SHAH ALAM - Cadangan dan desakan agar pencarum dibenarkan lagi mengeluarkan wang dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak dipersetujui oleh pemimpin kerajaan.
Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, kebenaran kali kelima merupakan satu tindakan atau cadangan yang tidak bersesuaian dengan situasi semasa.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Johor berkata, sekiranya masyarakat masih berada dalam keadaan terdesak seperti mana situasi Covid-19 masih melanda dunia, cadangan membenarkan pengeluaran wang simpanan daripada KWSP mungkin ada kewajarannya.
Namun begitu katanya, ketika negara dan dunia sudah hampir bebas sepenuhnya daripada Covid-19 dan sektor ekonomi kembali beroperasi semula seperti sedia kala, maka saranan itu tidak mempunyai asas kukuh.
"Dalam keadaan mendesak semasa Covid-19, ada kewajaran untuk membenarkan orang ramai membuat pengeluaran wang KWSP.
"Namun setelah ekonomi kembali dibuka dan bertambah pulih, saya percaya adalah lebih baik wang KWSP dikekalkan sebagai simpanan hari tua dan hanya boleh digunakan oleh ahlinya pada tempoh ditetapkan,” katanya kepada Sinar Premium.
Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata, meskipun wang KWSP adalah milik pencarum, namun satu permasalahan besar akan timbul di kemudian hari sekiranya wang simpanan usia tua itu dibenarkan untuk digunakan pada masa ini.
Jelasnya, satu perkara yang sangat dibimbangi apabila orang ramai tidak lagi mempunyai simpanan yang mencukupi bagi digunakan pada masa hadapan setelah tamat perkhidmatan atau tidak lagi bekerja.
Oleh yang demikian menurutnya, saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya satu bentuk bantuan lain yang boleh disediakan oleh kerajaan bagi membantu orang ramai berbanding membenarkan pengeluaran bersasar KWSP.
"Malah saya juga percaya masih banyak skim bantuan yang tidak diketahui atau dimanfaatkan oleh rakyat sebagai contoh elaun hilang pekerjaan dan elaun cari kerja oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
"Selain itu, agensi-agensi digalakkan untuk turun ke bawah bagi melaksanakan sesi libat urus dan menjelaskan bagaimana skim bantuan oleh agensi tersebut boleh dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh orang ramai yang memerlukan,” katanya.
Sementara itu, Bendahari Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Melaka, Datuk Gue Teck sama sekali tidak bersetuju sekiranya orang ramai terus dibenarkan untuk membuat pengeluaran daripada KWSP seperti mana yang dibenarkan sebelum ini.
Tegas beliau, tindakan mengeluarkan wang KWSP adalah tidak wajar, malah tidak akan dapat membantu menyelesaikan masalah orang ramai.
Sebaliknya kata beliau, tindakan membenarkan orang ramai mengeluarkan wang KWSP bukan pada usia tua atau selepas tamat perkhidmatan akan menimbulkan implikasi besar kerana tidak lagi mempunyai simpanan mencukupi membiayai masa bersara.
"Tujuan diwujudkan KWSP adalah untuk simpanan wang yang mencukupi bagi kegunaan masa depan atau selepas bersara.
"Oleh itu, jangan sesekali dengan mudah berfikir hendak mengeluarkan wang ini (KWSP) semasa kita masih muda dan kuat daripada aspek fizikal,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca