SHAH ALAM - Kecurian benih dan anak kerang dalam skala besar akan mengganggu kestabilan ekosistem marin secara keseluruhan selain mengancam kelangsungan sumber itu di Malaysia. Pengasas Bersama Project Ocean Hope, Mogesh Sababathy berkata,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kecurian benih dan anak kerang dalam skala besar akan mengganggu kestabilan ekosistem marin secara keseluruhan selain mengancam kelangsungan sumber itu di Malaysia.

Pengasas Bersama Project Ocean Hope, Mogesh Sababathy berkata, kekurangan populasi kerang akan menyebabkan populasi mangsanya iaitu plankton meningkat.

"Selain itu, pemangsa kerang pula akan berkurang kerana tidak ada sumber makanan yang cukup.

"Kerang ini sifatnya mencari makanan dengan menapis air di kawasan dasar perairan. Pada masa sama dua jenis plankton seperti fitoplankton dan zooplankton dapat dimakan.

"Dengan proses tapisan air itu, ia membantu mengurangkan komposisi mendapan dan nutrien berlebihan dalam air, seterusnya menjernihkan air di kawasan tersebut," katanya kepada Sinar Ahad.

Mogesh yang juga pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Biologi Molekul dan Kejuruteraan Genetik di Universiti Putra Malaysia berkata, kerang bertindak sebagai indikator biologi terhadap sesuatu kawasan.

"Kehadiran kerang di kawasan itu menyebabkan perairan di situ menjadi jernih selain menjadikan hidupan marin di kawasan sekitar selamat," ujarnya.

"Peningkatan nutrien berlebihan tersebut merangsang pertumbuhan alga sekali gus menyebabkan air yang jernih bertukar warna menjadi hijau.

"Proses dipanggil eutrofikas itu akan menyebabkan kawasan tersebut memberi bau kurang menyenangkan dan menghalang cahaya matahari daripada menembusi permukaan air.

"Ia juga boleh mengeluarkan toksin yang sangat berbahaya kepada organisma marin lain sehingga menjejaskan semua pihak termasuk penggemar makanan lautan," ujarnya.

Jelas beliau, kerang juga mempunyai keupayaan untuk menyerap dan menyimpan nitrogen dan karbon di dalam tisu dan juga cangkerang sekali gus mengurangkan kesan gas rumah hijau dan perubahan iklim.

Sebelum ini, bekas Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Munir Mohd Nawi pernah mendedahkan kerang di Malaysia diancam kepupusan atas pelbagai faktor.

Selain aktiviti kutipan yang tidak terkawal, faktor ancaman lain ialah perubahan suhu, kealkalian atau keasidan air, rendah kandungan oksigen dan pencemaran bahan kimia.

Menurut beliau, perubahan ketara jumlah pendaratan kerang amat membimbangkan bermula tahun 2010 hingga 2016 dengan penurunan yang amat tinggi iaitu sebanyak 80 peratus.

Contohnya, kata beliau, Perak mencatat kemerosotan mendadak pendaratan kepada 7,000 tan sahaja pada tahun 2016 berbanding 70,000 tan pada 1995.

HARGA KERANG PELBAGAI GRED NAIK SEJAK TIGA TAHUN LALU

Sementara itu, di Sekinchan, harga kerang pelbagai gred yang dijual di pasaran meningkat mendadak sejak tiga tahun kebelakangan ini.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Nelayan Sekinchan, Ibrahim Mat, 44, berkata, harga kerang gred A misalnya naik sehingga RM16 sekilogram.

Menurutnya, kerang gred B dan C pula masing-masing naik antara RM14 dan RM12 sekilogram.

"Harga ini di Pasar Awam Sekinchan. Saya rasa harga kerang di bandar mungkin melambung lebih tinggi lagi," katanya kepada Sinar Ahad.

Ibrahim berkata, peningkatan harga kerang berlaku disebabkan kesukaran mendapatkan spesies itu akibat perbuatan manusia.

Ujarnya, kegiatan mencuri benih kerang dilakukan sindiket menggunakan bot roto yang kemudiannya diseludup ke Thailand.

"Kita dapati benih kerang ini dicuri untuk pasaran di Thailand. Saya difahamkan harga dijual mengikut tin minyak kelapa mencecah sehingga RM1,500," ujarnya.

Jelasnya, penggunaan bot roto menyebabkan kemusnahan spesies itu dan juga habitat cangkerang lain seperti mentarang, kijing, lala, kupang dan siput.

"Bekalan kerang untuk pasaran tempatan semakin berkurangan dan keadaan semakin buruk apabila ada pihak tidak bertanggungjawab mengaut hasil kerang di kebun kerang.

"Kami meminta Jabatan Pertanian Selangor menangani segera isu kebun kerang agar tidak terus dimonopoli pihak tertentu menggunakan bot roto untuk mengaut keuntungan semata-mata," katanya.

AMBIL LANGKAH KOMPREHENSIF ATASI ISU KERANG

Dalam pada itu, kerajaan perlu mengambil langkah komprehensif bagi memastikan isu kekurangan populasi kerang di perairan negara dapat diatasi secara berkesan.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, selain mempertingkatkan penternakan, pihak berwajib juga wajar mempergiat operasi pencegahan aktiviti mencuri dan menyeludup hidupan laut berkenaan.

Ujarnya, CAP pernah menggesa pihak berwajib melihat secara serius perkara ini dua tahun lalu dan berharap tindakan lebih tegas dapat dilaksanakan.

"Perkara ini (kecurian kerang) perlu diberi perhatian khusus supaya sumber pendapatan nelayan tempatan tidak terjejas selain memastikan pengguna tidak terbeban dengan harga pasaran yang tinggi.

"CAP juga menggesa kawalan dan penguatkuasaan undang-undang dilakukan dengan lebih tegas dan berkesan oleh jabatan dan agensi terlibat," katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Mohideen turut menggesa Jabatan Perikanan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia untuk mempertingkatkan rondaan di perairan yang menjadi kawasan semula jadi pembiakan kerang bagi memastikan kegiatan mencuri benih kerang dapat disekat.

Beliau berkata, tindakan itu penting bagi menjamin bekalan kerang kekal di pasaran dengan harga yang tidak membebankan pengguna.

Klik di sini untuk terus membaca