SHAH ALAM - Pemberian yang mengharapkan balasan tertentu atau timbal balik daripada penerima adalah satu bentuk rasuah. Pensyarah Fiqh Fatwa Semasa di Pusat Kajian Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pemberian yang mengharapkan balasan tertentu atau timbal balik daripada penerima adalah satu bentuk rasuah.

Pensyarah Fiqh Fatwa Semasa di Pusat Kajian Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, berlainan dengan konsep sedekah yang merupakan pemberian kepada golongan memerlukan dengan tujuan mahu mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.

Katanya, sedekah diberikan kepada mereka yang layak tanpa melihat kepada kawasan, pejabat atau negeri sahaja, ia boleh disalurkan ke mana sahaja.

"Tetapi kalau kita hanya memperuntukkan duit atau pemberian hanya untuk kawasan tertentu sahaja, itu jadi masalah kerana ia berbalik kepada niat dan situasi yang sedang dilalui.

"Sedekah yang hanya diberi kepada orang di kawasan kita, tidak boleh (kerana) sedekah kena beri kepada mereka yang selayaknya dan bukan kepada individu ada pangkat, jawatan. Mereka tidak layak menerima sedekah,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Sabtu lalu yang menyifatkan pengagihan wang daripada orang awam kepada pengundi ketika pilihan raya adalah satu bentuk sedekah.

Abdul Hadi mengulas mengenai langkah UMNO Terengganu memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di tiga kerusi Parlimen iaitu Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman yang dimenangi calon Pas.

Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dilaporkan berkata, petisyen pilihan raya itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 3 Januari lalu atas alasan parti lawan merasuah pengundi di ketiga-tiga Parlimen berkenaan sepanjang tempoh kempen PRU15.

Bekas Menteri Besar Terengganu itu mendakwa, Pas memberi wang bermula 15 hingga 17 November lalu iaitu dua hingga empat hari sebelum PRU15 dengan kebanyakan isi rumah menerima antara RM500 hingga RM1,000.

Sementara itu, Mohd Izhar Ariff berpandangan, budaya pemberian wang melibatkan individu tertentu perlu dihapuskan kerana boleh mendatangkan pertikaian antara orang ramai hingga menyebabkan perbalahan.

Katanya, untuk mengelakkan perkara itu berlaku dan menimbulkan penjelasan tidak tepat, perbuatan itu harus ditinggalkan malah lebih baik tidak dilakukan langsung pada masa akan datang.

"Sebab itu Nabi Muhammad SAW mengharamkan rasuah kerana ia menyebabkan pengambilan atau pemilihan pemimpin yang tidak layak. Pemimpin perlu dipilih berdasarkan kemampuan, kekuatan dan apa yang dimiliki untuk jadi seorang pemimpin, bukan disebabkan apa yang telah dilaburkan.

"Namun sekiranya nak juga memberi, biarlah dengan keikhlasan bukan sebab mahukan jawatan, undian atau balasan daripada orang yang menerima pemberian itu. Tidak perlu tentukan sedekah itu hanya untuk kawasan tertentu, buat secara umum, beri kepada fakir miskin dan layak.

"Tetapi kalau dari awal sebelum dilantik (jawatan), individu itu dikenali dengan sifat pemurah dan suka belanja, maka tiada masalah (kerana) hukumnya sama dalam kitab fiqah yang disebut apabila seorang hakim dilantik sebagai hakim, dia tidak boleh menerima bayaran, belanja makan dan sebagainya (malah) dia yang kena belanja orang makan,” ujarnya.

Sementara itu Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail menjelaskan, pemberian daripada individu bagi memanfaatkan diri sendiri tanpa mengundang agenda personal, tidak seharusnya dipertikaikan.

"Sekiranya niat pemberian itu adalah untuk mendapat keredaan ALLAH SWT dan tidak melibatkan balasan, ia dikira sedekah. Namun sekiranya melibatkan orang yang berkuasa (untuk) memotong hak orang lain, maka itu rasuah,” jelasnya. SHAH ALAM

Klik di sini untuk terus membaca