NEW DELHI - India dijangka mengatasi China sebagai negara paling ramai penduduk di dunia menjelang April depan walaupun pertumbuhan populasinya dilaporkan semakin perlahan.
Kajian Populasi Dunia (WPR) bagaimanapun meramalkan angka tersebut akan terus meningkat sehingga 2050.
Pada akhir 2022, WPR menganggarkan penduduk di negara Asia Selatan itu mencecah 1.417 bilion ketika populasi di Beijing dilaporkan menurun 1.412 bilion kepada paras terendah dalam tempoh enam dekad berdasarkan data dikeluarkan Biro Statistik Kebangsaan di China yang mendedahkan populasi di negara itu menyusut 850,000 orang pada 2022 berbanding setahun sebelum itu.
New Delhi yang mempunyai 50 peratus penduduk berusia di bawah 30 tahun dijangka menjadi ekonomi utama yang paling pesat berkembang di dunia dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Hal itu memberi cabaran baharu kepada kepimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi untuk mewujudkan lebih banyak pekerjaan kepada jutaan orang pada setiap tahun terutama generasi baharu yang mungkin tidak lagi berminat untuk meneruskan pekerjaan dalam sektor pertanian.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) percaya rekod tersebut bakal dicapai India berikutan data sehingga 18 Januari menunjukkan populasi di negara berkenaan telah meningkat kepada 1.423 bilion.
Platform penyelidikan, Macotrends juga menganggarkan penduduk di New Delhi mungkin sudah bertambah kepada 1.428 bilion.
Pengesahan tentang angka itu bagaimanapun sukar dibuat berikutan India tidak menerbitkan data banci sekali dalam sedekad pada 2021 selepas menangguhkan kaji selidik tersebut kerana pandemik Covid-19.
Sejak 1950, New Delhi dan Beijing telah menyumbang sebanyak 35 peratus daripada pertumbuhan populasi dunia.
Bagaimanapun, pelaksanaan peraturan perancangan keluarga yang ketat di China iaitu dasar satu anak yang diperkenalkan pada 1980 dipercayai telah mengurangkan kadar kelahiran di negara Asia Timur itu secara drastik.
Walaupun pemerintah kini memberikan insentif dan membenarkan lebih dua orang anak untuk setiap keluarga selepas dasar tersebut ditarik balik pada 2016, ia tetap mencatatkan kadar yang rendah iaitu hanya 1.2 secara purata.
Untuk dekad akan datang, dua negeri di utara, Bihar dan Uttar Pradesh akan menyumbang satu pertiga daripada peningkatan populasi di India.
Sebahagian besar kawasan di negara itu masih dikategorikan sebagai luar bandar dengan hanya kira-kira 33 peratus penduduk tinggal di kota di tengah-tengah projek perbandaran yang semakin pesat membangun.
PBB menjangkakan seramai 675 juta penduduk di negara berkenaan akan menetap di bandar pada 2035 dan lebih ramai akan meninggalkan kawasan perkampungan menjelang tahun 2050.
Ibu kota New Delhi yang berpopulasi 20 juta orang sudah pun menjadi salah sebuah bandar paling tercemar di dunia dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 28 juta orang menjelang 2041 di bawah pelan induk perbandaran.
Pertambahan penduduk di kota metropolitan lain seperti Mumbai, Chennai dan Kolkata yang sedang bergelut dengan masalah infrastruktur seperti perumahan, pengangkutan serta bekalan air dikhuatiri akan memburukkan lagi situasi tersebut.
Populasi di Mumbai diramalkan berkembang daripada 20 juta kepada 27 juta orang menjelang 2025 dan 40 peratus daripadanya akan tinggal di kawasan setinggan.
"Perbandaran akan memacu perubahan paling penting dalam beberapa dekad akan datang, namun kualiti hidup di bandar utama di India sudah merosot dengan cepat.
"Penyesuaian kawasan bandar adalah salah satu cabaran besar dihadapi New Delhi apabila penduduknya bertambah. Pada masa ini, respons pemerintah untuk mengatasi masalah itu masih kurang memberangsangkan,” kata felo di badan pemikir, Yayasan Penyelidikan Pemerhati, Rumi Aijaz.
Selain itu, data PBB turut menganggarkan lebih separuh daripada unjuran peningkatan populasi global antara 2022 dan 2050 akan tertumpu di tujuh negara lain iaitu Congo, Mesir, Ethiopia, Nigeria, Pakistan, Filipina dan Tanzania. - Agensi
INFO
- Uttar Pradesh dengan unjuran populasi seramai 230 juta orang ialah negeri paling ramai penduduk di India, manakala Lakshadweep adalah paling kurang penduduk dengan hanya 68,000 orang.
- 27.3 peratus populasi di negara itu berusia antara 15 dan 29 tahun. India ialah antara negara termuda di dunia.
- New Delhi adalah antara lapan negara yang akan menyumbang lebih separuh daripada unjuran peningkatan populasi global sehingga 2050.
- Pertumbuhan populasi tahunan secara purata adalah 1.2 peratus sejak 2011, menurun 1.7 peratus berbanding 10 tahun sebelum itu.
- Penggunaan kaedah perancangan keluarga meningkat kepada 66.67 peratus pada 2019-21 berbanding 53.5 peratus pada 2015-16.
- Kadar kesuburan atau jumlah anak bagi setiap wanita menurun kepada dua pada 2019-2021 berbanding 3.4 pada 1992-93.
Klik di sini untuk terus membaca