SHAH ALAM - Tindakan memboikot peniaga yang dirasakan mengenakan harga terlalu tinggi bukan suatu penyelesaian masalah, sebaliknya kerajaan perlu mengambil tindakan segera bagi memastikan harga barangan tersebut turun.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, kerajaan perlu mencari jalan untuk menyelesaikan masalah berkaitan harga barang dan bukannya membiarkan pengguna untuk membuat pilihan dengan mengelak daripada membeli barangan yang ditawarkan pada harga mahal.
"Sekarang ini, kita tak boleh biarkan pengguna selesaikan masalah tersebut dan sepatutnya kerajaan memainkan peranan.
"Pengguna dalam tempoh ini mempunyai keperluan dan mereka terpaksa membeli barangan tersebut (meskipun ia mahal).
"Kerajaan sepatutnya meneliti masalah yang berlaku bagi memastikan barangan ditawarkan mencukupi dan harganya lebih berpatutan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Dalam pada itu, Mohideen mencadangkan langkah untuk menyelesaikan masalah tersebut adalah dengan mengurangkan eksport barangan tempatan ke luar negara selain meningkatkan pengeluaran tanaman sendiri di negara ini.
"Negara kita ada eksport telur, ayam ke luar negara dan apabila berlakunya masalah maka kerajaan ada ambil tindakan untuk kurangkan eksport.
"Selain itu, sepatutnya tidak perlu lagi mengimport barangan sebaliknya, ambil langkah dengan meningkatkan pengeluaran barangan mentah sendiri di negara ini,” ujar Mohideen.
Jelas beliau, kira-kira 60 peratus sayur-sayuran diimport dari luar negara dan ia adalah salah satu punca kenaikan harga.
"Kita import sayur-sayuran dari negara antaranya China, Vietnam dan India seperti ubi kentang, kubis serta lain-lain lagi. Pada hal cuaca di Malaysia ini sebenarnya sesuai untuk tanaman sedemikian.
"Jadi kerajaan perlu meningkatkan tanaman sayuran-sayuran di negara ini selain tidak lagi terus bergantung dengan import dari negara luar,” jelasnya.
Mohideen berkata lagi, salah satu faktor kerajaan juga sukar mengawal harga barangan tersebut adalah kerana ia diimport dari negara luar
"Harga sayuran keluaran tempatan masih boleh dikawal, namun kalau import dari luar negara, maka kita tidak boleh kawal harga itu.
"Malah peniaga terpaksa menjualnya dengan harga mahal sekali gus membebankan pengguna,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca