SHAH ALAM - Kerajaan tiada hak untuk menghalang orang ramai daripada mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) demi kelangsungan hidup rakyat jika jumlah simpanan mereka mencukupi untuk hari tua nanti. Ahli Parlimen Parti... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan tiada hak untuk menghalang orang ramai daripada mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) demi kelangsungan hidup rakyat jika jumlah simpanan mereka mencukupi untuk hari tua nanti.

Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Gua Musang, Datuk Mohd Azizi Abu Naim berkata, semasa zaman Perikatan Nasional (PN) menguasai Putrajaya dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri, kerajaan meluluskan pengeluaran caruman KWSP bagi memastikan rakyat boleh meneruskan kelangsungan hidup.

Bagaimanapun, Mohd Azizi berkata, di zaman Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri ke-10, kerajaan menangguhkannya atas sebab ramai dalam kalangan pencarum mempunyai nilai tabungan dalam akaun KWSP kurang daripada RM10,000.

"Bagi saya jika pencarum mempunyai jumlah simpanan dalam akaun yang mencukupi untuk hari tua kerajaan pimpinan Perdana Menteri sekarang tidak sepatutnya menghalang mereka mengeluarkan simpanan kerana itu adalah wang rakyat.

"Bagaimanapun, kerajaan boleh menghalang rakyat daripada berbuat demikian dengan cara meletakkan had minimum jumlah simpanan KWSP, misalnya sekurang-kurangnya RM200,000 untuk hari tua mereka.

"Jika jumlah simpanan mereka melebihi had berkenaan maka kerajaan perlu benarkan pencarum mengeluarkan wang mereka terutama yang ada dalam akaun dua KWSP untuk kegunaan lain,” katanya ketika dihubungi Sinar Premium.

Malah, Mohd Azizi berkata, ketika ini kerajaan membenarkan pencarum KWSP mengeluarkan caruman akaun dua mereka misalnya untuk pembayaran pinjaman pelajaran, deposit pembelian rumah, insurans kesihatan dan menjelaskan ansuran bulanan pinjaman perumahan.

Justeru, Mohd Azizi berkata, beliau bersetuju dengan cadangan supaya kerajaan membenarkan orang ramai mengeluarkan sebahagian simpanan akaun dua KWSP dengan syarat ketat termasuk mempunyai simpanan mencukupi untuk hari tua mereka.

Ahli Parlimen Pas Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh pula meminta kerajaan mewujudkan dana khas bagi membantu rakyat masih terkesan akibat pandemik Covid-19 meneruskan kelangsungan hidup mereka sebagai alternatif kepada pengeluaran dana KWSP yang didesak banyak pihak.

Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas itu berkata, tindakan itu perlu susulan keputusan kerajaan enggan membenarkan pencarum mengeluarkan dana KWSP sekali lagi alasan ia akan menjejaskan simpanan hari tua mereka.

Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan menyifatkan keputusan kerajaan mempunyai rasional tersendiri kerana ada pencarum menggunakan wang KWSP yang dikeluarkan mereka dengan cara kurang betul dan bermanfaat untuk masa depan mereka.

"Bagaimanapun, apabila kerajaan tidak membenarkan pengeluaran KWSP sekali lagi, mereka perlu mewujudkan satu dana atau tabung khas bagi membantu rakyat yang benar-benar terdesak, susah dan miskin serta memerlukan wang segera untuk memulakan pekerjaan atau perniagaan baharu atau memulihkan kembali syarikat.

"Kerajaan juga perlu menetapkan syarat dan peraturan ketat supaya rakyat akan menggunakan bantuan kewangan diberikan menerusi tabung atau dana khas dengan cara betul,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca