SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan isu politik wang yang dikaitkan dengan calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu dianggap sebagai cubaan UMNO untuk memburukkan koalisi politik... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan isu politik wang yang dikaitkan dengan calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu dianggap sebagai cubaan UMNO untuk memburukkan koalisi politik itu.

Walhal kata, Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan, semua telah mengetahui bahawa cash is king adalah budaya yang dikaitkan dengan UMNO sebelum ini.

"Mereka sebenarnya mahu melarikan perhatian rakyat daripada hakikat bahawa UMNO adalah parti yang dipimpin oleh kluster mahkamah yang korup.

"Sebab itulah mereka cuba mencalarkan imej Bersatu dan Pas yang sehingga hari ini merupakan satu-satunya parti yang bersih dan berintegriti dalam negara kita cintai ini.

"Saya menjangka serangan dan cubaan membunuh karakter ini akan berterusan dilakukan oleh UMNO dan Pakatan Harapan (PH) kerana mereka terpaksa menutup kegagalan mentadbir dengan melarikan perhatian rakyat kepada fitnah-fitnah ciptaan mereka," katanya kepada Sinar Premium pada Isnin.

Pada Sabtu, Abdul Hadi menyifatkan pemberian wang tunai sewaktu kempen pilihan raya tidak menyalahi peraturan kerana ia hanyalah sedekah kepada pengundi oleh orang awam.

Namun begitu, kenyataan yang dikeluarkan Abdul Hadi menerima pelbagai respon negatif terutama daripada pimpinan UMNO.

Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil meminta agar Abdul Hadi tidak mencari sebarang dalil bagi tujuan menghalalkan perbuatan rasuah.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu menegaskan, tindakan memberi wang kepada pengundi semasa pilihan raya dan menyuruh mereka bersumpah untuk mengundi Pas bukan sedekah, sebaliknya ia adalah sogokan atau rasuah.

Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pula menegaskan, pemberian duit semasa kempen pilihan raya adalah bergantung kepada niat dan tujuan seseorang itu.

Katanya, tidak sepatutnya memfokuskan kepada pemberian, namun punca duit itu diberikan.

Sementara itu, Ketua Penerangan Ikram Muda Malaysia, Usaid Asmadi berkata, kenyataan yang dikemukakan oleh Hamzah sekiranya tidak dicermati dengan baik boleh menimbulkan ruang yang sangat besar untuk berlakunya penyalahgunaan terhadap elemen melibatkan rasuah dan sedekah.

Usaid Asmadi

Menurutnya, hanya kerana berdasarkan niat dan tujuan, perkara seumpama itu sangat kabur malah membuka ruang untuk berlakunya galakan perbuatan rasuah atas nama sedekah atau hadiah.

Jelasnya, situasi sedekah juga perlu dilihat kepada keadaan yang memungkinkan wujudnya unsur-unsur tertentu iaitu sekiranya sesuatu jumlah duit itu diberi dalam tempoh berkempen pada pilihan raya.

"Adakah pemberian wang itu mempunyai unsur-unsur hendak mendapatkan undi daripada seseorang? Atau sekadar mahu mewujudkan rasa terhutang budi atau wujud dorongan permintaan mengundi spesifik kepada parti tertentu? Maka semua itu boleh dikira sebagai unsur di dalam gejala rasuah.

"Parti politik harus berhenti daripada sikap politik undi kepada politik bakti. Politik undi adalah usaha yang dibuat hanya kerana kepentingan undi.

"Oleh sebab itu, kita dapat lihat bagaimana bersungguhnya mereka membantu rakyat ketika semakin dekat pilihan raya tetapi perkara sebaliknya berlaku apabila ketika mana tiada pilihan raya," katanya.

Sehubungan itu menurutnya, rakyat harus bijak dan mempunyai kesedaran tinggi terhadap apa-apa usaha ingin membeli undi atau memberi rasuah daripada pihak-pihak tertentu.

Usaid berkata, sekiranya rakyat mempunyai sikap yang tegas menolak sebarang pemberian daripada ahli politik ketika menjelang pilihan raya dan mendedahkan salah laku yang dilakukan oleh calon, maka Malaysia akan beroleh pemimpin yang bersih serta ikhlas berkhidmat untuk negara.

"Sekiranya kita sebagai pengundi mempunyai jati diri tinggi, kita pastinya akan dapat memaksa wakil rakyat seperti ini berhenti daripada terus memberi rasuah atas nama sedekah atau hadiah," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca