BAGAIKAN tradisi, setiap kali Perdana Menteri baharu mengambil alih pentadbiran, akan muncul konsep yang menjadi citra jenama untuk kerajaan pimpinannya. Sepertimana konsep Bangsa Malaysia (Wawasan 2020), Islam Hadhari, 1Malaysia atau... Klik di sini untuk terus membaca

BAGAIKAN tradisi, setiap kali Perdana Menteri baharu mengambil alih pentadbiran, akan muncul konsep yang menjadi citra jenama untuk kerajaan pimpinannya.

Sepertimana konsep Bangsa Malaysia (Wawasan 2020), Islam Hadhari, 1Malaysia atau Keluarga Malaysia, konsep-konsep ini dipromosikan secara umum sebagai tema hala tuju kepimpinan selain cuba membezakan Perdana Menteri sekarang dengan sebelumnya.

Walaupun begitu, konsep-konsep ini sering dikritik sebagai idealis, populis dan retorik. Bukan memperkecilkan gagasan yang dibawa oleh konsep-konsep tersebut, namun pendefinisian konsep, penjelasan matlamat dan pelan tindakan serta pendekatan untuk mencapainya kadang-kadang terlalu umum dan di luar kefahaman.

Akhirnya, konsep tersebut, walaupun hasrat dan falsafahnya baik, sepanjang kewujudannya hanya mengundang polemik nakal yang berakhir dengan ‘kematian’ tanpa kesinambungan sesudah penggagasnya tidak lagi berada di koridor kuasa apabila sang pengganti tidak mahu meneruskan, malah datang dengan konsep yang lain pula.

Sebab itulah setiap kali muncul gagasan sebegitu, rakyat bersikap acuh tak acuh. Kadang-kadang mereka anggap ia lelucon yang menghilangkan rasa minat untuk memahami maksudnya yang sebenar. Nak marah atau salahkan rakyat pun tak boleh juga kerana mereka sudah lali dengan permainan begini.

Justeru, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis lalu datang dengan konsep Malaysia Madani, sesuatu yang telah beliau bangkitkan dalam konteks masyarakat madani menerusi mahakaryanya bertajuk The Asian Renaissance pada tahun 1996, timbul kegusaran bahawa gagasan itu juga bakal menerima nasib serupa dengan sebelumnya.

Cetusan ini tidak mahu menyentuh kandungan falsafah atau tujahan Malaysia Madani itu. Ia mungkin sudah atau akan disentuh ramai cendekiawan.

Yang menjadi fokus di sini ialah bagaimana mahu memastikan ia tidak menjadi satu lagi nota kaki dalam sejarah citra jenama yang sinonim dengan ‘keperdanamenterian’ di Malaysia.

Pertama, pendefinisian konsep, penjelasan matlamat dan pelan tindakan serta pendekatan untuk mencapainya perlu realistik dan maujud. Dalam hal ini, kesemua perkara tersebut mampu dilihat, dirasa dan difahami dengan mudah oleh masyarakat melalui perbuatan, tindakan serta keberhasilan kerajaan.

Ini penting bagi mengelakkan gagasan itu dianggap satu lagi gagasan indah yang kosong disebabkan ketidakupayaan rakyat untuk melihat, merasa dan memahami bagaimanakah Malaysia Madani itu dihidupkan dalam realiti kehidupan seharian.

Kedua, mengelakkan aktiviti penghebahan serta pencanangan yang berulang dan berlebihan. Antara kesilapan terbesar gagasan dan konsep terdahulu adalah kerana tindakan sedemikian yang mengangkatnya secara berlebihan dan berulang-ulang tanpa sebarang pencapaian yang mendampak.

Walaupun ada keperluan secara propaganda bagi membentuk semacam imaginasi sosiological dalam konteks interaksi dan mempengaruhi tingkah laku, ia akhirnya menimbulkan kejengkelan massa disebabkan unsur retorika dan politiking yang melampau.

Terakhir, keperluan untuk menunjukkan teladan dalam amalan yang menghidupkan konsep tersebut dalam tindakan kerajaan.

Selain perlu menyediakan definisi konsep sebagai tema panduan, matlamat dan pelan tindakan buat masyarakat umum, kesemua elemen tersebut perlu hadir serta menjelma dalam tindakan politik dan tadbir urus kerajaan.

Kerana konsep madani dalam prosesnya untuk membentuk sebuah masyarakat yang maju, terampil dan terangkum memerlukan suatu percontohan dan tauladan kepimpinan bagi memudahkan ia difahami, dihayati dan diikuti oleh masyarakat.

Justeru, madani yang sebenarnya perlu diterjemahkan dalam setiap tindak tanduk kerajaan, bukannya sekadar gagasan yang hanya cantik di atas kertas semata-mata.

Mengandaikan Malaysia Madani akan menjadi kerangka dasar dan tindakan Kerajaan Perpaduan bagi tahun-tahun mendatang, ia bergantung kepada sejauh mana tiga elemen berikut; kerencaman budaya (multiculturalism), ketimbalbalikan hubungan (reciprocity) serta saling menghormati dan menghargai (mutual respect) dihidupkan menerusi enam tunjang utama yang telah digagaskan.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP), Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Klik di sini untuk terus membaca