MACHANG - Tidak pernah tidur berasingan walaupun bergaduh atau merajuk menjadi 'kunci' kebahagiaan pasangan warga emas, Muda Abu Hassan, 87, dan Meriam Ali, 80, dari Kampung Bukit, Pulau Chondong di sini dalam melayari bahtera perkahwinan yang dipateri sejak 68 tahun lalu.
Berkongsi asam garam kehidupan berumah tangga Meriam berkata, pada masa yang sama dia tidak pernah membiarkan suaminya makan secara berseorangan walaupun bergaduh.
"Bagi kami, bergaduh, merajuk macam mana pun, makan dan tidur tetap bersama. Tidak boleh asing-asing.
"Alhamdulillah, perkara itu kekal menjadi amalan sehingga hari ini dan itulah rahsia kebahagiaan rumah tangga kami," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Menurutnya, sehingga kini amalan tersebut turut diterapkan kepada tiga anaknya yang berusia antara 54 hingga 62 tahun.
Ujarnya, sikap bersabar dan saling berkomunikasi juga perlu bagi pasangan suami isteri.
Meriam memberitahu, sejak tiga tahun lalu suaminya hilang deria pendengaran, namun itu tidak menjadi halangan untuk mereka berkomunikasi.
"Walaupun sesukar mana pun, saya tetap bertoleransi dalam perkara ini.
"Selain itu, dia yang sihat tubuh badan pula kena bersabar dengan saya yang mempunyai penyakit kencing manis," katanya.
Tambah Meriam, untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga hampir tujuh dekad itu bukan sesuatu yang mudah.
Katanya, setiap pasangan mempunyai ujian yang berbezabeza.
Ujar Meriam, tidak semua ujian akan meruntuhkan rumah tangga, kerana sebaliknya boleh merapatkan hubungan suami isteri.
"Pesanan kami kepada generasi muda, kalau marah, merajuk jangan lama-lama. Kalau boleh elak tidur, makan berasingan dengan pasangan," katanya.
Meriam memberitahu, dia akan memasak semua hidangan dari pagi sampai ke malam dan suaminya jarang makan di luar.
Meriam dan Muda yang berkahwin ketika usia 12 serta 18 tahun itu masih sihat tubuh badan.
Selain tiga anak, mereka dikurniakan seramai 17 cucu dan enam cicit.
Suami isteri perlu jauhi hubungan dengan kekasih lama
Sementara itu, Pakar Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, pasangan suami isteri perlu menjauhi hubungan ketiga dengan kekasih lama bagi memastikan ikatan perkahwinan kekal terjalin.
Menurutnya, rumah tangga didirikan sepatutnya merupakan lembaran baharu yang perlu menjadi fokus utama.
"Kadang- kadang ada dalam kalangan sesetengah pasangan ini, berhubung kembali dengan pasangan lama mereka.
"Benda ini ditambah pula dengan adanya telefon pintar dan media sosial, maka ia merancakkan lagi hubungan itu.
"Bila saya uruskan kes begini, saya selalu nasihatkan kepada pasangan, tutup buku lama dan buka buku baharu," ujarnya.
Noor Aziah menambah, meskipun kadangkala terdapat dilema dalam perhubungan, perkara tersebut tidak seharusnya menjadi titik noktah dalam hubungan yang telah dibina.
Jelas beliau, setiap pasangan yang menghadapi masalah dinasihatkan untuk bermuhasabah kembali tentang tujuan utama perkahwinan mereka sebelum ini.
"Saya sering nasihatkan kepada pasangan sama ada yang baharu atau telah lama berkahwin, bahawa tujuan perkahwinan adalah untuk menghalalkan hubungan.
"Perkara ini juga merupakan salah satu syariat dan janji yang telah ALLAH tetapkan dalam al-Quran," katanya.
Ulas beliau, apa yang penting dalam keutuhan sesebuah institusi keluarga adalah sikap tanggungjawab dan keikhlasan antara suami dan isteri.
Menyentuh tentang situasi ekonomi kini, Noor Aziah mengingatkan kepada bakal pasangan khususnya lelaki supaya merancang kewangan dengan lebih teratur.
Beliau mengakui, masalah kewangan sering menjadi antara faktor utama kepada masalah dalam hubungan suami isteri sehingga berlakunya perceraian.
"Sebelum nak berumah tangga, pihak lelaki kena semak dahulu, adakah pendapatan sedia ada ini cukup untuk menampung kehidupan pasangan.
"Ini merupakan satu tanggungjawab dan jangan letakkan pergantungan kepada isteri pula meskipun dia berkerjaya," ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca