SHAH ALAM - Sewaktu menjawat jawatan Perdana Menteri kesembilan negara, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tampil dengan perwatakan tenang dan lemah lembut dalam mengeluarkan sebarang kenyataan, sesuai dengan jawatan yang disandangnya.
Malah Ahli Parlimen Bera itu juga sebelum ini menerima jolokan Paklong kerana ketegasannya sewaktu memegang portfolio Menteri Kanan (Keselamatan) ketika negara berdepan dengan ancaman virus pembunuh, Covid-19.
Bagaimanapun karektor itu sedikit berubah selepas beliau tidak lagi memegang jawatan nombor satu negara selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November tahun lalu.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO mula bernada berbeza ketika memberikan pandangan dengan saranan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi menampung kos sara hidup yang meninggi.
Tanpa menamakan sebarang individu, beliau mencabar mana-mana pihak atau individu yang sebelum ini lantang bersuara mengenai isu rakyat ketika beliau menjadi Perdana Menteri, supaya muncul berbuat perkara sama terhadap pentadbiran kerajaan baharu pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kerajaan Perpaduan Malaysia ditubuhkan selepas PRU15 hasil kerjasama Pakatan Harapan (PH) bersama Barisan Nasional (BN) serta beberapa koalisi parti lain termasuk di Sabah dan Sarawak.
"Mengenai (pengeluaran) KWSP, sewaktu saya sedang bersenam dan makan, ada mak cik datang dan mengadu pada saya minta kalau boleh mereka keluarkan KWSP.
"Dulu waktu (pentadbiran) saya, ramai yang bising bila kita membuat kajian, sama ada boleh dikeluarkan KWSP atau tidak. Akhirnya kita (benarkan) keluarkan.
"Ramai yang bising dulu. Saya harap rakyat bersuara kali ini minta untuk dikeluarkan KWSP. Mana-mana yang bersuara kuat semasa saya jadi Perdana Menteri dulu, silakan bersuara lagi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran MCA di Wisma MCA pada Ahad.
Antara ahli politik sebelum ini yang mendesak pengeluaran KWSP ketika Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri adalah Anwar dan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.
Pada minggu lalu, Anwar sebagai Perdana Menteri berkata, kerajaan perlu menimbang nasib dan masa depan pencarum sebelum membenarkan pengeluaran khas sekali lagi.
Tegasnya, lebih baik kerajaan mencari jalan lain bagi membantu rakyat yang terkesan dengan wabak Covid-19, memandangkan kebanyakan pencarum memiliki jumlah simpanan yang sangat kecil.
Selain itu, bersangkutan isu membabitkan peniaga restoran tidak menurunkan harga jualan, Ismail Sabri menegaskan, langkah memboikot tidak akan membantu menyelesaikan masalah sebaliknya bakal menyusahkan golongan itu.
Berikutan itu, Ismail Sabri menegaskan adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menangani isu berbangkit dengan memikirkan cara untuk menurunkan harga barangan dan bukannya melepaskan tangan mahupun bertindak menghukum peniaga restoran.
"Dengan tahun arnab, saya berharap Malaysia lebih cergas dari segi ekonomi dan perkembangan ekonomi lebih baik berbanding tahun lepas. Dari segi kos sara hidup dapat dikurangkan kerana rakyat mengadu tentang kos sara hidup yang tidak menentu.
"Malah hari ini, saya dapat tahu dari laporan media tentang harga makanan meningkat, boikot kedai makan. Jadi perkara ini atau kenyataan seperti ini tidak membantu rakyat, bahkan lebih menyusahkan peniaga di restoran.
"Kalau bahan mentah meningkat, ayam harganya mahal, sayur mahal, ikan harga mahal, pasti peniaga di restoran menaikkan harga. Kalau kita boikot peniaga, kita akan lebih menyusahkan peniaga dan tak membantu mereka," katanya.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada Sabtu, menegur sikap sesetengah peniaga restoran dan kedai makan yang masih enggan menurunkan harga makanan dan minuman mereka, meskipun harga bahan mentah di pasaran telah turun.
Beliau berkata, kerjasama daripada peniaga restoran dan kedai makan untuk menyeimbangkan harga jualan mereka dengan bahan mentah amat penting untuk membantu rakyat menambah ruang perbelanjaan dan mengurangkan beban kewangan mereka.
Katanya, pengguna juga perlu bertindak lebih proaktif terhadap perubahan harga barangan dengan mengelak daripada berkunjung ke restoran dan kedai makan yang masih menawarkan harga makanan dan minuman yang tinggi.
"Pengguna perlu bertindak balas dengan lebih cepat terhadap perubahan harga. Itu cara terbaik untuk kita mempengaruhi keputusan peniaga terutamanya di restoran,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Terengganu di Taman Tamadun Islam di Kuala Terengganu.
Klik di sini untuk terus membaca