"AKU rasa dia pakai teks ucapan, hanya baca teks di teleprompter. Perdana Menteri sebelum ini dan Presiden negara luar pun buat macam tu.
"Ishh aku ada masa program PM dengan ulama di Seri Perdana baru-baru ini. Mana ada Anwar pakai teks ucapan. "Dengar cerita pegawai hanya tulis point-point sahaja, selebihnya dia ulas sendiri.”
Demikian antara topik perbualan beberapa rakan Belalang sewaktu bertemu untuk minum pagi, baru-baru ini.
Di sebalik pengenalan polisi baharu, gagasan Madani dan pendedahan demi pendedahan mengenai ketirisan wang negara, gaya dan isi pengucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menjadi tumpuan ramai.
Belalang setakat ini belum sempat hadir mana-mana program PM ke-10. Jadi tak berani hendak nak sahkan beliau berucap pakai teks atau secara spontan.
Tetapi Belalang ada jugalah mendengar keluhan beberapa rakan media yang susah nak ‘kejar’ ucapan Anwar sebab tak ikut teks.
Pun begitu, ada juga rakan pemberita yang mengakui senang dengan gaya Anwar kerana sangat mudah menjawab soalan wartawan pada bila-bila masa.
Ini kerana pertukaran demi pertukaran PM sejak empat tahun lalu, wartawan pernah berdepan dengan pelbagai ragam dan kerenah bila mahu menemu bual PM.
Ada PM yang tak mahu berucap di depan khalayak, ada pula yang tidak mahu bertemu wartawan untuk sidang media, ada yang mahu menyaring soalan dahulu dan ada yang hanya beri ucapan serta jawapan melalui fail PDF.
Tapi aura dan pesona bicara Anwar memberi kelebihan kepada beliau apabila berucap dan bertemu khalayak.
Mungkin itu juga salah satu kelebihan orang utara yang memang jenis bercakap ‘deras’, lantang dan boleh ‘kilas’ sana sini.
Tapi nama pun orang politik, ‘kilas’ macam mana pun tak semua akan bersetuju.
Nak-nak pembangkang, mereka pun orang politik. Sama ada mereka boleh menghidu ucapan Anwar hanya wayang politik atau sudah kerja mereka membangkang, maka banyak juga kritikan pedas terhadap Anwar.
Ada yang menyifatkan kerajaan Anwar masih kurang memberangsangkan, ada kata belum selesai isu kos sara hidup rakyat dan ada kata banyak drama daripada buat kerja.
Belalang bukanlah penyokong mana-mana parti, tapi bagi Belalang wajar untuk kita bagi ‘muka’ sikit untuk kerajaan Anwar. Kerajaan pun baru masuk 60 hari, bukan 60 tahun.
Pun begitu untuk Anwar dan pasukan menteri, apa yang dikata haruslah dikota. Biarlah dakwaan lawan yang ucapan Anwar banyak wayang dan drama jadi tuduhan fitnah semata-mata.
Belalang: Seronok balik kampung sebab tak kena tol
Klik di sini untuk terus membaca