PADA 14 Januari lalu, saya meluncurkan program baharu Parlimen Indera Mahkota (IM) iaitu IMdialog.
Ia adalah siri diskusi untuk percambahan idea, dasar-dasar dan program-program pembangunan yang bersepadu dalam pelbagai sektor seperti penghakupayaan belia dan wanita, ekonomi dan kehidupan digital, demokrasi dan governans serta hal ehwal antarabangsa.
Ia dilaksanakan dalam bentuk sidang meja bulat, makmal, persidangan, penerbitan dan khidmat masyarakat. Ia dibangunkan atas nilai-nilai murni seperti kebenaran, keadilan dan kesukarelaan.
Masa depan pertumbuhan ekonomi bergantung terutamanya kepada ekonomi digital. Dalam konteks ini, Malaysia telah mempunyai pelan pembangunannya yang khusus iaitu MyDIGITAL.
Kini ia perlu dilaksanakan secara komprehensif dan sistematik termasuk di peringkat akar umbi.
Justeru, siri pertama IMdialog dibuat dalam bentuk sidang meja bulat bertemakan ‘Membangun Ekonomi Digital IM’. Ia dijalankan dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan dihadiri seramai 25 peserta.
Matlamatnya adalah untuk membangunkan program-program ekonomi digital di IM dengan memberi fokus kepada produk-produk oleh usahawan-usahawan IM.
Dalam hal ini, kita sedia maklum di Malaysia, terdapat tiga komponen mereka yang terlibat dalam ekonomi digital iaitu yang telah menjadi ikon, yang telah berjaya dan selesa serta yang baru melakukan transisi ke ekonomi digital.
Oleh itu, program kali ini mempunyai tiga objektif iaitu pertama, membantu pelajar, generasi muda dan usahawan IM melakukan transisi ke arah ekonomi digital.
Objektif kedua adalah untuk memperkasa aktiviti-aktiviti ekonomi digital sedia ada di IM dan ketiga, melahirkan ikon-ikon ekonomi digital daripada IM.
Matlamat dan objektif-objektif tersebut boleh disesuaikan dengan peringkat akar umbi di tempat-tempat lain.
Dalam IMdialog, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MDEC, Mahadhir Aziz telah menerangkan program-program MDEC, contohnya Perkhidmatan e-Dagang Setempat (PeDAS), Program e-Rezeki, Global Online Workforce (GLOW) dan mydigitalmaker.
Dua orang peserta MDEC yang telah berjaya turut berkongsi kisah kejayaan mereka. Peserta-peserta telah berbincang dengan aktif.
Pada penutupnya, sebanyak enam tindakan susulan atau projek konkrit telah dikenal pasti iaitu dalam ehwal persekolahan, aplikasi baharu untuk Parlimen Indera Mahkota, mentoring, pemasaran, penyelidikan dan latihan.
Dalam pembentangannya, Mahadhir turut menggariskan tiga perkara penting dalam kerja-kerja MDEC. Pertama, penjenamaan semula Multimedia Super Corridor (MSC).
Kedua, peranan MDEC sebagai penggerak utama mendapatkan pelaburan asing dalam ekonomi digital. Dan ketiga, peranan MDEC mengeksport bakat-bakat dan produk-produk ekonomi digital Malaysia ke luar negara.
Kita perlu benar-benar memperkukuh ekosistem pembangunan ekonomi digital negara supaya ia menjadi katalis strategik pertumbuhan ekonomi dan mengelak daripada kehilangan pen-drive serta Grab daripada berulang.
Dalam hal ini, MDEC perlu diperkasa sepenuhnya dan pembangunan akar umbi dihakupaya seutuhnya.
* Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota, Pahang
Klik di sini untuk terus membaca