SHAH ALAM - Kerajaan perlu kembali semula ke meja rundingan bersama semua pihak berkepentingan bagi mencari jalan terbaik menyelesaikan segera isu kekurangan bekalan bahan makanan dan kenaikan harga barangan keperluan asas yang melanda... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan perlu kembali semula ke meja rundingan bersama semua pihak berkepentingan bagi mencari jalan terbaik menyelesaikan segera isu kekurangan bekalan bahan makanan dan kenaikan harga barangan keperluan asas yang melanda negara ketika ini.

Bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hasan Malek berkata, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh bertindak bersendirian jika mahu menangani dua perkara berkenaan.

Disebabkan itu kata mantan Ahli Parlimen Kuala Pilah, kerajaan perlu melakukan rundingan bersama wakil persatuan pengguna, pengeluar, pembekal, pemborong, pengimport dan peniaga.

"Kerajaan terutamanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, perlu segera mengadakan rundingan dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah ini.

"Apabila sudah ada satu ketetapan, maka, kementerian berkenaan mestilah serius dan tegas dalam menguatkuasakan undang-undang termasuk mengeluarkan kompaun atau denda.

"Kita tidak boleh lagi berkompromi kerana sudah ada keputusan bersama dicapai antara kerajaan, pengeluar, pengimport, pembekal, pemborong dan peniaga,” katanya kepada Sinar Premium pada Isnin.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada Sabtu, menegur sikap sesetengah peniaga restoran dan kedai makan yang masih enggan menurunkan harga makanan dan minuman mereka, meskipun harga bahan mentah di pasaran telah turun.

Mengulas lanjut, Hasan bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan dibuat Rafizi, bahawa pengguna perlu lebih proaktif dalam tindak balas mereka dengan mengelak restoran dan kedai makanan yang menawarkan makanan serta minuman pada harga yang tidak munasabah.

"Kita tidak boleh mengarahkan pengguna supaya memboikot atau memulau mana-mana peniaga kerana mereka mempunyai persatuan dan boleh berunding elok-elok.

"Peniaga kedai makan dan restoran misalnya, mereka ada persatuan peniaga restoran. Kalau ayam pula ada kesatuan pengeluar dan penternak,” kata Hasan.

Disebabkan itu katanya, kerajaan perlu berunding dan mendengar luahan hati mereka, bukannya membuat keputusan sendirian.

"Kita kena bermuafakat elok-elok. Lepas itu, apabila ada keputusan bersama, kerajaan kena laksanakan terus dan penguatkuasaan mestilah serius. Jangan ada ‘kongkalikung’ atau cakap tidak serupa bikin,” tegas beliau.

Klik di sini untuk terus membaca