COLOMBO - Siri protes dilancarkan gerakan Aragalaya yang pernah melanda Sri Lanka selama empat bulan bermula pada April 2022 dan berjaya menggulingkan legasi Rajapaksa, 'senyap' secara tiba-tiba.
Tiada lagi laungan slogan menentang pemerintah dan situasi kembali 'tenang' walaupun krisis ekonomi disifatkan terburuk sejak kemerdekaan negara itu belum lagi pulih sehingga kini.
Rakyat di negara Asia Selatan tersebut masih bergelut dengan masalah kewangan yang gagal ditangani walaupun pemerintahan negara berpopulasi 22.16 juta orang itu sudah bertukar tangan.
Kenaikan cukai pada tahun ini yang diumumkan pentadbiran Presiden Ranil Wickremesinghe dijangka memburukkan lagi situasi tersebut, sekali gus mengakibatkan penduduk berada di bawah tekanan luar biasa.
Sepanjang tahun lalu, penduduk negara itu mengalami masalah kekurangan bekalan makanan, barangan asas lain dan bahan api yang kronik hingga mengakibatkan negara itu terumbang-ambing berada di ambang muflis.
Ketidakcekapan legasi Rajapaksa menangani krisis itu yang berpunca daripada bebanan hutang asing telah mencetuskan demonstrasi selama beberapa bulan dan mencapai kemuncak apabila ribuan peserta protes menyerbu kediaman rasmi Presiden Gotabaya hingga memaksa beliau melarikan diri ke luar negara pada Julai lalu dan akur untuk meletak jawatan menerusi pengumuman mengejut dibuat dari Singapura.
Pengambilalihan tampuk kepimpinan oleh Wickremesinghe pada mulanya turut mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong gerakan Aragalaya yang terkenal dengan slogan 'Gota Go Home'.
Tetapi, taktik bekas Menteri Kewangan itu melancarkan tindakan kekerasan ke atas penunjuk perasaan antikerajaan telah menyebabkan mereka 'berundur' dari ibu kota Colombo yang menjadi pusat utama protes tersebut.
TINDAKAN KERAS
Amaran keras Wickremesinghe yang enggan membenarkan 'fasis' merobek perlembagaan negara itu berhasil menakut-nakutkan penyokong gerakan Aragalaya setelah sejumlah aktivis dan pemimpin terkemuka mereka ditahan."Sebarang bentuk protes kini dikawal oleh pemerintah.
"Wickremesinghe telah menggunakan kuasanya secara meluas untuk mengekang kemaraan penunjuk perasaan dan bersiap sedia mengerahkan tentera jika khidmat mereka diperlukan bagi mengawal situasi," ujar pejuang hak asasi manusia tempatan, Shreen Saroor.
Menurutnya, Wickremesinghe mengekalkan kuasa eksekutif Presiden yang boleh bertindak tegas termasuk mengeluarkan perintah penahanan di bawah Akta Pencegahan Keganasan (PTA).
Beberapa pengkritik berpendapat tindakannya telah memusatkan lagi kuasa di tangan Presiden setelah ia diperkukuhkan secara 'kuku besi' di bawah legasi Rajapaksa selama dua dekad.
Susulan itu, terdapat gesaan untuk memansuhkan dan meminda Perlembagaan yang turut menjadi antara tuntutan utama yang dilaungkan penunjuk perasaan.
Ketika ini, kebanyakan pemimpin utama gerakan Aragalaya sedang meringkuk di dalam penjara, berdepan tindakan undang-undang atau berada di bawah pengawasan rapi.
Keadaan itu dipercayai telah menyebabkan peserta protes 'kehilangan arah' dan terpaksa menghentikan perjuangan mereka.
"Golongan itu mewakili gerakan nasional yang membawa visi bagi menentukan masa depan Sri Lanka. Tetapi, Wickremesinghe mengubah naratif untuk menunjukkan terdapat segelintir Aragalaya yang jahat dan cuba menggugat kestabilan negara," kata pengasas Centre for Policy Alternatives, Dr Paikiasothy Saravanamuttu.
Jelasnya, gerakan Aragalaya buat pertama kali dapat menyatukan rakyat Sri Lanka dalam perjuangan yang bermatlamat sama tanpa mengira agama, kaum dan ideologi.
Rakyat negara itu masih menunggu bantuan pinjaman berjumlah AS$2.9 bilion (RM12.4 bilion) Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan dana yang dijanjikan China serta pemiutang lain.
Saravanamuttu memberi amaran protes terbaharu boleh tercetus pada bila-bila masa terutamanya di luar ibu kota Colombo di mana kebanyakan penduduk hidup lebih miskin dan sengsara.
"Golongan itu akan kembali mengadakan demonstrasi bukan kerana mahu menuntut pembaharuan Perlembagaan, namun kerana mereka tidak lagi dapat bertahan untuk teruskan hidup.
"Gelombang protes baharu mungkin lebih berbahaya kerana ia dijangka berlaku secara spontan dengan dimensi berbeza," tambahnya. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca