SHAH ALAM - Tindakan memboikot bukan langkah terbaik, sebaliknya kerajaan perlu mengenal pasti faktor para peniaga tidak menurunkan harga makanan walaupun sebahagian kos bahan mentah telah turun. Penganalisis Ekonomi, UniKL Business School,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tindakan memboikot bukan langkah terbaik, sebaliknya kerajaan perlu mengenal pasti faktor para peniaga tidak menurunkan harga makanan walaupun sebahagian kos bahan mentah telah turun.

Penganalisis Ekonomi, UniKL Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pelbagai faktor menyumbang kepada isu mengapa peniaga tidak menurunkan harga jualan makanan di premis mereka.

"Kita mungkin perlu meneliti rangkaian bekalan untuk industri restoran dan kedai makan secara keseluruhan antaranya, pelbagai barangan mentah yang diimport, selain dibekalkan daripada pembekal tempatan.

"Ada juga faktor seperti kos gaji pekerja dan permit pekerja, kos pengangkutan dan logistik yang turut meningkat serta kenaikan sewa kedai berikutan kenaikan kadar pinjaman dan Kadar Dasar Semalaman (OPR),” ujarnya kepada Sinar Premium pada Isnin.

Dr Aimi Zulhazmi

Terdahulu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menegur sikap sesetengah peniaga restoran dan kedai makan yang masih enggan menurunkan harga makanan dan minuman mereka, meskipun sebahagian harga bahan mentah di pasaran telah turun.

Tegasnya, kerjasama daripada peniaga restoran dan kedai makan untuk menyeimbangkan harga jualan mereka dengan bahan mentah amat penting demi membantu rakyat menambah ruang perbelanjaan dan mengurangkan beban kewangan.

Namun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, menjadi tanggungjawab kerajaan mencari jalan untuk mengurangkan harga bahan mentah bagi memastikan rakyat mampu membeli makanan pada harga murah, bukannya melepaskan tangan mahupun menghukum peniaga restoran.Selain itu, Aimi Zulhazmi menjelaskan, banyak barangan mentah utama di negara ini dikawal oleh kartel sejak sekian lama sekali gus sukar untuk dibolosi berikutan mempunyai banyak pengaruh di semua sudut termasuk politik.

"Ia memerlukan kekuatan politik sebenarnya untuk mengikis dan melarutkan dominasi kartel ini, misalnya tidak lagi memberikan permit import (AP) kepada pihak-pihak tertentu sahaja yang mempunyai kekuatan kewangan dan jaringan politik.

"Sepatutnya ia perlu dibuka kepada semua pihak yang berkemampuan supaya harga menjadi lebih kompetitif dan bekalan menjadi lebih lancar,” katanya lagi.

Beliau turut berpandangan, isu kenaikan harga diburukkan lagi dengan ketirisan dan rasuah yang mencengkam rangkaian bekalan sebahagian besar daripada barangan makanan yang diimport

MONOPOLI DAN OLIGOPOLI

Dalam masa sama katanya, terdapat juga pembekal barangan makanan tempatan yang membentuk monopoli dan juga oligopoli mengikut jenis perdagangan masing-masing.

"Amalan oligopoli iaitu situasi di mana beberapa syarikat tertentu sahaja yang mengawal sesuatu industri dengan menetapkan harga barangan mengikut persetujuan sesama mereka perlu dihentikan.

"Semua faktor tersebut boleh menyumbang ke arah kenaikan harga jualan di restoran dan kedai makan.

"Namun tidak dinafikan terdapat segelintir peniaga yang tidak mahu menurunkan harga makanan dengan tujuan mengambil kesempatan mengaut keuntungan,” katanya.

Bekas Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Profesor Emeritus, Datuk Dr Zakariah Abdul Rashid pula berpendapat, isu harga makanan mahal berkait rapat dengan kos sara hidup.

Zakariah Abdul Rashid

"Isu harga makanan mahal ini sebenarnya bersangkutan dengan kos sara hidup.

"Untuk jangka panjang, sebaiknya kita memikirkan cara untuk meningkatkan pendapatan rakyat.

"Langkah seperti pengawalan dan pemantauan harga oleh kerajaan adalah lebih kepada penyelesaian jangka pendek,” katanya.

Ujarnya, kuasa pasaran mempunyai peranan dalam menangani isu peniaga tidak menurunkan harga makanan di mana peniaga dan pengguna masing-masing mempunyai pilihan.

Buat para peniaga katanya, objektif perniagaan adalah untuk mendapatkan keuntungan, sementara pengguna pula memiliki kemampuan untuk memilih.

"Jika pengguna berasa tidak berbaloi untuk pergi ke premis makanan yang menjual makanan dengan harga mahal, itu adalah pilihan mereka.

"Peniaga juga mungkin mempunyai alasan tersendiri kenapa terpaksa menjual dengan harga mahal, namun sekiranya terlalu mahal maka terpaksa menanggung risiko tidak dikunjungi ramai,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca