SHAH ALAM - Malaysia tidak boleh bertindak solo atau bersendirian dalam mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menangani isu kebanjiran pelarian Rohingya di negara ini.
Presiden Gerakan Antarabangsa untuk Dunia Keadilan (JUST), Dr Chandra Muzaffar sebaliknya menegaskan, Malaysia hanya boleh menyelesaikan isu pelarian Rohingya menerusi kerjasama erat antara negara di rantau ASEAN dan Asia lain termasuk Jepun, China, Korea Selatan dan Myanmar sendiri.
Chandra berpandangan, apa yang paling penting sekarang ialah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mengadakan rundingan dan memujuk kerajaan Myanmar supaya menerima semula pelarian Rohingya sebagai rakyat negara terbabit.
Chandra bagaimanapun berkata, perkara itu hampir mustahil untuk dilakukan kerana masalah kebanjiran etnik Rohingya di Malaysia dan negara ASEAN lain adalah berpunca daripada penindasan dan dasar pengusiran besar-besaran dilakukan kerajaan Myanmar sendiri.
"Oleh itu, Malaysia dan negara ASEAN lain perlu berunding dan berjumpa dengan wakil kerajaan Myanmar bagi menangani isu pelarian Rohingya.
"Masalah pelarian Rohingya dapat diselesaikan secara lebih baik jika ASEAN dapat kerjasama daripada negara besar seperti China, Korea Selatan dan Jepun yang mempunyai hubungan erat dari segi ekonomi dan diplomatik dua hala dengan kerajaan Myanmar.
"China, Jepun dan Korea Selatan mungkin boleh memujuk kerajaan Myanmar supaya mengubah dasarnya dan bersedia menerima pelarian Rohinya jika mereka berminat mahu kembali semula ke republik berkenaan pada masa depan," katanya kepada Sinar Premium.
Chandra menegaskan, cadangan membina ‘kem istimewa’ bagi menempatkan semua pelarian Rohingya yang berada di Malaysia sekarang hanyalah penyelesaian jangka pendek, malah akan menambah beban kewangan kerajaan.
"Idea penubuhan ‘kem istimewa’ untuk menempatkan pelarian Rohingya secara sementara seperti dilakukan semasa pencerobohan pelarian Vietnam pada tahun 1990-an memang baik, namun ia bersifat penyelesaian sementara dan tidak boleh menyelesaikan masalah secara keseluruhannya.
"Kewujudan ‘kem istimewa’ berkenaan adalah bersifat sementara dan selepas itu Malaysia perlu mencari negara lain yang sanggup menerima penghijrahan pelarian Rohingya secara besar-besaran,”ujarnya.
DUDUK SEMEJA
Chandra berkata, untuk itu, Malaysia perlu segera duduk semeja berunding dengan negara ASEAN dan Asia termasuk Jepun, Korea Selatan serta China bagi mengenal pasti penyelesaian terbaik masalah kebanjiran pelarian Rohingya ke negara lain terutamanya Malaysia.
"Dari segi undang-undang antarabangsa, Malaysia boleh menyekat cubaan pelarian Rohingya memasuki perairan negara, namun imej kita akan tercalar jika sesuatu tidak diingini berlaku ke atas bot membawa pendatang haram tersebut.
"Jika Malaysia mahu menyekat kemasukan pelarian Rohingya ke sini sama ada menerusi jalan laut atau darat, kita mestilah mendapat kerjasama daripada negara jiran lain seperti Thailand, Indonesia dan banyak lagi,” katanya.
Sementara itu, Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (Merhom) berharap agar Perdana Menteri dapat membantu etnik Rohingya yang berdepan situasi penghapusan etnik di Myanmar.
Presiden Merhom, Zafar Ahmad Abdul Ghani berkata, jika tidak dapat menyelesaikan secara total sekalipun, sekurang-kurangnya dapat memberi sinar harapan buat pelarian tersebut.
"Saya berharap sangat Perdana Menteri bersama-sama negara ASEAN dapat menyelesaikan masalah yang sekian lama dihadapi oleh kami semua.
"Kami sayangkan negara kami. Saudara kami di sana berdepan dengan kesengsaraan di mana setiap saat, nyawa mereka terancam,” katanya ketika dihubungi.
Zafar turut menggesa ASEAN, Polis Antarabangsa (Interpol) dan Bangladesh untuk membanteras sindiket penyeludupan etnik Rohingya yang selama ini telah menyebabkan ramai antara mereka terkorban.
Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan pelarian etnik Rohingya sebagai minoriti paling teraniaya di dunia kerana ratusan daripada mereka di Myanmar terkorban atau hilang ketika cuba melarikan diri daripada tindakan keras junta menuju ke negara jiran, Bangladesh.
Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) pada Selasa menyatakan, lebih 3,500 etnik tersebut cuba melarikan diri dari Myanmar dengan merentas laluan laut pada 2022.
"Ramai etnik Rohingya menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia dan ada yang terkorban sama ada di laut mahupun daratan.
"Sekiranya sindiket ini tidak dibanteras, isu berkenaan pelarian Rohingya ini tidak akan berakhir,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca