MELAKA - Kerajaan Melaka menegaskan tidak akan melakukan sebarang rombakan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) dengan melibatkan penyertaan mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Pakatan Harapan (PH) dalam masa... Klik di sini untuk terus membaca

MELAKA - Kerajaan Melaka menegaskan tidak akan melakukan sebarang rombakan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) dengan melibatkan penyertaan mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Pakatan Harapan (PH) dalam masa terdekat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, hal ini kerana situasi di Melaka berbeza dengan negeri-negeri lain seperti Perak dan Pahang, yang mana tiada parti memiliki jumlah majoriti mudah untuk membentuk kerajaan dengan mereka perlu bergabung.

Di sebalik kejayaan besar UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, tahun 2021 apabila memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN dipertandingkan, Sulaiman enggan membuat keputusan terburu-buru kerana tidak mahu mendahului kerajaan negeri Johor.

Hal ini kerana beliau menegaskan negeri Johor yang memiliki situasi pentadbiran kerajaan hampir sama dengan Melaka susulan kemenangan besar UMNO-BN pada PRN negeri itu awal tahun lalu, juga masih bersikap tunggu dan lihat.

Katanya, perkara itu juga telah dimaklumkan kepada semua ADUN yang terlibat menjayakan konsep Kerajaan Perpaduan Malaysia di Melaka.

"Saya sudah memaklumkan dan perjelaskan ia berbeza dengan PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15). Jangan ambil contoh Pahang dan Perak yang mana tiada satu parti pun yang boleh membentuk kerajaan.

"Keadaan di Melaka berbeza. Saya tidak boleh mendahului negeri Johor dalam perkara ini. Apa kata mereka nanti? Sekiranya saya menggunakan kuasa untuk melantik, adakah negeri-negeri lain boleh melakukan hal yang sama?” soalnya.

Sulaiman berkata demikian melalui segmen Wawancara Ahad bersama Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli di pejabat beliau di Seri Negeri, Ayer Keroh pada Selasa.

Sebelum ini, dua negeri iaitu Pahang dan Perak merealisasikan semangat Kerajaan Perpaduan yang terbentuk di peringkat Pusat apabila UMNO-BN bergabung dengan PH bagi membentuk kerajaan.

Sulaiman menegaskan setiap ADUN yang bukan daripada BN sentiasa dianggap sebagai rakan strategik kerajaan negeri dan bukannya pembangkang.

Tegas beliau, hal itu kerana mereka juga mempunyai misi sama untuk membangunkan Melaka, selain merupakan wakil rakyat yang diberi mandat oleh rakyat negeri ini.

"Saya selalu menyeru kepada rakyat bahawa mereka (ADUN selain UMNO-BN) bukan pembangkang, tetapi rakan strategik kerajaan negeri.

"Saya minta mana-mana pegawai kerajaan negeri mesti respons terhadap apa sahaja keperluan ADUN, selain UMNO-BN ini, yang menyentuh kepentingan rakyat dan membantu kebajikan mereka,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca