SHAH ALAM - Bijak memikat hati isteri menjadi kunci keharmonian berumah tangga dan kekal bahagia bagi pasangan warga emas, Kasiran Akhsan, 78, Siti Maimoona Ahmad, 68.
Walaupun masyarakat kita pada hari ini sering disogokkan dengan berita mengenai pasangan suami isteri yang baharu beberapa tahun berumah tangga, namun tidak kekal apabila ikatan terlerai di pertengahan jalan.
Bagi pasangan warga emas itu, mereka mempunyai rahsia tersendiri dapat hidup rukun dan kekal bahagia meskipun usia perkahwinan mencecah 53 tahun yang disambut pada 25 Disember tahun lalu.
Kasiran berkata, selain perlu pandai memikat hati isteri, suami juga perlu sentiasa mendengar luahan hati isteri dan bertolak ansur dalam segala hal.
Katanya, itu adalah antara kunci kejayaan kepada perkahwinan yang panjang dan bahagia.
"Jika kami berdua mempunyai pandangan berbeza pula saya tetap akan memihak kepadanya agar isteri tahu saya mengambil berat pandangannya,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.
Menurut Kasiran, mereka dikurniakan 15 anak namun ada yang sudah meninggal dunia serta 13 cucu dan berharap mereka dapat menjadi contoh kepada anak cucu dalam menjalani kehidupan berumah tangga yang panjang dan bahagia.
Jelas Kasiran lagi, dia dan isterinya kini menetap bersama salah seorang anak mereka di Taman Penggiran di sini dan masih kekal sihat serta aktif dalam menyertai program kemasyarakatan di kawasan berkenaan termasuk aktiviti parti politik.
Sementara itu, Siti Maimoona menyifatkan suaminya itu seorang yang terlalu mengambil berat dan akan memastikan dirinya dan anak-anak gembira walaupun dalam keletihan selepas seharian bekerja.
"Itu ketika dahulu dan sekarang dia (suami) sudah tidak lagi bekerja dan kami hanya menghabiskan masa bersama di rumah selain kadangkala keluar makan atau sarapan bersama di luar,” katanya.
Tambah Siti Maimoona, dia dan suaminya juga amat terharu apabila anak serta cucu mereka sentiasa mengambil berat termasuk meraikan hari penting pasangan berkenaan.
"Hubungan mesra anak dan cucu ini juga dapat merapatkan lagi keakraban kami suami isteri,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca