TINDAKAN mengejut beberapa pemimpin UMNO mengorkestrakan usul tambahan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 agar jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan meninggal titik hitam dan melakarkan masa depan yang suram kepada parti itu.
UMNO ditubuhkan pada 1946 adalah antara parti demokratik terbesar negara ini. Tidak ada parti lain boleh mempunyai kekuatan akar umbi sebesar UMNO baik dari segi keahlian mahu pun struktur organisasi parti.
Namun Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan UMNO kalah teruk. Dari segi jumlah kerusi dan undi populariti, ia ketinggalan kepada parti-parti lain.
Dari segi ikatan politik, Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO hanya berada di tempat ketiga di belakang Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
Kerusi-kerusi majoriti Melayu yang selama ini menjadi kekuatan UMNO dan BN berpindah kepada PN.
Kesimpulan daripada kekalahan terburuk UMNO ini adalah faktor kepimpinan yang ditolak oleh pengundi. Kepimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang terkait perbicaraan mahkamah telah menjauhkan pengundi bandar dan pinggir bandar.
Lebih malang sentimen kurang senang orang Melayu terhadap kecurangan Ahmad Zahid terhadap kerajaan campuran BN-PN sepanjang tiga tahun lalu telah meleret ke kampung-kampung, desa dan pedalaman.
Tindakan beliau berterusan menggesa PRU15 disegerakan, menggugurkan pemimpin kanan UMNO; dan terus bertanding dalam pilihan raya menyebabkan parti hilang sokongan secara drastik.
UMNO hanya memenangi 26 kerusi Parlimen, hilang Perlis dan terpaksa bekerjasama dengan seteru politik orang Melayu -DAP- di Perak dan Pahang bagi membentuk kerajaan.
UMNO parti besar yang sentiasa mempunyai pemimpin berjiwa besar. Almarhum Tunku Abdul Rahman, Almarhum Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak melepaskan kepimpinan parti apabila keputusan PRU tidak memihak mereka.Bagaimanapun hal itu tidak berlaku kali ini.
Ahmad Zahid bukan sahaja enggan berundur, malah mahu mengekalkan jawatan presiden tanpa pertandingan.
Usul tambahan yang dikemukakan oleh pencadang usul ucapan presiden UMNO dari Negeri Sembilan bukan sahaja salah dari segi peraturan usul malah melanggar Perlembagaan UMNO.
Usul PAU tidak boleh mengatasi peruntukan perlembagaan parti. Ini telah terbukti pada tahun lalu apabila UMNO terpaksa membuat pindaan perlembagaan bagi membolehkan tempoh pemilihan jawatan dalam parti boleh ditangguhkan sehingga enam bulan selepas PRU.
Jika usul PAU mengatasi perlembagaan parti, maka tiada keperluan UMNO membuat pindaan perlembagaan.
Justeru usul PAU kali ini yang melarang pertandingan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden adalah tidak sah.
Perlembagaan UMNO perlu dipinda terlebih dahulu sekiranya mahu memberi kuasa kepada PAU menghalang pertandingan jawatan presiden dan timbalan presiden.
Secara prinsip adalah mustahil untuk Pendaftar Pertubuhan (RoS) membenarkan UMNO menerima pakai usul tambahan ini. Namun kredibiliti RoS telah lama terjejas. Ia tampak tidak berupaya membuat keputusan yang bebas daripada pihak yang menguasai kerajaan.
Namun yang lebih mengejutkan, sebahagian besar pemimpin UMNO mengambil sikap menyokong atau berdiam diri walaupun tahu parti akan berhadapan masa depan yang suram dengan barisan kepimpinan sedia ada.
Hanya segelintir dalam kalangan pemimpin kanan UMNO seperti Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Johari Ghani dan Datuk Hasni Mohamad yang lantang bersuara mahu ahli dibenarkan membuat pilihan sama ada mahukan perubahan atau mengekalkan status quo.
Beberapa pemimpin muda seperti Menteri Besar Johor, Dato Onn Hafiz Ghazi, Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan dan ADUN Kemayan (Pahang), Khaizul Nizam Mohamad Zuldin turut secara terbuka menggesa kedua-dua jawatan terbabit dipertandingkan.
Selebihnya hanya mendiamkan diri melihat pucuk pimpinan UMNO sedang memimpin parti melakukan harakiri. Mereka tidak lagi berasa apa-apa apabila UMNO lemah. Kepentingan diri mengatasi kepentingan parti.
*Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar).
Klik di sini untuk terus membaca