SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terbuka untuk mempertandingkan jawatan tertinggi iaitu presiden dan timbalan presiden pada pemilihan parti akan datang.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na' Aman berkata, tiada sebarang perbincangan lanjut untuk mengemukakan usul berkenaan semasa Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) yang bermula 3 Mac depan.
"Kami tidak akan tiru UMNO. Kalau ikut kelaziman sebelum ini, memang kita pertandingkan semua jawatan. Jadi, tidak timbul persoalan ada jawatan yang tidak dipertandingkan.
"Pada zaman bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama kami pun, dia terbuka untuk bertanding juga. Jadi, kelaziman dalam parti kita akan teruskan. Memang kita tidak dengar sebarang tuntutan supaya jawatan ini tidak dipertandingkan,” katanya kepada Sinar Premium.
Pada Jumaat, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin memaklumkan PAT Bersatu 2022 akan diadakan bermula 3 Mac sehingga 5 Mac depan.
Jelas Hamzah, ketetapan itu dibuat hasil mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada Khamis selaras dengan Fasal 12.2 perlembagaan parti berkenaan.
Pada pemilihan parti lepas, Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengekalkan jawatan Presiden Bersatu bagi penggal 2019-2022 selepas menjadi calon tunggal bagi jawatan itu.
Turut menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Presiden adalah bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Menurut Muhammad Faiz, antara isu bakal berbangkit pada PAT akan datang adalah berkenaan urusan, struktur dan juga prestasi parti dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.
Turut mengakui perkara sama, Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, jawatan tertinggi parti akan dipertandingkan.
"Tiada apa-apa usul sebaliknya,” ujarnya.
Tambah beliau yang juga Ahli Parlimen Machang, Bersatu akan membincangkan mengenai pengukuhan parti bersama rakan gabungan di bawah Perikatan Nasional (PN) selain agenda membela rakyat.
Klik di sini untuk terus membaca