WASHINGTON - Subvarian Omicron baru XBB.1.5 atau 'kraken' dianggarkan menyumbang sebanyak 49.1 peratus kes Covid-19 di Amerika Syarikat (AS), naik daripada 37.2 peratus yang dicatatkan minggu lalu.
Menurut data yang dikeluarkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS pada Jumaat, anggaran itu adalah bagi minggu berakhir 21 Januari.
Subvarian XBB.1.5 menular dengan pantas di AS, khususnya di bahagian timur laut.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ketika ini XBB.1.5 adalah varian yang paling mudah berjangkit.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata XBB.1.5 telah meningkat di merata dunia dan dikenal pasti di lebih 25 negara.
Menurut data CDC, jangkitan Covid-19 mingguan merosot selepas meningkat sedikit pada bulan Disember dan awal Januari.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada XBB.1.5 boleh menyebabkan gelombang jangkitan globalnya sendiri, tetapi pakar epidemiologi berkata suntikan dos penggalak sedia ada menawarkan beberapa perlindungan terhadap gejala teruk, kemasukan ke hospital dan kematian.
Menurut anggaran terkini CDC AS pada Jumaat, terdapat sekurang-kurangnya 25 juta pesakit, 270,000 dimasukkan ke hospital dan 17,000 kematian akibat selesema setakat musim ini di AS.
Lebih 6,300 orang dimasukkan ke hospital akibat selesema di AS pada minggu terbaru berakhir pada 14 Januari lalu.
Enam kematian kanak-kanak berkaitan demam selesama dilaporkan minggu ini dengan 85 kematian selesema kanak-kanak dilaporkan setakat musim ini.
Dalam pada itu, CDC turut menggesa orang ramai agar mendapatkan suntikan selesema setiap tahun bagi mencegah jangkitan dan kesan yang buruk. - Agensi
Ikuti perkembangan semasa mengenai Covid-19 di sini!
Klik di sini untuk terus membaca