SHAH ALAM - Seramai 5.1 juta atau 76 peratus pencarum bumiputera Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berumur bawah 55 tahun dikenal pasti mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 pada hujung tahun 2022. Ketua Pegawai Strategi... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Seramai 5.1 juta atau 76 peratus pencarum bumiputera Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berumur bawah 55 tahun dikenal pasti mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 pada hujung tahun 2022.

Ketua Pegawai Strategi KWSP, Nurhisham Hussein berkata, tahap simpanan penengah (median) untuk bumiputera telah jatuh daripada RM6,600 pada hujung tahun 2021 kepada RM4,700 pada hujung tahun 2022 di mana nilai itu jauh lebih sedikit berbanding sasaran RM240,000 untuk simpanan asas.

Berikutan itu, Nurhisham menegaskan KWSP bukanlah tidak mampu untuk mengendalikan sebarang pengeluaran tambahan demi keperluan pencarumnya yang berkeperluan.

Sebaliknya, beliau menegaskan sebarang keputusan pengeluaran simpanan tambahan selepas empat pakej pengeluaran sebelum ini, dibimbangi akan menjejaskan jaminan pendapatan pencarum untuk masa hadapan mereka.

"Ketika ini hanya 18.5 peratus pencarum KWSP mengikut umur yang mencapai tahap simpanan asas iaitu RM240,000.

"Walaupun KWSP cakna bahawa sesetengah pencarum masih terus terjejas, amanah yang diberikan kepada KWSP adalah untuk melindungi simpanan ahli untuk persaraan.

"KWSP pada masa sekarang lebih memberi tumpuan kepada usaha membina semula simpanan ahli sejajar dengan pembukaan semula sektor ekonomi (pasca pandemik Covid-19),” katanya kepada Sinar Premium.

Mengulas lanjut, Nurhisham berkata, bilangan pencarum yang berumur di bawah 55 tahun dengan simpanan kurang daripada RM10,000 meningkat sebanyak 9.7 peratus berbanding Disember 2021.

"Bilangan pencarum yang berumur di bawah 55 tahun dengan simpanan kurang daripada RM10,000 pula meningkat sebanyak 591,000 ahli berbanding Disember 2021,” katanya.

KWSP sebelum ini mendedahkan, seramai 6.1 juta ahli mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun simpanan mereka pada Oktober 2021.

Daripada jumlah ini, seramai 3.6 juta mempunyai simpanan kurang daripada RM1,000, seterusnya menjadikan kelompok ini lebih rentan tanpa perlindungan persaraan sewajarnya.

Sementara itu, Nurhisham menegaskan empat pengeluaran dikendalikan sebelum ini iaitu i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan Pengeluaran Khas RM10,000 yang berjumlah RM145 bilion bertujuan khusus bagi menampung kehidupan ahli semasa penutupan ekonomi semasa Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tambahnya, dengan pembukaan semula ekonomi negara pada tahun lalu, kadar penyertaan buruh telah meningkat kepada 69.8 peratus iaitu kadar tertinggi sejak 2010.

"Kadar pengangguran pula telah jatuh kepada 3.6 peratus, menunjukkan pasaran pekerjaan berada di landasan yang telah melepasi aras pemulihan.

"Mengambil maklum faktor-faktor ini, kaedah untuk membina semula kehidupan ahli yang masih terjejas patut bergantung semula kepada bantuan-bantuan dan kemudahan yang telah banyak disediakan oleh kerajaan,” katanya.

Oleh itu, Nurhisham menegaskan KWSP amat menggalakkan ahli untuk mencarum secara sukarela supaya dapat membina semula simpanan yang telah berkurang demi menjamin masa depan lebih baik.

Klik di sini untuk terus membaca