SYABAS kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang menetapkan fokus utama tahun 2023 bagi kementerian beliau adalah melalui pendekatan berteraskan komuniti dengan sains dan teknologi digunakan untuk menyelesaikan masalah rakyat. Ini... Klik di sini untuk terus membaca

SYABAS kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang menetapkan fokus utama tahun 2023 bagi kementerian beliau adalah melalui pendekatan berteraskan komuniti dengan sains dan teknologi digunakan untuk menyelesaikan masalah rakyat.

Ini adalah satu pemikiran dan dasar yang sangat menyegarkan dan memberi harapan kepada rakyat. Kalau semua pemimpin meletakkan masalah rakyat sebagai fokus utama, saya pasti negara akan dapat membangun dengan lebih seimbang dan lebih cepat mencapai matlamat pembangunan lestari.

Inilah sebenarnya inti kepada pembinaan masyarakat madani yang cuba diterapkan oleh Perdana Menteri kita sejak 25 tahun yang lalu.

Apa maknanya kemajuan sains dan teknologi kalau rakyat merempat dan kebuluran. Tidak ada gunanya kalau kita ada teknologi membuat roket untuk membawa manusia ke planet Marikh kalau masalah banjir dalam negara tidak dapat kita selesaikan.

Sebab itu usaha Menteri MOSTI ini perlu diberi oleh semua. Malah pada pandangan saya sains dan teknologi tidak terhad untuk digunakan bagi menyelesaikan masalah bencana alam, kesihatan dan bekalan makanan negara sahaja. Ia perlu dilihat untuk menyelesaikan masalah-masalah lain juga.

Kalau tidak dapat menyelesaikan pun sekurang-kurangnya sains, dan dalam konteks ini semua sains termasuk sains sosial perlu digunakan dalam mengenal pasti permasalahan rakyat agar ada pembuktian daripada hasil penyelidikan yang dapat digunakan untuk membuat keputusan dasar.

Setidak-tidaknya sesuatu dasar itu dibentuk berteraskan bukti empirikal kajian dan bukan hanya kerana kehendak pak menteri. Jabatan Perangkaan Malaysia sejak beberapa tahun lalu sangat proaktif dalam menyediakan infografik yang memberi data dan maklumat statistik kepada rakyat.

Terkini mereka sudah mewujudkan satu laman web di mana pelbagai papan pemuka dengan berbagai data disediakan secara terbuka untuk orang awam di open.dosm.gov.my.

Saya harap semua rakyat, wakil rakyat dan kakitangan kerajaan menggunakan laman web ini untuk mereka bertindak dengan lebih efektif.

Semasa saya membantu negara menyediakan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) dahulu, kami menggunakan bukti empirikal daripada hasil kajian berteraskan data dan maklumat yang sahih untuk menyediakan pelan tersebut.

Kami juga menggunakan data daripada aduan sebenar yang diterima Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia antara tahun 2013 hingga 2018 untuk kami fahami permasalahan yang mendepani kita.

Malah kami juga menggunakan teknologi foresight untuk melihat segala kemungkinan yang bakal menimpa negara terutama dalam konteks teknologi masa depan.

Bayangkan dengan teknologi kecerdasan buatan (AI), Blockchain dan robotik, jenayah kolar putih dan rasuah juga akan menjadi lebih sofistikated.

Soalnya adakah agensi-agensi penguatkuasaan dalam negara sudah menyediakan diri mereka dengan teknologi terkini bagi memastikan penjenayah tidak terlepas daripada jenayah mereka hanya kerana mereka licik mengaburi mata kita dengan menyembunyikan jenayah mereka di sebalik teknologi?

Teknologi jangan disalahgunakan, terutama dalam usaha-usaha penipuan dan merosakkan dunia, sebaliknya digunakan untuk kebaikan manusia sejagat.

Saya juga masih ingat tentang satu projek penyelidikan yang saya usahakan di Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2009 yang diberi nama KITA-MESRA.

Penyelidikan ini adalah satu usaha untuk mengenal pasti pola hubungan kaum di Malaysia. Salah satu hasil penting kajian ini adalah satu papan pemuka yang saya bina agar dapat membaca secara visual data kajian mengikut lokasi di atas peta negeri secara ‘masa nyata’.

Papan pemuka ini dibina sebagai usaha untuk kita memantau tahap hubungan kaum agar jika berlaku sebarang perselisihan antara kaum, kita dapat membacanya lebih awal dan menyelesaikannya di lokasi kejadian sebelum ia merebak ke seluruh negara.

Meraikan semangat Menteri MOSTI, mungkin Menteri KDN dan Menteri Perpaduan dapat menggunakan sistem amaran awal seperti KITA-MESRA untuk menjaga keharmonian dan kesepaduan sosial rakyat Malaysia.

Apa yang penting adalah kita gunakan sains dan teknologi untuk membangunkan Malaysia sambil memakmurkan rakyatnya.

* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff adalah Felo Utama di KITA, UKM. Beliau pernah menjadi Presiden Institut Integriti Malaysia, dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM.

Klik di sini untuk terus membaca