SHAH ALAM - Pakar kesihatan menyarankan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak leka semasa cuti perayaan Tahun Baharu Cina susulan kes Covid-19 yang semakin meningkat setiap hari.
Pakar Kesihatan Persekitaran Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman berkata, prosedur operasi standard (SOP) yang semakin dilupakan oleh masyarakat boleh menyebabkan kes meningkat dan mendatangkan bahaya kepada golongan yang berisiko tinggi.
"Tidak dinafikan, masyarakat semakin lupa SOP lebih-lebih lagi selepas kerajaan melonggarkannya. Tidak salah untuk berkumpul bersama keluarga mahupun rakan-rakan, namun sekurang-kurangnya kita perlu mengamalkan pemakaian pelitup muka dan kerap mencuci tangan.
"Memandangkan kes meningkat semula, kita harus peka dengan keadaan sekeliling terutamanya mereka yang duduk serumah dengan warga emas, kanak-kanak dan wanita hamil,” katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.
Sekiranya masyarakat berasa lelah dan sukar untuk mematuhi SOP, Dr Haliza menyeru orang ramai supaya mengambil dos penggalak untuk meningkatkan imuniti dalam badan.
"Ada di antara mereka yang berhenti mengambil suntikan selepas vaksin kedua. Sekiranya kita berasa susah untuk mematuhi SOP seperti penjarakan fizikal semasa musim perayaan dan bercuti ke tempat awam, sekurang-kurangnya kita perlu mengambil dos penggalak untuk melindungi diri.
"Oleh itu, ini adalah masa yang tepat untuk kerajaan meningkat pengambilan dos penggalak dengan membuat promosi secara besar-besaran untuk memastikan imuniti masyarakat sentiasa kuat dengan pelbagai varian,” katanya.
Kes Covid-19 dalam negara terus meningkat kepada 371 kes baharu pada Rabu berbanding 350 kes pada hari sebelumnya, menjadikan kes terkumpul sejak Mac 2020 berjumlah 4,995,033.
Manakala, empat kematian direkodkan dalam tempoh sama, menurut data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di portal KKMNOW.
Ini menjadikan kes harian baharu Covid-19 negara terus kekal tiga angka dengan catatan terendah setakat ini sebanyak 320 kes pada 13 Januari lalu.
Dalam pada itu, Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat di Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh meluahkan rasa bimbang dengan pelancong dari China yang dibenarkan masuk ke negara tanpa perlu menjalani ujian saringan Covid-19.
"Apabila kerajaan tidak begitu ketat mengawal kehadiran pelancong China dan ada di antara mereka yang menjadi pembawa, kes Covid-19 akan merebak dan semakin meningkat seperti sekarang ini.
"Varian baharu yang mereka bawa sudah ada di Malaysia dan dikatakan mudah berjangkit tetapi kurang bahaya. Walau bagaimanapun, kes kematian di China semakin meningkat. Oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan jangan sesekali leka,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr Sharifa berpandangan, sekiranya kes Covid-19 terus meningkat, ia akan memberi implikasi kepada beban kesihatan.
"Kes Covid-19 memang akan meningkat dan yang perlu dibimbangkan adalah kes kematian serta kadar kemasukan pesakit ke hospital.
"Hospital dan klinik kerajaan akan sentiasa penuh dan timbulnya masalah seperti kemudahan katil yang tidak mencukupi,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca