SHAH ALAM - Malaysia perlu segera mewujudkan kem pelarian khas bagi menempatkan etnik Rohingya sebagai mesej jelas bahawa kehadiran mereka tidak dialu-alukan di negara ini. Peguam, Norman Fernandez berkata, langkah itu pernah di lakukan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Malaysia perlu segera mewujudkan kem pelarian khas bagi menempatkan etnik Rohingya sebagai mesej jelas bahawa kehadiran mereka tidak dialu-alukan di negara ini.

Peguam, Norman Fernandez berkata, langkah itu pernah di lakukan negara pada tahun 1990-an dengan menempatkan pelarian Vietnam di kem sementara di Pulau Bidong, Terengganu.

"Jika kita lihat kerajaan Bangladesh dan Indonesia, mereka mengambil tindakan tegas dengan menahan semua pelarian Rohinya serta menempatkan mereka di sebuah kem sementara.

"Tindakan tegas itu memberikan mesej jelas kepada pelarian Rohingya bahawa mereka bakal ditempatkan di kem pelarian dan tidak boleh bergerak bebas jika mereka datang ke Malaysia nanti.

"Jadi tidak berbaloi untuk pelarian Rohingya mempertaruhkan nyawa dan membelanjakan sejumlah wang untuk menaiki tongkang menerusi jalan laut untuk membolehkan mereka datang ke Malaysia semata-mata untuk memasuki kem pelarian," katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.

Justeru itu, Norman menegaskan, sudah tiba masanya kerajaan mengambil tindakan lebih tegas bagi menangani masalah kebanjiran pelarian etnik Rohingya di Malaysia tanpa memikir sentimen negara luar.

Kumpulan pelarian Rohingya yang berjaya mendarat di Aceh pada Disember lalu.

Jika tiada sebarang tindakan drastik, Norman percaya isu kehadiran etnik Rohingya tiada kesudahannya sehingga kelangsungan hidup mereka di sini bakal ditanggung kerajaan.

"Sebaliknya, jika kumpulan etnik Rohingya ditempatkan di kawasan penempatan sementara mungkin ada negara ketiga akan tampil untuk mengambil sebahagian pelarian untuk ditempatkan di negara mereka pada masa depan.

"Bagaimanapun ketika ini tiada negara yang enggan mengambi etnik Rohingya ini kerana negara luar melihat mereka bebas membuat apa sahaja antaranya bekerja apabila masuk ke Malaysia," katanya.

Selain itu katanya, kerajaan perlu berpendirian tegas menutup Pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk mengatasi masalah ini.

Beliau berkata, kerajaan boleh mengambil tindakan tegas itu kerana Malaysia tidak pernah menandatangani dan meratifikasikan Konvensyen Pelarian 1951 di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), selain sudah memberikan mereka banyak kelonggaran dan tempoh masa lama untuk mereka berhijrah ke negara lain.

"Jika ada kumpulan hak asasi manusia yang masih bising dengan cara kerajaan Malaysia menangani pelarian Rohingya, kita patut minta mereka berunding terus dengan negara penerima bagi membolehkan kumpulan pendatang haram berkenaan dihantar ke sana," katanya.

Agensi pelarian PBB menyifatkan pelarian etnik Rohingya sebagai minoriti paling teraniaya di dunia kerana ratusan etnik yang dianiaya di Myanmar itu, telah maut atau hilang ketika cuba melarikan diri dari tindakan keras junta menuju ke negara jiran, Bangladesh.

UNHCR pada Selasa menyatakan lebih 3,500 etnik tersebut cuba melarikan diri dari Myanmar dengan merentas laluan laut pada 2022.

Kenyataan UNHCR itu bagaimanapun mendapat reaksi negatif dari rakyat Malaysia kerana kehadiran etnik Rohingya ke dalam negara lebih banyak mengundang pelbagai masalah.

Dalam pada itu, Norman menegaskan, masalah utama dihadapi kerajaan untuk menghantar pulang etnik Rohingya adalah kerana kerajaan Myanmar enggan mengakui pelarian terbabit adalah sebahagian daripada rakyatnya.

"Masalah kedua ialah semua 57 negara yang menganggotai Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) termasuk Malaysia tidak bersedia untuk menjadi negara ketiga bagi menerima kehadiran pelarian Rohingya.

"Ketiga, negara barat pula tidak berminat menjadi negara penerima kedatangan etnik Rohingya kerana kedatangan kumpulan pelarian berkenaan tidak menguntungkan mereka, selain bakal mengundang pelbagai masalah sosial dan menjadi beban kekal kepada negara terbabit, termasuk isu 'Islamofobia' atau ketakutan tidak logik kepada Islam," katanya.

Tambah, Norman, keadaan menjadi bertambah buruk apabila terdapat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hak asasi manusia, yang mula memainkan peranan menjadi 'bapa angkat' dan menghulurkan pelbagai bantuan kepada etnik Rohinya.

Agensi pelarian PBB menyifatkan pelarian etnik Rohingya sebagai minoriti paling teraniaya di dunia.

"Mereka tahu pelbagai cara untuk membolehkan pelarian Rohinya boleh terus menetap di Malaysia sebagai contoh sekiranya pelarian wanita Rohinya mempunyai seorang anak dilahirkan di sini,maka kerajaan tidak boleh dihantar pulang ke Myanmar atas prinsip undang-undang.

"Jika mak dan anak tidak boleh dihantar pulang ke Myanmar, maka suami pun sama. Jadi mereka boleh kekal dan meneruskan kehidupan di sini selamanya. Anak itu menjadi jaminan untuk mereka terus kekal dan sebab itulah satu keluarga mempunyai antara dua hingga 10 anak.

"Oleh itu, saya berpandangan kerajaan Malaysia perlu berani mengambil drastik segera menutup operasi Pejabat UNRCR bagi mengekang kebanjiran pelarian Rohinya di negara ini, pada masa depan," katanya.

Selain itu, Norman berkata, faktor lain kebanjiran etnik Rohingya di Malaysia adalah berpunca daripada tindakan negara menghantar mesej salah kepada kumpulan pelarian bahawa mereka dialu-alukan datang menetap di sini.

Beliau berkata, rakyat Malaysia pula terlalu ke hadapan menunjukkan keprihatinan terhadap pelarian Rohingya sekali gus menyebabkan mereka menyasarkan untuk datang ke sini.

"Etnik Rohingya tidak menyasarkan Indonesia kerana enggan tinggal di kem pelarian dibina khas untuk pelarian di sana.

"Jika mereka tersadai di Acheh sekali pun, mereka tetap mahu datang ke Malaysia kerana layanan istimewa diberikan termasuk kebebasan bergerak, bekerja, berniaga, berkahwin, menikmati pelbagai kemudahan asas dan melakukan apa sahaja yang mereka mahu sama seperti rakyat tempatan," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca