SEBUAH akhbar arus perdana dalam versi atas talian pada 19 Januari menyiarkan tajuk berita ‘BNM buat kejutan kekalkan OPR pada 2.75 peratus’. Mungkin akhbar itu terkejut oleh sebab dua hari sebelumnya ia telah menyiarkan tajuk ‘BNM... Klik di sini untuk terus membaca

SEBUAH akhbar arus perdana dalam versi atas talian pada 19 Januari menyiarkan tajuk berita ‘BNM buat kejutan kekalkan OPR pada 2.75 peratus’.

Mungkin akhbar itu terkejut oleh sebab dua hari sebelumnya ia telah menyiarkan tajuk ‘BNM hampir pasti naikkan lagi kadar faedah bulan ini’.

Awal bulan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) mempunyai hak dan kuasa (bahasa Jawa wewenang) dalam membuat keputusan berkaitan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Beliau yang juga Menteri Kewangan menambah, kalau hendak bincang, beliau boleh bincang tapi penetapan OPR adalah hak dan kuasa Bank Negara.

Jadi, kita harap keputusan Bank Negara tidak menaikkan lagi OPR tetapi mengekalkannya adalah hasil perbincangan dengan Perdana Menteri atau, setidak-tidaknya pun, mengambil kira kemungkinan kesan negatif ke atas beliau sekiranya kadar dinaikkan.

Macam saya sudah kata, Perdana Menteri yang juga memegang jawatan Menteri Kewangan adalah sangat powerful dan mempunyai tanggungjawab yang sangat berat terhadap rakyat jelata.

Orang tua macam saya masih ingat iaitu semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada tahun 1990-an Anwar sangat berpengaruh ke atas Bank Negara.

Misalnya, apabila beliau tidak setuju dengan cadangan Perdana Menteri waktu itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, melaksanakan kawalan terhad mata wang, Gabenor dan Timbalan Gabenor yang juga menentang langkah Dr Mahathir itu meletakkan jawatan.

Sekarang sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, tentulah beliau lebih berpengaruh ke atas Bank Negara.

Maaf cakaplah kalau saya kata, tidak guna Anwar melanggar prinsip Pakatan Harapan (PH) dengan memegang jawatan kedua sebagai Menteri Kewangan kalau berdiam diri terhadap tindak-tanduk Bank Negara atau mana-mana juga agensi kerajaan.

Kita faham yang Perdana Menteri tidak mahu dituduh campur tangan dalam pengurusan agensi-agensi ini apatah lagi mencetuskan kemarahan kakitangan awam. Tetapi haruslah ada had dalam berlembut dan berdiplomasi atau hendak popular dengan kakitangan awam.

Kepentingan rakyat jelata wajib diutamakan. Khusus mengenai OPR ini, banyak rakyat jelata yang menggunakan bank, sama ada untuk menyimpan atau berhutang (atau kedua-duanya sekali) tidak faham fungsi OPR. Jadi adalah tanggungjawab kerajaan melindungi mereka.

Secara ringkas, kadar OPR diturunkan ke tahap paling rendah dalam sejarah pada tahun 2020 iaitu 1.75 peratus daripada tiga peratus.

Ini adalah sebagai reaksi kepada kemelesetan ekonomi akibat pandemik Covid-19. Kalau ikut takrif perbankan, OPR ini adalah kadar faedah semalaman yang diputuskan oleh Bank Negara sebagai penunjuk arah dasar mata wang.

Menurut Bank Negara lagi, peranannya adalah mewujudkan kestabilan mata wang dengan tujuan mengekalkan kadar kenaikan harga yang rendah dan boleh dijangkakan bagi barang-barang dan perkhidmatan. Ertinya membantu mengawal inflasi.

Malangnya, lagi tinggi kadar OPR lagi tinggi jugalah kadar pinjaman. Kadar pinjaman yang tinggi boleh melonjakkan kadar inflasi. Kadar pinjaman yang dikenakan oleh institusi kewangan naik mengikut peningkatan OPR. Sekarang kadar asas pinjaman (BLR) adalah sekitar 6.40 peratus setahun.

Bila kos pinjaman naik, harga barang dan perkhidmatan pun naik juga. Apabila harga naik berlebihan maka berlakulah inflasi yang membebankan pengguna.

Jadi dasar OPR ini boleh menjadi pisau dua mata. Bank Negara mula naikkan OPR mulai 11 Mei 2022 kepada dua peratus, kemudian kepada 2.25 peratus pada 6 Julai, 2.50 peratus pada 8 September dan 2.75 peratus pada 3 November.

Rasanya kalau tidak kerana perdebatan umum dalam media arus perdana dan media sosial, yang turut melibatkan Perdana Menteri, Bank Negara mungkin terus menaikkan OPR.

Kesimpulannya, setiap apa saja yang berlaku dalam sistem ekonomi dan pentadbiran negara, tanpa mengira siapa yang melakukannya, akan jatuh ke atas bahu Perdana Menteri. Beliau tidak boleh bagi alasan bidang kuasa orang lain.

Apatah lagi dalam kes Anwar, beliau memilih untuk juga menjadi Menteri Kewangan walaupun bertentangan dengan dasar PH bahawa Perdana Menteri tidak boleh memegang jawatan kedua dalam kabinet.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara.

Klik di sini untuk terus membaca