SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) dijangka membentuk Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH) di peringkat Selangor seawal Mac ini iaitu ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berlangsung.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, ia selaras dengan kerjasama gabungan berkenaan yang dilakukan di peringkat Pusat.
"Saya percaya pihak pimpinan sama ada di peringkat negeri dan Pusat sedang memuktamadkan kerjasama ini seawal Mac ini atau selewat-lewatnya ketika DUN dibubarkan bagi memasuki Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.
"Penerimaan daripada kalangan ahli gabungan bagi kerjasama ini juga dilihat bertambah baik selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berikutan usaha dan komitmen kepimpinan yang berusaha memberikan penjelasan,” katanya semasa Program Plot Twist Podcast Sinar yang dihoskan Haizir Othman pada Rabu.
Pengerusi Sekretariat Profesional Muda Pemuda UMNO Selangor itu juga menambah, kerjasama yang dijalinkan BN dan PH itu bukan tiket untuk gabungan tersebut meminta pembahagian kerusi yang lebih banyak pada PRN Selangor.
"DUN di Selangor secara keseluruhannya mempunyai sebanyak 56 kerusi, kita tidak akan minta sampai 30 kerusi untuk dipertandingkan kerana perkara paling adalah untuk kita sama-sama meraih kemenangan pada pilihan raya ini.
"Jika ambil banyak kerusi pun untuk dipertandingkan, tetapi calonnya tidak menang, ia tidak akan memberikan sebarang nilai tambah,” jelasnya.
Mohd Imran menambah, BN juga menyasarkan lapan ke 15 DUN untuk dimenangi pada pilihan raya negeri tanpa ‘mengacau’ kerusi yang telah dimenangi PH sebelum ini.
Jelasnya, kejatuhan gabungan tersebut di Selangor pada PRU12 perlu menjadi satu pengajaran dalam meraih kembali sokongan.
"Kita dahulu mengalami kejatuhan yang agak mengejut pada ketika itu kerana sebelumnya, kita memegang 54 kerusi. Namun, ketika pilihan raya tersebut, kita hanya memenangi 20 kerusi kemudian menjadi 12 kerusi dan seterusnya lima kerusi.
"Jadi mengapa tidak pada pilihan raya kali ini kita mulai naik sedikit demi sedikit dengan memenangi lapan ke 10 kerusi terlebih dahulu menerusi kerjasama ini,” ujar beliau.
Klik di sini untuk terus membaca