SEPERTI biasa, berita poligami akan menjadi tajuk utama di Malaysia.
Ia menjadi bahan bualan yang tak kunjung henti jika ada pula sedikit sebanyak perang mulut, lebih-lebih lagi jika melibatkan selebriti atau orang terkenal.
Dalam kalangan orang biasa pun, hal ingin berpoligami terutamanya bagi lelaki juga sudah menjadi topik yang tak pernah basi. Kaum hawa pun akan menjadikan kisah-kisah poligami sebagai topik menjengkelkan.
Mengapa secara umumnya wanita begitu antipoligami? Bagi lelaki, jika pun mereka tak berpoligami, tak semestinya mereka benci poligami. Cuma sama ada mereka mahu, atau sekadar berangan-angan sahaja.
Sebenarnya dalam psikologi, kisah konflik menambah pasangan ini selalunya banyak disebut dalam topik cemburu, atau jealousy.
Cemburu ini berlaku apabila seseorang yang lain telah dianggap sebagai ancaman kepada hubungan satu-satu pasangan.
Hubungan ini pula ada yang bersifat realiti, seperti mereka yang bercinta atau berkahwin. Tetapi, cemburu mungkin juga ancaman terhadap hubungan yang bersifat imaginasi sahaja.
Misalnya seorang lelaki yang bimbang 'kekasihnya' akan diambil orang lain, sedangkan 'kekasih' ini hanya sekadar kekasih gila bayang.
Dalam apa keadaan pun, lelaki dan wanita sama sahaja cemburunya.
Kajian psikologi selalunya menghubungkaitkan cemburu ini sebagai sifat semula jadi manusia.
Ia berasaskan kepada proses evolusi manusia itu sendiri yang ditandai dengan batasan tertentu. Seorang lelaki, secara umumnya berpeluang untuk mendapatkan anak sejak dari akil baligh sehinggalah masih ada kudrat.
Lelaki juga boleh memiliki anak yang ramai dalam tempoh masa tertentu, asalkan mereka mampu memiliki pasangan wanita yang banyak.
Semakin banyak pasangan, semakin banyak zuriatnya. Sungguhpun begitu, sehebat mana pun seorang lelaki, mereka tak boleh hamil dan melahirkan anak sendiri. Jadi mereka perlu ada pasangan wanita.
Wanita pula istimewa. Mereka mampu melahirkan zuriat. Jadi mereka selalunya dianggap sasaran yang terus diburu.
Tapi secara semula jadinya, mereka juga ada batasan yang lain. Dalam kitaran hidup selama mana wanita masih mampu hamil, satu bayi sahaja boleh dilahirkan dalam tempoh sembilan bulan. Atau secara puratanya seorang bayi bagi setiap tahun.
Tidak kiralah seberapa banyak pasangan lelaki yang mereka miliki, sebanyak itu sahajalah jumlahnya. Kecualilah jika melahirkan anak kembar. Itu hal yang jarang-jarang.
Sekurang-kurangnya, inilah asas utama fahaman ahli psikologi aliran evolusi ini menerangkan perbezaan lelaki dan wanita. Lelaki dan wanita ditakdirkan untuk saling memerlukan.
Profesor David Michael Buss daripada Universiti Texas, Amerika Syarikat mungkin antara ahli akademik yang seumur hidupnya mengkaji hal ini. Beliau kelihatannya tak seperti segelintir orang kita yang pandai semua perkara.
Pada tahun 1989 terbit satu kajian yang dilakukan terhadap 10,000 individu daripada 37 budaya, menunjukkan lelaki cenderung mencari wanita muda, dan wanita pula mencari lelaki tua, tetapi beza umurnya tak terlalu jauh ketara.
Tatkala lelaki cenderung mencari wanita cantik, wanita pula inginkan lelaki yang pendapatannya terjamin.
Agak terkini, kajian yang terbit sekitar dua tahun lalu yang dilakukan di 45 buah negara termasuk Malaysia juga menunjukkan dapatan yang hampir sama.
Jadi apabila muncul cerita yang sedikit panas setiap kali isu poligami ini muncul, realitinya itulah sifat semula jadi kita semua. Tatkala lelaki akan terus mencari pasangan yang muda, wanita pula mencari pasangan berusia dan stabil ekonominya.
Jika kita berpegang dengan prinsip ini, tentulah lelaki yang berusia yang mengidam wanita muda itu besar kemungkinannya sudah juga beristeri.
Wanita muda yang ingin mendapat suami yang boleh menjamin hidupnya itu pula boleh jadi anak dara sunti. Jadi kedua-duanya, secara psikologikalnya akan terus mencari.
Tapi sama ada poligami ini baik atau buruk, ia hal yang lain. Dan seperti biasa hidup ini penuh dengan risiko dan kemungkinan.
Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Tak sedikit yang tenggelam.
* Dr Mohd Awang Idris ialah pensyarah dan penyelidik dalam bidang psikologi di Universiti Malaya.
Klik di sini untuk terus membaca