SHAH ALAM - Benih dan anak kerang kini ibarat emas hitam dalam kalangan penyeludup gara-gara harganya yang mencecah ratusan ringgit sekilogram di pasaran gelap, sekali gus menjadi ancaman kepada hidupan itu di perairan negara. Kegiatan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Benih dan anak kerang kini ibarat emas hitam dalam kalangan penyeludup gara-gara harganya yang mencecah ratusan ringgit sekilogram di pasaran gelap, sekali gus menjadi ancaman kepada hidupan itu di perairan negara.

Kegiatan mencuri anak dan benih kerang itu sering dikesan dilakukan warga asing dan tempatan terutama pada bulan November hingga April. Malah disyaki ada pemimpin masyarakat serta penduduk yang sanggup bersekongkol dengan kegiatan haram berkenaan.

Bagi menyulitkan tindakan pihak berkuasa, kumpulan itu turut beroperasi menggunakan khidmat tonto dan dron bagi memantau pergerakan serta kehadiran pihak berkuasa.

Harga benih kerang di pasaran gelap boleh mencecah RM260 sekilogram (kg) dan diseludup ke negara jiran, Thailand melalui jalan darat mahupun laut.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, risikan pihaknya mendapati terdapat dua modus operandi kegiatan mencuri anak dan benih kerang di perairan negara.

"Pertama adalah kaedah tangguk tangan atau tongkah. Kegiatan itu biasa dijalankan warga asing terutama Kemboja serta didalangi orang tempatan.

Noraisyah

"Kegiatan ini dijalankan semasa air surut dan tamat semasa air laut pasang. Anak dan benih kerang yang diambil akan dibawa ke tempat pengumpulan iaitu inap desa (homestay) untuk disukat dan dibungkus. Ini bagi mengelakkan maklumat mudah bocor kepada pihak berkuasa.

"Anak atau benih kerang yang telah disukat kemudian dibawa ke satu lagi tempat pengumpulan haram seperti jeti atau rumah sebelum dibawa keluar dari Selangor selalunya pada waktu malam dan akan diseludup ke Thailand,” katanya kepada Sinar Ahad.

Noraisyah berkata, satu lagi ialah kaedah bot berenjin yang dilakukan oleh warga tempatan menggunakan tangguk bergalah semasa air surut dan akan selesai ketika air mula pasang.

Katanya, anak atau benih kerang itu kemudian dikumpulkan sama ada di pesisir pantai atau dikumpulkan di kawasan daratan.

"Tekong darat akan membawa anak atau benih kerang yang dikumpul kepada peraih sebelum diseludup keluar dari negeri ini,” ujarnya.

ORANG TEMPATAN MENJADI DALANG

Tambah beliau, anak atau benih kerang itu disukat menggunakan tin minyak tanah iaitu seberat kira-kira 3kg yang bernilai RM800.

"Kita tidak tolak kemungkinan terdapat penglibatan pemimpin masyarakat dan penduduk tempatan yang memperoleh pendapatan lumayan hasil daripada aktiviti haram ini,” jelasnya.

Ujar Noraisyah, apabila hasil anak dan benih kerang mahal, imbuhan yang diterima dalang warga tempatan juga lumayan sehingga mereka sanggup membiarkan warga asing mencuri hasil negara.

Ujarnya lagi, penyeludupan ke Thailand berlaku kerana tawaran harga yang tinggi. Pihak di negara terbabit akan menabur serta membiakkan semula benih kerang berkenaan sebelum dijual kembali ke pasaran Malaysia pada harga lebih tinggi.

"Tidak mustahil kerang dari Thailand itu dijual semula kepada kita. Ini satu kerugian kepada kita (Malaysia).

"Mereka ternak jadi kerang dewasa. Benih itu mahal sampai ada yang menggelarnya sebagai emas hitam. Jika beberapa tahun dulu harganya sekitar RM300 satu tin sekarang mencecah RM800.

"Ada juga dicuri dan dijual kepada penternak tempatan tetapi lebih banyak dijual ke Thailand kerana lebih lumayan,” jelasnya.

Tegasnya, ini terbukti susulan beberapa kes penyeludupan benih kerang yang berjaya dipatahkan di sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, Kedah serta Padang Besar, Perlis.

Mengulas mengenai kegiatan yang masih berlaku biarpun penguatkuasaan sering dilaksanakan, beliau berkata, ia disebabkan permintaan yang tinggi.

Rampasan benih kerang di Sungai Ayer Tawar, Sabak Bernam, Selangor tahun lalu.

"Di Thailand tiada benih semula jadi, jadi mereka terpaksa bergantung dengan kita di sini untuk dapatkan benih semula jadi.

"Bila bekalan dan permintaan itu ada, memang kegiatan penyeludupan akan terus berlaku,” katanya sambil menambah, proses kematangan kerang bermula dari anak ke dewasa adalah sekitar setahun.

Statistik kes curi kerang di Selangor (2015-2022):

- Jumlah kes: 69 kes

- Nilai rampasan: RM391,480

- Jumlah tangkapan: 3 lelaki warga tempatan

Butiran rampasan:

- 669 guni anak kerang

- 1,034 unit tongkah

- 260 unit tangguk tangan

- 2 buah sampan

- 1 lori & 1 motosikal

Lokasi Panas

- Sabak Bernam: Sungai Lang, Pantai Bagan Nakhoda Omar, Kampung Banting, Sungai Besar, Sungai Haji Dorani, Sungai Nipah, Sungai Nibong, dan Sekinchan.

Kuala Selangor: Bagan Pasir, muara Kuala Selangor, Assam Jawa, dan Sungai Buloh.

Tindakan undang-undang

- Seksyen 3(1) Akta Perikanan 1985. Boleh didenda tidak lebih RM20,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

- Seksyen 4(1) Akta Perikanan 1985. Boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Saiz kerang

- Kurang 4mm dipanggil anak kerang.

- 4mm hingga 25mm benih kerang.

- Lebih 25mm merupakan kerang dewasa.

Klik di sini untuk terus membaca