SIAPAKAH yang sentiasa mendorong, memberi kata-kata semangat, merangsang dan memberikan motivasi agar kita dapat meneruskan kehidupan dengan penuh ceria dan positif?
Saya percaya, senarai individu yang tersimpan di dalam memori anda tidaklah seramai individu yang suka menyakiti hati, suka menjatuhkan semangat, tidak ikhlas menyokong dan membantu, malah gembira dengan kegagalan kita.
Sebetulnya bukan mudah untuk mendapat dorongan daripada seseorang. Alangkah bertuahnya sekiranya dikelilingi oleh mereka yang sentiasa prihatin dalam memantau perkembangan kita. Paling tidak, bertanya khabar status kesihatan kita pun sudah memadai.
Namun begitu, situasi berkenaan amat sukar diperoleh dalam dunia yang penuh dengan persaingan ini. Pendek kata, masing-masing menjaga hal sendiri.
Berkaitan dengan kepentingan memberikan dorongan dan menerima dorongan, izinkan saya berkongsi dua situasi yang memberi impak yang besar terhadap emosi saya sepanjang minggu lepas.
Pertama, sewaktu saya sedang mencuci kenderaan, secara tiba-tiba ada individu yang tekun membersihkan kereta saya memanggil saya dengan gelaran Datuk. Terkejut saya dibuatnya, saya bertanya kepada dia: "Anda siapa ya, maaf saya tidak cam. Lagipun saya bukannya bergelar Datuk”.
Balas beliau: "Maafkan saya, mungkin encik tidak kenal saya, namun saya adalah bekas banduan yang baru diberikan pelepasan secara perintah parol oleh Jabatan Penjara Malaysia. Saya kenal encik kerana pernah memberikan kata-kata semangat sewaktu saya berada di dalam penjara. Alhamdulillah, kata-kata semangat encik sentiasa tersimpan dalam ingatan saya.”
Terkedu dan terharu saya mendengar hal tersebut kerana sepanjang bertugas sebagai Ahli Lembaga Hakim Pelawat Penjara di Pusat Koreksional Perlis, inilah kali pertama saya mendengar maklum balas daripada bekas penghuni penjara.
Sementara beberapa hari lepas, saya menerima panggilan telefon daripada saudara saya seorang perempuan yang memaklumkan dia terkena serangan strok peringkat pertengahan. Beliau berumur 46 tahun dan baru sahaja selesai menjaga ayahnya yang sakit.
Sambil menangis, dia berkata: "Boleh tak Abang Li berikan kata-kata semangat untuk saya? Sebelum ini, sewaktu menjaga ayah, kata-kata semangat Abang Li telah banyak memberi kekuatan kepada saya untuk menjaga ayah. Maklumlah pada masa yang sama perlu menguruskan keluarga juga”.
Sehingga kini, saya masih memberi dorongan kepadanya untuk terus kuat menghadapi ujian hidup ini.
Menurut perspektif psikologi, memberi dorongan kepada seseorang adalah sangat penting kerana segala kata-kata semangat telah meransang bahagian hadapan otak (prefrontal cortex) yang berkait rapat dengan pemikiran, kreativiti, memori dan juga memproses segala maklumat yang diterima oleh otak.
Justeru, kata-kata yang baik akan merangsang otak kita menjadi lebih tabah, berkeyakinan, berinspirasi serta penuh dengan harapan.
Teringat saya dengan sekeping gambar yang dikongsi oleh kawan saya baru-baru ini. Gambar tersebut menunjukkan seorang pelatih gajah sedang memegang bahagian punggung haiwan itu bagi tujuan ‘membantu’ gajah naik ke atas lori untuk membuat persembahan di kota raya.
Secara logiknya, adakah pelatih tersebut berjaya menolak gajah dengan kudratnya untuk naik ke atas lori? Sudah tentu tidak.
Namun, mengapa beliau melakukan tindakan demikian? Itulah yang dikatakan tindakan spontan oleh pelatih gajah untuk memberi dorongan kepada gajah di bawah jagaannya naik ke atas lori.
Berdasarkan beberapa perkongsian berkaitan kepentingan memberi dan menerima dorongan, pada hemat saya, sudah sampai masanya kita ‘tinggalkan’ mereka yang saban hari menyakiti dan berburuk sangka terhadap kita. Cari dan raikanlah sebaik mungkin kawan-kawan yang sentiasa mendorong kita.
Sesungguhnya, mereka adalah pemangkin kebahagiaan hidup kita. Dalam memberi dorongan, saya juga perlukan dorongan.
* Profesor Dr Huzili Hussin ialah Profesor Psikologi Kaunseling, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis
Klik di sini untuk terus membaca