PADA 24 November 2022, pentadbiran negara berubah baton apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik menjadi Perdana Menteri. Adalah menjadi kelaziman apabila kepimpinan baharu mengambil-alih teraju negara, wawasan, misi, visi atau agenda kepimpinan diperkenalkan. Malaysia pernah menitip Wawasan 2020, Islam Hadhari, 1Malaysia, Wawasan Kemakmuran Bersama, Malaysia Prihatin dan Keluarga Malaysia.
Pada 19 Januari 2023, Anwar mengemukakan maqasid Malaysia Madani. Ia adalah satu kesinambungan untuk memapar kebertanggungjawaban ke atas rakyat dan waktu yang sama memperkasa rakyat. Pemikiran kesaksamaan, kerohanian dan kebendaan adalah ramuan yang disiram bersama dalam proses penghasilan Malaysia Madani.
Kerangka kerajaan demokratik yang mengikatnya dengan tata kelola pembudayaan nilai etika, akhlak, akidah dan leluhur bangsa mendasari kewibawaan membina kekuatan tamadun madani ini.
Maqasidnya jelas yakni keterangkuman berpusatkan kepada manusiawi dengan keupayaan memberikan keselesaan, keselamatan, keamanan, keadilan dan kebajikan yang sarat dengan reputasi memelihara martabat rakyat semua latar agama, etnik dan seluruh pelosok kampung, pedalaman dan bandar.
Falsafah pembangunan yang menyeluruh dan komprehensif berpandukan kepada enam nilai iaitu mampan, sejahtera, daya cipta, hormat, yakin dan ihsan menjadi indikator induknya. Pengislahan yang tidak mengetepikan nilai universal dan pacuan pertumbuhan dianggap penting untuk meredakan kesenjangan khususnya yang bertaut dengan gaya hidup dan roda kehidupan.
Malaysia Madani dianggap usaha merangkumkan kekuatan semua baik golongan majoriti mahupun minoriti. Ia juga mengangkat nilai intra dan inter ras dan etnisiti. Di samping itu, nilai kemanusiaan dan keinsanan dianggap penting untuk dipelihara walau berbeza latar.
Perlembagaan dan Rukun Negara yang kaya dengan nilai dijadikan sebagai kompas pengemudi. Ia penting untuk mempertahan negara yang merdeka.
Perpaduan, kebahagiaan dengan keamanan berteraskan kepada kesungguhan menjaga tatasusila dan adat jiwa manusia yang tidak jelik dijadikan kepatuhan kepada hukum dan peradaban madani. Hatta, ia merentasi martabat kebahagiaan semua merangkumi Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Jurang kelas, etnik, negeri dan pendidikan mahu dirapatkan di bawah tatacara madani kerana ia sarat dengan rasa prihatin, rahmah dan ehsan. Sudah pasti, ia adalah soal reformasi dalam sektor politik, ekonomi, sosial, perundangan, kebudayaan dan kemasyarakatan yang memerlukan pemantauan, pemberdayaan demi mengatasi percanggahan, kegelisahan, kerumitan dan pertembungan.
Wajah ‘Malaysia Madani’ perlu melalui beberapa fasa termasuk memudahkan pemahaman, seterusnya penerapan dan akhirnya menjadi amalan kehidupan. Ia perlu disulam dengan Indeks Kesejahteraan, Indeks Kegembiraan dan Indeks Kedamaian. Pendekatan pelbagai dimensi boleh menjadi alat metodologi strategi dan intervensi.
Ilham Malaysia Madani memerlukan nilai faham, hormat dan terima untuk membina keyakinan dan perhebatkan kesejahteraan. Program dan aktiviti berterusan diperlukan agar pemasaran dan penjenamaannya sampai kepada pelbagai kumpulan sasar. Ia tidak boleh bersifat retorik politik. Rakyat tidak boleh berada dalam keperitan lompang antara darjat manusia bilamana 20 peratus dari kelas pertengahan (M40) sudah hinggap di kelompok B40.
Asas kepada masyarakat termasuk budaya, sosialisasi, interaksi sosial, organisasi dan amalan devian perlu diawasi. Begitu juga dengan elemen ketidaksamaan sosial termasuk lapisan sosial, stratifikasi gender, hubungan etnik, serta masyarakat warga emas, wanita dan belia.
Kepentingan institusi sosial seperti ekonomi, politik, keluarga, agama, pendidikan dan kesihatan perlu diteliti sebagaimana perubahan sosial ke atas populasi, urbanisasi, persekitaran, pergerakan sosial, tingkah laku kolektif, tradisi, moden dan masyarakat pasca-moden juga perlu dihalusi.
Maqasid Malaysia Madani adalah tanggungjawab bersama. Ia boleh mempunyai perancangan jangka segera, pendek, sederhana dan panjang. Bajet 2023 dan Rancangan Malaysia sudah boleh mempunyai item yang membawa aspirasi ilham madani ini sebagaimana pelan tindakan mana-mana kementerian.
Slogan penting untuk menentukan agenda. Ia juga adalah teras kepada usaha tindakan dan tingkah laku kepimpinan ke atas institusi, struktur, dasar dan massa. Slogan akan menjadi efektif jika diterjemahkan dalam pelaksanaan dan pemantauan berterusan jika peka kepada minda dan hati rakyat. Kepimpinan melalui teladan adalah formula Malaysia Madani.
* Profesor Dr Sivamurugan Pandian, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia.
Klik di sini untuk terus membaca