PADA minggu lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan rasmi ke Terengganu. Berita itu kemudiannya tular apabila Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan barisan Exco Kerajaan Negeri tidak... Klik di sini untuk terus membaca

PADA minggu lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan rasmi ke Terengganu. Berita itu kemudiannya tular apabila Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan barisan Exco Kerajaan Negeri tidak hadir untuk menyambut Perdana Menteri baharu ini.

Setelah ditanya wartawan, Ahmad Samsuri menjelaskan bahawa terdapatnya masalah komunikasi antara pejabat kerajaan negeri dan kerajaan Pusat.

Namun begitu, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil sempat bertemu dengan Anwar semasa lawatan rasmi itu.

Terdapat golongan yang menyatakan bahawa adab tetamu adalah hak tuan rumah. Dari segi hak asasi manusia, kenyataan ini betul tetapi adakah ini langkah politik yang sewajarnya?

Pihak Perdana Menteri walaupun tidak menyuarakan kekecewaan tetapi ketidakhadiran barisan pimpinan kerajaan negeri secara tidak langsung menunjuk kepada rakyat bahawa jurang antara kerajaan negeri Terengganu dan kerajaan Pusat semakin membesar.

Beberapa hari kemudian, Anwar mengadakan lawatan rasmi ke Perlis dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli menyambut beliau di lapangan terbang.

Perbezaan layanan dua negeri yang dipimpin Perikatan Nasional (PN) ini ketara dan tidak sejajar dengan Kerajaan Perpaduan yang diuar-uarkan, lebih-lebih lagi Malaysia Madani.

Walaupun boleh dikatakan Terengganu mempunyai sumber asli berlainan dengan Perlis, yang membolehkan menteri besarnya mempunyai ruang rundingan lebih besar, tetapi terdapat satu pengajaran yang dipelajari daripada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) iaitu tiada musuh dan tiada kawan berkekalan dalam dunia politik.

Pernahkah terlintas fikiran penyokong Pakatan Harapan (PH) sebelum hari mengundi bahawa mereka akan memberi sokongan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk bekerjasama bagi membentuk kerajaan?

Jajaran kerjasama politik yang sering bertukar sejak PRU14 sepatutnya menjadi peringatan kepada ahli-ahli politik bahawa ruang rundingan sentiasa dibuka. Apa yang penting adalah ‘kad rundingan’ yang dipegang.

Pada masa sama, dengan lawatan Anwar ke Terengganu, Ahmad Samsuri turut menyatakan bahawa bantuan segera banjir yang diumumkan Perdana Menteri sebanyak RM50 juta sepatutnya disalurkan kepada kerajaan negeri dan bukannya menerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan.

Kenyataan Ahmad Samsuri jelas menunjukkan bahawa kerajaan negeri Terengganu tidak berpuas hati dengan cara bantuan kerajaan Persekutuan disampaikan tetapi beliau tidak ingin berbincang dengan Perdana Menteri di sebalik tabir, cuma menunjuk ketidakpuasan ini melalui media perantara.

Perkara paling mustahak dalam kejadian banjir adalah untuk menyampaikan bantuan dengan segera kepada mangsa banjir. Dalam situasi bencana, adakah soalan yang paling penting ‘siapakah yang memberikan bantuan?’ atau ‘bilakah bantuan boleh disampaikan?’

Sekiranya bantuan yang sepatutnya disalurkan kepada mangsa banjir ditangguh ekoran ‘rebutan politik’ yang remeh ini, ahli politik patut disalahkan untuk sengsara mangsa banjir.

Isu bantuan banjir merupakan salah satu isu yang dihebohkan pada masa sekarang. Terdapat banyak isu-isu yang melibatkan kerajaan Pusat dan kerajaan negeri yang boleh dipolitikkan lagi.

Dari segi sejarah, negeri yang ditadbir kerajaan pembangkang ada kalanya diabaikan kerajaan Pusat tetapi terdapat kes di mana kata sepakat dicapai antara kedua-dua pihak.

Contohnya, wang royalti minyak yang dikembalikan kepada Kelantan dan Terengganu semasa pemerintahan PH pada tahun 2019.

Tindakan ini menunjukkan kerajaan PH sedia memenuhi manifesto yang diumumkan dan lawatan Anwar ke Terengganu sememangnya tanda persahabatan beliau.

Walaupun ketua rundingan kerajaan PH untuk hal wang royalti minyak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah beralih kepada PN, Kopitiam ini yakin bahawa kerajaan PH mampu mencari orang perantara baharu yang mampu mengimbangi kemahuan kerajaan Pusat dan kerajaan negeri, sekiranya kerajaan negeri membuka pintu untuk menerima rundingan.

* Christine Cheah ialah seorang pemudi yang ingin mengangkat martabat wanita dalam kalangan masyarakat

Klik di sini untuk terus membaca