupun Malaysia pada namanya sebuah persekutuan, kuasa kita lebih dipusatkan berbanding dengan negara unitari seperti Indonesia.

Di Indonesia, provinsi (setaraf dengan negeri di Malaysia) dan kabupaten (setaraf dengan daerah/ jajahan/ bahagian di Malaysia, kerajaannya dipilih rakyat) kedua-duanya boleh berkongsi hasil cukai pendapatan.

Ini sebahagian besarnya ialah legasi ‘negara unitari’ Malayan Union yang dikekalkan dalam Persekutuan Tanah Melayu yang menggantikannya selepas tahun 1948 dengan kerajaan Pusat yang terlalu kuat dan kerajaan negeri-negeri yang berkuasa terhad dalam beberapa perkara utama seperti Islam, tanah dan kerajaan tempatan.

Pembentukan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963 tidak mengubah struktur asas ini tetapi cuma memberikan sedikit kuasa tambahan kepada Sabah dan Sarawak.

Dominasi ekaparti Barisan Nasional (BN) melemahkan lagi federalisme kita kerana kerajaan Persekutuan dapat mengawal negeri-negeri BN melalui mekanisme parti dan menganaktirikan negeri-negeri pembangkang dengan harapan rakyat atau wakil rakyat mereka akan bertukar parti.

Hari ini, 13 buah negeri dikuasai oleh lima gabungan yang berlainan iaitu PH (3 negeri), BN (2), PH-BN (2), PN (4), GPS (1) dan GRS-BN-PH (1).

Ini adalah perkembangan yang baik dan kerajaan Persekutuan mesti menghentikan amalan lapuk yang menyalurkan dana persekutuan kepada agensi persekutuan dan bukan kerajaan negeri.

Semua negeri mesti diberi layanan yang saksama jika kita inginkan Malaysia lestari.

Kalau dapat ikan tenggiri, Bolehlah dimasak kari; Hormati pilihan semua negeri, Layanan sama negara lestari.

* Profesor Wong Chin Huat ialah Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway.

Klik di sini untuk terus membaca