SAMA ada peniaga makanan kecil atau besar, semuanya terdedah kepada harga bahan mentah yang semakin mahal yang dijual oleh pembekal, pemborong atau orang tengah. Ini termasuklah penyedia makanan di kantin sekolah yang menyediakan juadah... Klik di sini untuk terus membaca

SAMA ada peniaga makanan kecil atau besar, semuanya terdedah kepada harga bahan mentah yang semakin mahal yang dijual oleh pembekal, pemborong atau orang tengah.

Ini termasuklah penyedia makanan di kantin sekolah yang menyediakan juadah harian kepada pelajar atau lebih popular digelar sebagai mak cik kantin.

Mereka tidak terkecuali dan tiada pilihan selain berdepan dengan harga bahan mentah yang tinggi di pasaran terbuka.

Menurut salah seorang peniaga kantin, antara barangan yang meningkat sehingga tidak terkawal ialah harga sepapan telur yang mencecah RM18. Sebelum ini harga telur gred A hanya RM12.90 sepapan.

Harga siling seekor ayam dulu RM8.50 sekilogram, telah meningkat sehingga RM10.80. Bahan mentah lain yang turut meningkat ialah bawang, cili kering, ikan bilis dan sayur-sayuran.

Dengan peningkatan kesemua bahan mentah, mak cik kantin berada dalam dilema mengekalkan harga lama, contohnya nasi lemak serendah RM2, roti sandwic RM2, nasi ayam RM5 dan nasi tomato RM5.

Berdasarkan contoh tadi pastinya tidak wajar untuk mengekalkan harga lama. Ini kerana harga barang mentah telah meningkat lebih 10 peratus sejak sebelum Covid-19 dan meningkat dua atau tiga kali ganda lagi selepas pandemik.

Kenaikan harga barangan itu diketahui oleh semua pihak termasuk Kementerian Pendidikan. Jadi, adalah tidak wajar menyalahkan mak cik kantin semata-mata apabila bercakap mengenai harga siling makanan.

Walaupun pihak sekolah memberi potongan kepada mak cik kantin seperti bayaran sewa, bil elektrik dan bil air sekitar 10 peratus, namun peningkatan dua atau tiga kali harga bahan mentah menyebabkan mak cik kantin tidak mampu menyerap kos sedia ada dan kadangkala terpaksa mengurangkan saiz makanan.

Sesungguhnya tiada keistimewaan harga bahan mentah yang dibeli oleh mak cik kantin di pasar terbuka. Walhal mak cik kantin pada waktu yang sama terpaksa akur dengan kehendak harga siling yang ditetapkan oleh pihak sekolah.

Keadaan ini amat memberi kesan kepada pengusaha kantin sekolah khususnya yang beroperasi di luar bandar, kampung dan desa.

Kemelut ini terbukti apabila hampir 45 peratus daripada 10,200 pengusaha kantin gulung tikar mengikut laporan Jun 2022 yang dikeluarkan oleh soladiriti pengusaha kantin sekolah Malaysia.

Sehubungan itu, pihak berkuasa perlu mencari jalan untuk mengurangkan impak harga bahan mentah yang tinggi membabitkan sekolah serta institusi pengajian tinggi.

Pengawalan kos dan harga di peringkat pengeluar, orang tengah dan pemborong harus dipantau oleh kerajaan secara menyeluruh dan sepanjang masa.

Dan bukan mencari jalan mudah dengan menyalahkan mak cik semata-mata dalam menyelesaikan isu harga siling ini.

* Meor Shahrom Zainuddin ialah Ketua Meja Bisnes Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca