KUBANG PASU - Pikat hati suami dengan air tangan isteri antara tip yang diamalkan seorang suri rumah yang telah 58 tahun melayari bahtera perkahwinan.
Pok@Sopian Mustafa, 76, berkata, sejak awal perkahwinan dia akan memastikan enam anak dan suaminya, Abdul Halim Said, 85, makan di rumah.
Menurut warga emas itu, seorang isteri yang rajin memasak untuk keluarga akan mendorong si suami sentiasa teringatkan rumah dan rindu akan masakan isterinya.
"Kena jaga perut suami, alhamdulillah dari zaman muda lagi, suami saya tidak suka makan di kedai, dia akan balik makan di rumah juga,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pulau Pisang, Jitra di sini pada Khamis.
Menurutnya, petua itu diturunkan pula kepada anak-anak perempuannya sebagai salah satu cara memikat hati suami.
"Saya kerap pesan anak-anak, rajinkan diri masak di rumah untuk keluarga kerana air tangan ibu dan isteri ini, sentiasa berkat,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai alam perkahwinan yang dilaluinya, Pok@Sopian berkata, dugaan dalam perkahwinan di zamannya tidak seperti anak-anak muda masa kini.
"Orang dulu-dulu tak kisah pasangan kerja apa pun. Kami terima pilihan keluarga, yang penting si isteri jalankan tanggungjawab urus rumah tangga, suami pula keluar cari rezeki,” ujarnya.
Sementara itu, Abdul Halim berkata, sesebuah rumah tangga itu memerlukan tolak ansur dan kesabaran untuk kekal harmoni.
"Bohong kalau cakap saya dan isteri tak pernah bergaduh, sedangkan lidah lagikan tergigit inikan pula suami isteri.
"Cuma satu nasihat saya kepada para suami, kalau bergaduh dengan isteri di rumah, keluarlah dulu untuk sejukkan hati dan keadaan,” katanya.
Bekas guru Kafa itu berkata, menjadi satu lumrah bagi kaum wanita sentiasa berleter dan bermain dengan emosi, namun situasi itu perlu bijak dikawal oleh suami.
"Perempuan memang suka berleter, kita sebagai suami yang kena pandai kawal keadaan. Tapi isteri pun, kalau suami dah mengalah, jangan pula makin melampau,” tegas datuk kepada 22 orang cucu itu.
Abdul Halim yang juga bekas Imam Masjid Pulau Pisang berkata, rasa hormat seseorang isteri perlu ada walaupun wanita itu mempunyai pangkat yang lebih tinggi daripada suami.
Klik di sini untuk terus membaca