KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Sara Hidup (KPDN) memikul tanggungjawab besar bagi memastikan segala keluhan rakyat berhubung kos sara hidup ditangani sebaiknya.
Tatkala pasaran bergelut dengan bekalan barangan keperluan yang terhad, Datuk Seri Salahuddin Ayub dipertanggungjawabkan untuk mengemudi kementerian tersebut.
Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, Tuan Buqhairah Tuan Muhamad dan jurugambar, Rosli Talib bersama Salahuddin di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.
SINAR HARIAN: Apa perkembangan cadangan pelaksanaan subsidi bersasar?
SALAHUDDIN: Kalau ikut perangkaan sekarang, kerajaan menanggung subsidi mencecah RM100 bilion yang diberikan kepada rakyat. Justeru, kerajaaan sedang memikirkan dengan teliti untuk melaksanakan subsidi bersasar.
Kalau ikut keputusan kabinet dan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), beberapa siri perbincangan telah diadakan untuk memperhalusi dengan cermat mengenai pelaksanaannya.
Ia meliputi keperluan asas rakyat seperti petrol, gas petroleum cecair (LPG), minyak masak dan juga ayam serta telur yang sekarang ini masih diberikan kepada rakyat.
NACCOL telah buat pelbagai pendekatan termasuklah mengumpul data secara komprehensif dengan mengambil data daripada jabatan dan agensi berkaitan. Kesemua data ini akan disusun agar kementerian mendapat angka sebenarnya.
Dari segi pelaksanaan, ia terpulang kepada kerajaan bilakah masa yang sesuai. Kita tidak mahu berlaku kejutan, salah sangka dan panik berlaku dalam kalangan masyarakat apabila subsidi bersasar ini dilaksanakan kelak.
Kerajaan mungkin mengambil pendekatan soft landing iaitu bermula dengan satu barangan dahulu, barulah pergi kepada yang lebih bersasar.
Contohnya, minyak diesel dan sebagainya. Jadi, kita serahkan kepada kabinet untuk bincang kembali tetapi peranan NACCOL khususnya KPDN yang menjadi sekretariat kepada NACCOL, bertanggungjawab untuk menyediakan semua perkara yang diperlukan bagi memudahkan pengguna.
Segala data yang ada di bawah kementerian sendiri telah tersedia untuk dibekalkan kepada kerajaan.
Bagaimana pula dengan sistem harga dua peringkat dan kupon pembelian minyak masak peket bersubsidi?
Sesi libat urus masih berlaku antara kementerian dengan pemain industri. Saya telah berjumpa dengan mereka seawal minggu kedua selepas masuk pejabat antaranya Felda, FGV, Sime Darby dan sebagainya.
Dalam sesi libat urus itu, saya minta kalau boleh harga minyak sawit diturunkan kerana ia melibatkan sekitar enam peratus penggunaan tempatan sahaja dan selebihnya boleh dieksport.
Mereka mengaut keuntungan yang begitu besar. Sebagai pulangan, pemain industri mencadangkan supaya mereka diberi secukupnya tenaga buruh asing.
Dalam keputusan kabinet baru-baru ini turut memberi penekanan menyegerakan isu buruh asing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beri tempoh tiga bulan agar keperluan tenaga buruh yang meliputi sektor pembuatan, pembinaan, peladangan dan pertanian diselesaikan.
Isu ini mesti diselesaikan dahulu dengan harapan kecukupan tenaga buruh akan menyumbang ke arah menstabilkan kembali harga barangan keperluan dalam negara.
Apabila ada pengumuman subsidi, harga barangan akan naik. Itu kebiasaannya yang akan berlaku. Apa perancangan agar ia tidak berulang?
Dari segi ekonomi, sebenarnya tugas KPDN untuk mengawal kestabilan. Semua orang tahu, lebih kurang 41,000 barangan yang terdapat di pasaran ini dikawal kerajaan demi kepentingan rakyat.
Kementerian akan mengawal (harga) dengan mengadakan rundingan bersama pemain industri demi kepentingan rakyat.
Selebihnya usaha kerajaan untuk meningkatkan pendapatan rakyat sekali gus meningkatkan pendapatan isi rumah. Ini peranan besar yang kita harapkan dalam Kerajaan Perpaduan.
Imej Perdana Menteri akan merancakkan lagi perniagaan domestik dan menarik pelabur asing ke dalam negara. Tetapi tugas KPDN untuk sentiasa mengawal harga dan kecukupan di pasaran.
Apa kaedah kementerian dalam menangani kenaikan harga selepas barangan keperluan seperti minyak dan telur kembali stabil?
Fenomena ini berlaku dalam semua industri di mana mereka tidak mahu menurunkan harga selepas bekalan stabil. Tetapi ini ada kaitan dengan isu melibatkan subsidi yang membuka ruang berlakunya ketirisan dan juga salah guna kuasa atau salah guna barangan subsidi.
Dalam menjawab perkara itu, saya merasakan mungkin lebih banyak libat urus perlu dilakukan dengan pemain industri. Antaranya saya berjumpa dengan Kumpulan YTL kerana harga simen menjadi isu yang orang ramai marah.
Dengan beberapa siri perjumpaan ini saya harap mereka dapat mengawal harga.
Saya suka katakan sesi libat urus menjadi positif apabila ia kerap diadakan terutamanya dengan pihak pasar raya besar. Atas libat urus bersama kita, mereka boleh membuat jualan murah B40 untuk suatu tempoh.
Contohnya, Econsave kita bagi tempoh empat bulan. Ada 1,000 item yang boleh diturunkan harga dari tiga hingga 30 peratus. Ia melibatkan lampin pakai buang kanak-kanak diturunkan sehingga hampir RM10, susu formula dan sebagainya.
Saya yakin lebih kerap kita libat urus dengan pemain industri, rakyat dapat menikmati harga lebih baik.
Bagaimana dengan kenaikan harga makanan seperti kedai makan dan penjaja sedangkan harga barangan telah pun kembali stabil?
Setakat ini bekalan cukup tetapi jangan ada penyeludupan ke sempadan. Perkara itu tidak boleh dikompromi. Sekarang tiada tangkapan besar.
Sememangnya terdapat aduan mengenai kenaikan harga di kedai makan.
Ada juga aduan seperti restoran atau kedai makan biasa didapati menggunakan 17 pek minyak masak subsidi setiap hari.
Bayangkan jika tukang masak sedang goreng mi, kita rampas. Saya rasa itu tidak bagus.
Bagaimana Datuk Seri mengawal tanggapan terhadap dakwaan KPDN memilih kasih dalam tindakan?
Tidak. Kita lihat lebih kepada kemanusiaan dengan pemain industri yang besar. Kita adakan juga libat urus tetapi kalau mereka melakukan kesalahan yang besar itu tidak boleh kompromi.
Adakah cadangan untuk mewujudkan satu kuota khusus minyak masak subsidi kepada peniaga?
Kita sedang mengkaji bagaimana boleh kita salurkan subsidi kepada peniaga-peniaga kecil yang mengendali restoran dan kedai makan. Ada pandangan bahawa perlu satu label khusus untuk peniaga kecil.
Mungkin kita boleh jual harga RM3 hingga RM3.50 bagi satu kilogram minyak subsidi. Ia masih murah tetapi kajian mengenai perkara ini masih belum selesai.
Klik di sini untuk terus membaca