PERISTIWA Langkah Sheraton pada bulan Mac 2020 hakikatnya menghadirkan kejutan terbesar dalam hidup Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, DATUK SERI SULAIMAN MD ALI.
Tidak menyangka dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12, Sulaiman terpaksa menggalas tanggungjawab berat mengemudi negeri itu keluar daripada kepompong tri-krisis terbesar iaitu ketidakstabilan politik, ekonomi dan kesihatan akibat pandemik Covid-19.
Pada masa sama, Sulaiman perlu merencana pelan strategi perancangan ekonomi negeri Melaka yang lebih mampan bagi memecahkan stigma negeri itu sekadar dianggap destinasi pelancongan hujung minggu semata-mata.
Ikuti wawancara eksklusif Sulaiman bersama Ketua Pengarang Sinar Harian, ZAMRI RAMBLI; wartawan Sinar Premium, KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN; wartawan Sinar Harian, NOR FARHANA YAACOB dan produser Sinar Harian, ZAILA ALI bagi menyelami luahan hati, perancangan dan harapan beliau pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam menjadikan Melaka setanding dengan Singapura dan Pulau Pinang.
SINAR PREMIUM: Boleh Datuk Seri imbau semula detik 9 Mac 2020 di mana permulaan dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka? Apa perasaan dan cabaran dihadapi ketika itu?
SULAIMAN: Menyorot kembali peristiwa 9 Mac 2020, saya mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ketika itu. Pertamanya memang saya tidak menyangka sama sekali dipilih menjadi ketua menteri. Selepas peristiwa Langkah Sheraton, negeri-negeri juga ada terlibat, termasuklah Melaka.
Sebelum mengangkat sumpah, Gabenor Negeri Melaka, Tun Yang Terutama Tun Khalil Yaakob memanggil kesemua 17 ADUN menyokong kerajaan seorang demi seorang untuk bertanya siapa yang mereka rasakan layak diangkat sebagai ketua menteri.
Berbekalkan keputusan watikah pelantikan dan bertepatan kehendak majoriti ADUN menyokong kerajaan yang mahukan saya dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12, maka saya dipanggil Tun Khalil yang memaklumkan saya perlu menghadiri istiadat mengangkat sumpah Ketua Menteri Melaka baharu pada keesokan harinya, jam 4.30 petang tanpa gagal.
Akhirnya saya mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka baharu pada 4.45 petang dan sejurus selepas itu, baru saya tersedar daripada kejutan.
Saya agak khuatir dan bimbang pada ketika itu, apakah saya mampu menerajui, mengurus dan mentadbir negeri ini?
Dalam suasana politik cukup tidak menentu pada ketika itu, kedudukan kerajaan diambil alih tidak stabil. Pada masa sama, 18 Mac pula Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atas arahan kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.
Pada masa sama rakyat ketika itu berdepan masalah catuan air. Saya bertekad untuk segera selesaikan masalah catuan air. Alhamdulillah, saya berjaya.
Seterusnya saya kena fikirkan langkah-langkah mengangkat kembali pembangunan Melaka sementara negara berdepan Covid-19. Jadi saya minta semua syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) yang menguruskan produk pelancongan Melaka, melaksanakan kerja penyelenggaraan peralatan dan kemudahan pelancongan sewaktu aktiviti pelancongan terhenti.
Saya juga melihat Melaka tidak boleh sekadar menjadi negeri pelancongan, apatah lagi menjadi pusat pelancongan hujung minggu sahaja. Sebab itu saya berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri dan penjawat awam. Kita mesti bentuk Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTEN) Melaka.
Melaka tidak macam negeri lain. Sebagai contoh, Melaka punya kegiatan perniagaan dan potensi ekonomi, saya simpulkan sama seperti negeri-negeri Selat lain iaitu Pulau Pinang dan Singapura. Apa sumber ada di Melaka? Kalau sumber air, kita terpaksa import dari Johor.
Ini kerana sungai di Melaka, muaranya dari Negeri Sembilan serta Johor dan hanya melalui Melaka. Permintaan bagi kegunaan air di Melaka dalam sehari adalah 650 juta liter sehari. Sungai Melaka hanya mampu menampung 80 hingga 100 juta liter sehari. Jadi, selama ini kita terpaksa beli air dari Johor.
Pembalakan kita tiada. Hutan di Melaka pula hanya meliputi tiga peratus daripada 1,600 kilometer persegi jumlah keluasan negeri ini. Itu pun kesemua kawasan itu diwartakan sebagai hutan simpan. Hasil perlombongan juga tiada.
Situasi kita sama seperti Singapura dan Pulau Pinang. Namun mengapa mereka lebih maju? Sebenarnya kehebatan Melaka kerana lokasi cukup menarik dan lautnya cukup dalam. Kapal-kapal dagang akan lebih mudah mengemudi hala tuju terus ke pelabuhan Melaka tanpa perlu melalui laluan selat lebih rumit. Kita mesti ada sebuah pelabuhan. Kalau bukan kerana pelabuhan, Singapura dan Pulau Pinang tidak akan maju.
Dalam setahun, hampir 100,000 buah kapal melewati Selat Melaka. Selat Melaka merupakan laluan kapal yang paling sibuk di dunia selain Selat Inggeris. Kalau kita boleh tarik kehadiran lima peratus daripada jumlah itu atau 5,000 buah kapal untuk berlabuh dan berdagang di negeri Melaka, dengan kemudahan pelabuhan yang terbaik.
Saya yakin peluang perniagaan dan pekerjaan berasaskan aktiviti maritim akan memberi sinar baharu kepada rakyat Melaka. Ambil contoh di Singapura dan Pulau Pinang yang memperoleh keuntungan berbilion ringgit daripada aktiviti perdagangan di pelabuhan dan maritim.
Kita mesti buat pelabuhan untuk menjadikan Melaka tidak sekadar sebuah negeri pelancongan hujung minggu, tetapi pusat perdagangan harian sebagaimana Singapura. Jadi, kalau ada aktiviti maritim, akan wujud banyak peluang pekerjaan.
SINAR PREMIUM: Dalam tempoh tiga tahun ini, bagaimana usaha kerajaan dari segi pembaikan infrastruktur dan tawaran istimewa bagi menarik lima peratus kapal dagang yang melalui Selat Melaka untuk datang ke negeri ini?
Saya telah mewujudkan satu Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035). Berpandukan kepada pelan ini, kita mempunyai lapan flagship mengikut portfolio ADUN atau wakil rakyat.
Lapan flagship ini dipilih untuk memacu pembangunan Melaka bagi tempoh 15 tahun akan datang.
Kita juga sudah ada versi kedua yang mana terdapat sembilan flagship mengikut kepada portfolio 11 flagship seperti mana ditetapkan. Di situ, telah ada penambahbaikan dilakukan.
Untuk menjadikan Melaka sebagai sebuah pusat perdagangan, saya juga telah menubuhkan Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ).
Dari zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi, Malaysia sudah ada limpahan ekonomi daripada koridor-koridor pembangunan sedia ada seperti Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) meliputi Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan selatan Perak. Begitu juga dengan koridor timur (Wilayah Ekonomi Pantai Timur) seperti Pahang, Kelantan dan Terengganu.
Di Johor, mereka juga sudah ada Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia iaitu koridor pembangunan yang dilaksanakan di bahagian selatan Johor. Namun, Melaka dilihat sebagai negeri yang tercicir dan tidak termasuk dalam koridor tersebut seperti negeri-negeri lain.
Oleh itu, saya telah membentangkan cadangan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri ketika itu serta (Menteri Kewangan) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Saya juga telah memberi cadangan ini kepada bekas Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob untuk menjadikan Melaka sebagai sebuah koridor pembangunan ekonomi baharu melibatkan penubuhan kawasan pelabuhan dan mewujudkan satu lapangan terbang baharu.
Cadangan saya agar semua perkara itu dapat ditempatkan dalam satu kawasan agar ia dapat memudahkan kerja-kerja logistik dengan semua aktiviti pembangunan ini berlaku dalam satu koridor sama iaitu Koridor Tepian Pantai.
Koridor Tepian Pantai ini melibatkan hampir 30,000 ekar (12,000 hektar) kawasan penambakan laut dan saya telah angkat perkara ini kepada Mesyuarat Majlis Pembangunan Fizikal Negara.
Setakat ini, kita harus patuhi syarat-syarat kelulusan laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (ElA) yang telah ditetapkan dengan bekas ketua menteri sebelum ini (Adly Zahari daripada Pakatan Harapan) tertarik dan bersetuju idea itu.
Sebenarnya, sudah ada kawasan-kawasan tambakan laut yang pembangunannya dilaksanakan sejak zaman Datuk Abdul Ghani Ali sebagai ketua menteri tetapi tidak diselaraskan.
Disebabkan itu, satu badan harus ditubuhkan iaitu M-WEZ untuk memantau agar semua dapat mengikut pelan-pelan yang telah kita tetapkan. Sekiranya perkara ini dapat dilaksanakan, saya yakin Melaka akan setanding negeri-negeri lain.
SINAR PREMIUM: Adakah kemelut politik dan kepimpinan yang berlaku di peringkat Pusat memberi impak kepada Melaka?
Sudah pasti kita memerlukan sebuah negara yang stabil. Saya selalu sebut bahawa kestabilan itu perlu bagi meyakinkan pelabur-pelabur yang ingin melabur di negara kita seperti di Melaka.
Pada pilihan raya negeri (PRN) lalu, kita berjaya menawan tiga per empat daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan. Apabila kita menang 21 kerusi, ia memberikan gambaran bahawa ada kepercayaan pelabur-pelabur untuk datang ke Melaka.
Di peringkat negeri, keadaan sudah cukup stabil di mana pelabur domestik sudah ada kepercayaan untuk melabur di Melaka dengan mendirikan kilang-kilang. Bagaimanapun, kita memerlukan sudut pandangan keseluruhan negeri di Malaysia.
Kita harus mengambil iktibar daripada PRU15. Mana mungkin dalam tempoh tiga tahun, Perdana Menteri dan kabinet bertukar-tukar?
Adakah ia gambaran baik untuk pelabur datang melabur di Malaysia apabila keadaan politik tidak stabil?Jadi banyak pelabur hanya menunggu dan lihat kerajaan mana yang akan memenangi PRU seterusnya. Namun, tidak ada mana-mana parti yang boleh membentuk kerajaan pada akhirnya.
Bagaimanapun, atas kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, maka terbentuklah Kerajaan Perpaduan Malaysia. Saya harap Kerajaan Perpaduan Malaysia yang ada sekarang ini boleh terus kekal selama satu penggal.
SINAR PREMIUM : Datuk Seri melalui tiga tempoh pentadbiran. Pertama, semasa mengambil alih kerajaan sewaktu tempoh pandemik. Kedua, ketika keabsahan Datuk Seri dibuktikan apabila mendapat mandat penuh dengan UMNO-BN menang majoriti besar pada PRN Melaka tahun lalu. Akhir sekali, selepas PRU15. Dalam tiga tempoh pentadbiran ini, apa implikasi kepada pelaburan dan jumlah kadar pelancong di Melaka?
Sasaran bagi sektor pembuatan Melaka adalah sebanyak RM5 bilion setahun. Pada 2020, nilai pelaburan yang masuk adalah sebanyak RM3.2 bilion walaupun negara berada dalam tempoh pandemik ketika itu.
Pada 2021, nilai pelaburan itu meningkat menjadi RM3.6 bilion setahun biarpun berdepan dengan keadaan sukar. Bulan September tahun lalu, kami berjaya membawa masuk pelaburan sebanyak RM4.2 bilion dan saya percaya kita akan melebihi sasaran RM5 bilion.
Begitu juga dengan sektor pelancongan. Pada 2020, saya terpaksa mengadakan satu program yang dipanggil sebagai ‘Melakan Visit Melaka’. Ketika itu, sempadan masih ditutup namun apabila kerajaan memberi kelonggaran untuk keluar dari rumah, kita buat inisiatif untuk beri diskaun kepada semua produk yang ada di Melaka.
Kerajaan negeri membuka peluang kepada orang Melaka sendiri menikmati produk pelancongan seperti hotel dengan harga runtuh serendah 50 peratus.
Pada 2019, kita pernah merekodkan sebanyak 18.7 juta pelancong sebelum pandemik.
Namun akibat wabak Covid-19, kerajaan negeri hanya menyasarkan 5.6 juta orang atau 30 peratus pelancong. Bagaimanapun, kita hanya menerima seramai 5.05 juta pelancong pada 2020.
Pada 2021, kita sekali lagi menyasarkan sebanyak 5.6 juta pelancong ke Melaka. Tetapi penularan Covid-19 belum lagi berakhir dan kehadiran pelancong turun kepada 2.66 juta.
Pada 2022, berdasarkan statistik oleh Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka, kita menerima seramai 6.043 juta pelancong, meningkat sebanyak 126.7 peratus berbanding 2021.
Pada 2023, kita menyasarkan sebanyak 8.4 juta pelancong ke Melaka.
SINAR PREMIUM : Apakah perancangan dan produk tarikan pelancongan baharu di Melaka?
Saya telah meminta agar Unit Perancangan Ekonomi (UPEN) dan juga Badan Promosi Pelancongan Melaka untuk tidak hanya menumpukan kepada dalam bandar Melaka.
Setakat ini kebanyakannya berada di Melaka Tengah. Kalau kita lihat di Melaka ini bila hujung minggu penuh kerana produk pelancongan ini banyak di bandar Melaka. Sudah tentu kawasan-kawasan sejarah seperti di Jonker Walk dan sebagainya semua tertumpu di bandar Melaka.
Disebabkan itu, saya meminta dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), agar kerajaan terutamanya ketika zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin sehinggalah ke Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, agar lebuh raya pesisir pantai (Melaka Coastal Highway) dapat dilaksanakan. Ia sudah diumumkan pada zaman Datuk Seri Najib Tun Razak dahulu dan disusuli Tan Sri Muhyiddin. Perkara ini mesti dilaksanakan. Kita ada empat fasa.
Fasa pertama dari Masjid Tanah sampai ke Klebang, Klebang sampai ke Jambatan Sultan Abdul Aziz ada fasa kedua dan berikutnya. Fasa keempat ini kalau boleh kita laksanakan lebuh raya bertingkat daripada kawasan Hotel Hatten itu terus ke Semabok, Semabok ke Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ). Kalau ini dapat dilaksanakan kita boleh mengurangkan kesesakan jalan raya di Melaka.
Selain itu, kita juga mempunyai rancangan untuk membuat Melaka Outer Ring Road dan Melaka Inner Ring Road seperti di Kuala Lumpur yang ada Lebuh Raya Lingkaran Tengah 1 dan 2. Ini juga memerlukan satu perbelanjaan yang besar tetapi sudah ada dalam perancangan. Saya juga sudah maklumkan kepada pihak Persekutuan tentang perkara ini agar dapat membantu Melaka.
Ramai orang berkunjung ke Melaka. Mereka bukan hanya pergi ke kawasan pelancongan. Tetapi ada yang datang hanya nak makan asam pedas. Lepas makan, balik. Kita ada pelbagai jenis makanan di Melaka. Masyarakat etnik juga pelbagai seperti Portugis, Baba dan Nyonya, Peranakan, Melayu dan sebagainya. Salah satu pelan yang saya sebut awal dahulu bukan hanya untuk membangunkan, masalah pengangkutan atau masalah jalan juga perlu diberi perhatian.
SINAR PREMIUM : Berapa anggaran kos pembinaan lebuh raya pesisir pantai ini?
Contohnya fasa pembinaan lebuh raya lingkaran di kawasan Hotel Hatten itu, kalau dahulu anggaran kosnya lebih kurang dalam RM700 juta pada empat, lima tahun dahulu. Tetapi sekarang ini kosnya meningkat sekitar RM750 juta. Mahu tidak mahu kita kena buat juga.
Saya sudah berjumpa dengan Menteri Kerja Raya sebelum ini tetapi belum membuat kunjungan hormat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Semua ini akan saya ketengahkan kepada Perdana Menteri untuk diberi perhatian.
SINAR PREMIUM : Datuk Seri juga tegas dan memberikan petunjuk prestasi utama (KPI) kepada penjawat awam di Melaka. Apakah respons mereka?
Saya bukanlah tegas membuta-tuli. Saya baik dengan penjawat awam. Tetapi dalam soal memastikan aduan dan keperluan rakyat, walaupun saya berkawan dengan semua tetapi masing-masing mempunyai tanggungjawab.
Aduan-aduan mesti diselesaikan segera. Orang yang membuat aduan itu sudah tentu ada alamat dan nombor telefonnya. Bila sesuatu aduan itu diterima, kalau boleh hari itu juga selesaikan. Kalau mengambil masa, pastikan maklum kepada pengadu.
Sama juga di kaunter-kaunter (kerajaan negeri). Jangan ambil masa terlalu lama. Kadangkala orang yang datang ini dari jauh. Sampai ke kaunter, kaunter kata tidak boleh. Kalau tidak boleh sebab apa? Selesaikan. Carilah pegawai-pegawai yang boleh membantu.
Jangan ambil masa terlalu lama. Akhirnya persepsi rakyat kepada siapa? Bukan kepada penjawat awam, pegawai-pegawai ini. Mereka akan menuding jari kepada siapa? Siapakah kerajaan hari ini? Saya...BN. Kita yang menerima impaknya.
Sedangkan aduan itu bukan kepada kita. Saya hanya memastikan, memantau dan mengikut prosedur yang telah ditetapkan. Ketegasan ini adalah hak rakyat.