SHAH ALAM - Tindakan memberikan wang kepada mana-mana pihak untuk meraih undi tidak boleh disifatkan sebagai sedekah kerana ia merupakan satu bentuk sogokan atau rasuah.
Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin berkata, sesuatu perbuatan tidak boleh dikira sebagai sedekah sekiranya ia dilakukan dengan mengharapkan balasan.
"Jika sesuatu transaksi itu ada timbal balasnya, ia bukanlah sedekah tetapi lebih kepada perniagaan, suapan, sogokan, rasuah atau lain-lain transaksi dan bukan sedekah.
"Oleh itu, bergantung kepada niat seseorang. Jika pemberian wang itu untuk meraih undi maka itu sogokan atau rasuah,” katanya ketika dihubungi.
Badlishah berkata, pemberian sedekah seeloknya diberikan kepada kumpulan sangat memerlukan seperti orang fakir dan miskin antaranya melalui badan kebajikan.
Dalam pada itu, beliau berkata, meskipun perjalanan pilihan raya sememangnya memerlukan wang untuk memastikan pergerakan jentera seperti mencetak poster dan menyambut tetamu, namun pemberian wang untuk meraih undi tidak dibenarkan demi mengelakkan aktiviti rasuah.
"Sebaiknya apa sahaja bantuan kewangan untuk pengundi tidak digalakkan supaya tidak ditafsirkan sebagai membeli undi. Ini bertepatan dengan etika politik yang sihat,” ujarnya.
Sehubungan itu Badlishah berkata, Akta Pendanaan Politik perlu diwujudkan bagi menambah baik kawal selia perbelanjaan pilihan raya dan seterusnya memastikan sistem demokrasi negara dijalankan dengan telus dan bersih.
"Kewujudan akta berkenaan dapat memantau sumber kewangan diperolehi parti politik serta ke mana ia dibelanjakan. Maka ia dapat membina suasana politik yang lebih sihat insya-ALLAH pada masa hadapan,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca