SERING kita mendengar banyak berita negatif tentang Taliban, kononnya Taliban tidak membenarkan penggunaan media sosial.
Ogos tahun lalu, Pihak Berkuasa Kawal Selia Telekom Afghanistan (ATRA) melaporkan Taliban telah memusnahkan 28 menara telekomunikasi di seluruh negara itu.
Insiden tersebut berlaku sekalipun Taliban pernah berjanji memastikan akses internet kekal aktif di negara tersebut.
Begitu pun, penulis tertarik dengan berita disiarkan British Broadcasting Corporation (BBC) pada 17 Januari lalu.
Taliban dilaporkan telah melanggan aplikasi berbayar blue ticks (tanda biru) pada akaun Twitter.
Perkembangan terkini jelas begitu kontras dengan imej negatif Taliban sejak kembali berkuasa di bumi Afghanistan bermula 15 Ogos tahun lalu.
Khabarnya dua pegawai penting Taliban iaitu Ketua Jabatan ‘Akses Maklumat’, Hedayatullah Hedayat dan Ketua Pemantau Media di Kementerian Penerangan dan Kebudayaan, Abdul Haq Hammad kini memiliki ‘tanda biru’ akaun Twitter.
Hedayatullah dikatakan mempunyai 187,000 follower (pengikut), manakala Hammad pula 170,000 pengikut pada akaun Twitter masing-masing.
Penulis meneliti banyak laporan media khususnya dari negara jiran seperti Indian Express.
Sejak kembali berkuasa dan menguasai Kabul, Taliban mula mengikuti perkembangan teknologi seperti melanggan tanda biru pada akaun Twitter.
Wujud kemungkinan Taliban percaya mereka perlu mengikuti perkembangan terkini termasuk mendominasi teknologi media sosial sebagaimana dilakukan negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Britain, Jerman, Jepun, Switzerland dan kebanyakan negara lain di benua Asia.
Berita terbaharu turut mengesahkan Taliban telah mengambil alih akaun Twitter Lembaga Kriket Afghanistan yang memiliki tanda ‘semak emas’ atau golden check mark.
Apakah maksud tanda biru pada Twitter? Secara ringkasnya, tanda biru bermaksud akaun kepentingan awam pada laman web tersebut ialah sahih.
Twitter memperakukan yang ‘sahih, ketara dan aktif’ kepada kumpulan, orang atau syarikat yang layak untuk menerima tanda biru.
Berdasarkan data Bank Dunia, hampir 13.5 peratus penduduk Afghanistan memiliki akses internet sejak kemudahan itu diperkenalkan di Afghanistan, 20 tahun lalu.
Perkembangan positif di Afghanistan tidak mengundang rasa ghairah dalam kalangan negara maju khususnya AS.
Tahun lalu, bekas Presiden AS, Donald Trump pernah mengulas isu penggunaan media sosial yang diperjuangkan puak Taliban.
Wujud juga khabar angin kononnya pemilik baharu Twitter, Elon Musk telah membatalkan pembelian tanda semak biru yang dibuat dua pegawai Taliban tersebut. Ia rentetan keresahan dunia tentang keganasan dilakukan Taliban.
Namun, penulis sehingga kini percaya keganasan Taliban hanya sebahagian daripada berita propaganda tentera media sosial Barat.
Senario di Afghanistan dikias ALLAH SWT dalam surah An-Najm Ayat [53:28~30] yang terjemahannya bermaksud: "Dan mereka tidak mempunyai sesuatu pengetahuan pun tentang itu. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan sedang sesungguhnya persangkaan itu tiada berfaedah sedikit pun terhadap kebenaran.
"Maka berpalinglah (hai Muhammad) daripada orang yang berpaling daripada peringatan Kami dan tidak mengingini kecuali kehidupan duniawi. Itulah sejauh-jauh pengetahuan mereka. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang paling mengetahui siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dia pulalah yang paling mengetahui siapa yang mendapat petunjuk.”
Penulis cuba berdiskusi secara akademik dengan beberapa tokoh media berhubung perkembangan terbaharu di Afghanistan.
Ramai bertanya kenapa baru sekarang Taliban berminat mengikuti perkembangan teknologi di dunia?
Netizen dunia percaya kehadiran pegawai Taliban pada laman microblogging boleh mencetuskan bahaya dan keadaan tidak terkawal. Persoalannya adakah itu benar?
Berdasarkan gambaran terkini di Afghanistan, ramai pegawai penting Taliban dilaporkan memakai jam tangan pintar jenama Apple.
Di sebalik kegusaran tentang sekatan penggunaan aplikasi media sosial, Taliban membenarkan Twitter, Facebook dan WhatsApp beroperasi di negara itu.
Bagaimanapun, masih ramai percaya Taliban memantau semua akaun media sosial rakyat Afghanistan.
Buat masa ini kemudahan kabel komunikasi di negara itu banyak bergantung kepada bantuan Tajikistan, Pakistan dan Iran.
Penulis percaya masih banyak berita kurang tepat digembar-gemburkan oleh media Barat. Ramai masih kabur tentang perkembangan atau tahap kemudahan komunikasi di Afghanistan.
Kesimpulannya, media Barat sememangnya sentiasa mencurigai Afghanistan. Kita harus bijak membaca apa yang tersirat di sebalik coretan media Barat.
* Profesor Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC)
Klik di sini untuk terus membaca