FATWA merupakan mekanisme pembinaan perundangan Islam yang wujud sejak zaman Rasulullah lagi. Institusi fatwa mula berkembang dengan pesat semasa pemerintahan Umawiyah, Abasiyah dan Uthmaniyah. Pada ketika itu mufti bukan sahaja bertindak... Klik di sini untuk terus membaca

FATWA merupakan mekanisme pembinaan perundangan Islam yang wujud sejak zaman Rasulullah lagi. Institusi fatwa mula berkembang dengan pesat semasa pemerintahan Umawiyah, Abasiyah dan Uthmaniyah. Pada ketika itu mufti bukan sahaja bertindak sebagai penasihat dalam bidang hukum syarak tetapi terlibat secara langsung membantu kadi menyelesaikan kes-kes di mahkamah.

Fatwa bukan sahaja menjadi pembimbing kepada rakyat dan masyarakat tetapi dijadikan sebagai panduan dalam melaksanakan tanggungjawab oleh pemerintah. Apabila Tanah Melayu (ketika itu) mencapai kemerdekaan, penentuan perkara mengenai hukum syarak dan doktrin Islam telah dikekalkan di bawah kuasa negeri. Ia bukan suatu perkara yang diperoleh daripada Perlembagaan Persekutuan tetapi telah pun diamalkan sejak zaman Kesultanan Melayu lagi.

Dalam hal ini, pemerintah merujuk kepada para ulama untuk mendapatkan fatwa atas apa jua persoalan yang belum diputuskan secara definitif ataupun perkara yang menimbulkan pertikaian dari sudut hukum syarak. Cumanya konteks rujukan tersebut disempitkan kepada ‘isu agama’ sahaja dan tidak melibatkan hal keduniaan lain.

Dalam konteks Malaysia ketika ini Akta dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam memperuntukkan kedudukan dan peranan mufti sebagai penasihat utama Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

Umpamanya seksyen 33 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 menyatakan mufti hendaklah membantu dan menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan dengan semua perkara hukum syarak, dan dalam semua perkara sedemikian hendaklah menjadi pihak berkuasa utama di Wilayah-Wilayah Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong kecuali jika diperuntukkan selainnya dalam akta tersebut.

Seiring dengan peredaran zaman yang memerlukan penyelesaian dari sudut hukum syarak terhadap perkara-perkara yang semakin hari semakin kompleks, peranan mufti perlu di perkasa dari masa ke masa. Mufti perlu bebas memberi nasihat dan membuat teguran kepada mana-mana pihak termasuklah pihak kerajaan dan bukan kerajaan.

Mufti juga mesti dibebaskan daripada sebarang tekanan dan pengaruh politik atau individu. Sehingga hari ini terdapat beberapa negeri telah menaik taraf jawatan mufti setaraf Exco Kerajaan Negeri walaupun mufti tersebut tidak duduk sebagai ahli permesyuaratan negeri.

Sebagai ulul amri, semua institusi agama diletakkan terus di bawah Yang di- Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu termasuklah mufti. Ahli politik dan pihak kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk mencampuri urusan mufti khususnya di dalam menggarap sesuatu fatwa bagi menjamin segala fatwa, dasar atau pandangan berkaitan agama Islam dan hukum syarak bebas sama sekali dari unsur dan pengaruh politik.

Fatwa yang diputuskan Jawatankuasa Fatwa Negeri tidak perlu lagi dibincangkan oleh pihak kerajaan untuk tujuan pewartaan. Hal yang demikian pernah beberapa kali berlaku dan perkara sebegini hendaklah dielakkan dari terus berlaku. Kita tidak mahu peristiwa lalu di mana pandangan mufti dipertikaikan sehingga mufti tersebut bersara.

Ketika ini institusi mufti memang menempuhi cabaran yang cukup besar. Apatah lagi dalam era kesemua perkara hanya dinilai dari sudut politik semata oleh orang awam, apa-apa pandangan dari mufti dituduh sebagai mempunyai kepentingan tertentu.

Lebih menyedihkan lagi masyarakat awam yang tidak terlatih di dalam bidang syariah sendiri berpusu-pusu berebut mengeluarkan ‘fatwa’ nya sendiri dan membelakangkan fatwa sah yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa. Hal yang demikian amatlah menyedihkan dan perlu diperbetulkan dengan segera.

Pada pandangan saya pemantapan institusi fatwa agar tidak lagi dilihat terikat dengan mana-mana pihak adalah amat penting bagi mengembalikan kepercayaan orang Islam terhadap institusi mufti.

Institusi mufti perlu diberikan kuasa sewajarnya agar lebih dihormati dan dipercayai.

Sudah tiba masanya segala usaha ditumpukan bagi memastikan kewibawaan institusi mufti ini agar terus dipertahankan. Mufti ibarat Peguam Negara yang menasihati kerajaan di dalam hal ehwal perundangan. Mufti menasihati Agong dan Raja-Raja Melayu dalam hal ehwal Islam selaras dengan sumpah bagi akan memelihara Islam pada setiap masa.

Kerajaan pula wajib memelihara dan menyempurnakan sumpah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu ini dengan tidak membuat apa-apa perkara yang menyentuh kesucian agama Islam.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM).

Klik di sini untuk terus membaca