SHAH ALAM - Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menyifatkan laporan pekerja di negara ini yang dijangka menerima pelarasan gaji sehingga 20 peratus bergantung kepada industri itu adalah agak tinggi. Menurut Presiden MEF, Datuk Dr... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menyifatkan laporan pekerja di negara ini yang dijangka menerima pelarasan gaji sehingga 20 peratus bergantung kepada industri itu adalah agak tinggi.

Menurut Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, kebanyakan majikan di Malaysia tidak mampu untuk menyerap peningkatan kos berkenaan terutamanya apabila tahun ini dijangka lebih mencabar bukan sahaja dalam negara, tetapi di seluruh dunia.

"Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia juga dijangkakan lebih perlahan untuk tahun 2023 pada kadar tiga hingga empat peratus.

"Keadaan ekonomi dunia sudah menunjukkan tanda-tanda kemuraman dan ada syarikat-syarikat gergasi dunia telah mengumumkan pemberhentian kerja,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Akhbar ini pada Rabu melaporkan pekerja di negara ini dijangka menerima pelarasan gaji antara tiga hingga 20 peratus bergantung kepada industri, dengan industri pertumbuhan tinggi seperti teknologi dan pembuatan bakal menyaksikan perubahan lebih besar dalam struktur gaji dalaman.

Laporan Pasaran Pekerjaan dan Trend Gaji 2023 yang diterbitkan oleh syarikat perkhidmatan sumber manusia terbesar dunia, Randstad dalam laman webnya memberitahu bahawa kenaikan kos sara hidup dan peningkatan inflasi di Malaysia memberikan kesan terhadap kemampuan rakyat untuk membiayai barangan keperluan serta gaya hidup.

Dalam pada itu, Syed Hussain menambah, laporan daripada pihaknya pada tahun 2022 mendapati 75 peratus majikan akan memberikan kenaikan gaji kepada pekerja eksekutif dan bukan eksekutif pada tahun ini.

Ujarnya, 90 peratus daripada majikan berpandangan prestasi pekerja merupakan kriteria yang paling utama dalam menentukan kenaikan gaji selain daripada keupayaan syarikat untuk membayar (74.5 peratus) dan amalan pasaran (66.2 peratus).

"Dari segi unjuran kenaikan gaji untuk 2023, tinjauan Laporan Gaji Eksekutif dan Bukan Eksekutif MEF 2022 menunjukkan kenaikan 5.44 peratus bagi eksekutif dan 5.43 peratus bagi bukan eksekutif.

"Berdasarkan laporan ini, industri yang dijangka memberikan kenaikan gaji yang tinggi kepada eksekutif pada tahun 2023 didahului industri teknologi maklumat dan komunikasi (9.40 peratus), industri bukan logam atau galian (8.79 peratus) dan farmaseutikal (6.86 peratus),” katanya.

Jelas beliau, bagi kategori bukan eksekutif, industri menawarkan kenaikan gaji yang lebih tinggi adalah industri bukan logam atau galian (10.21 peratus), logistik dan pergudangan (7 peratus) serta farmaseutikal (6.86 peratus).

Klik di sini untuk terus membaca