SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) masih mempunyai peluang untuk mengubah tahap penerimaan pengundi Melayu terhadap gabungan itu dalam tempoh beberapa bulan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), pada tahun ini. Pensyarah Sosiologi Politik,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) masih mempunyai peluang untuk mengubah tahap penerimaan pengundi Melayu terhadap gabungan itu dalam tempoh beberapa bulan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), pada tahun ini.

Pensyarah Sosiologi Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, PN boleh memberikan perhatian terhadap pengundi pertama kali atau atas pagar dalam kalangan bukan Melayu yang menurutnya memiliki jumlah agak signifikan untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya berkenaan.

Menurut beliau, kemungkinan itu juga disokong dengan melihat kepada corak pengundian rakyat Malaysia yang kini mula lebih terbuka dan tidak cenderung setia kepada mana-mana parti politik.

"Kalau kita bandingkan sokongan daripada Melayu sekalipun, kita lihat bagaimana dalam masa beberapa bulan, sokongan (ketika Pilihan Raya Umum Ke-15) itu berbeza daripada keputusan di PRN Melaka dan Johor.

"Jadi sekarang ini pengundi tidak statik tapi bersifat dinamik. Mereka tidak mempunyai ikatan dan keabsahan politik kepartian atau kesetiaan kepada parti tertentu. Ia boleh berubah-ubah dengan sekelip mata,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun, Sivamurugan berkata, PN yang terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan perlu segera memberikan mesej lebih jelas kepada pengundi bukan Melayu untuk membina sokongan dan kepercayaan kaum berkenaan.

Jelas beliau, ia antara lain membabitkan usaha menyeimbangkan agenda Melayu Islam dibawa Pas dan penekanan terhadap kempen dibawa gabungan tersebut dalam PRU sebelum ini iaitu pentadbiran bersih dan stabil.

Penganalisis politik daripada Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Dr Abdul Muqit Muhammad pula berkata, berbanding ketika PRU15, PN terutamanya Pas dilihat mula mengendurkan sikap mereka terhadap bukan Melayu dipercayai bagi menarik sokongan kaum tersebut.Namun begitu, berbeza dengan Sivamurugan, beliau berpendapat, agak sukar untuk gabungan itu mencetuskan perubahan corak sokongan daripada bukan Melayu dalam PRN tahun ini.

"Pada saya, sekarang ini dia akan hanya kembali kepada status quo sahaja, sebab kerajaan yang dibentuk ketika ini baru sahaja dibentuk, jadi prestasi tidak nampak jelas daripada segi perubahan yang berlaku.

"Jadi, untuk negeri yang berada di bawah Pakatan Harapan (PH) contohnya seperti Selangor akan kekal dengan gabungan itu. Negeri-negeri lain seperti Terengganu yang dikuasai Pas juga akan kekal sama,” ujarnya.

Daripada enam negeri yang masih belum mengadakan pilihan raya, tiga daripadanya iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan dikuasai PH, manakala Kedah, Kelantan dan Terengganu dipimpin oleh Pas.

Namun begitu, Abdul Muqit berkata, sekiranya PN berusaha dan konsisten melakukan perubahan dalam pendekatan untuk mendekati pengundi bukan Melayu, kesannya berkemungkinan boleh dirasai pada PRU akan datang.

"Kena ingat undi bukan Melayu terhadap PH terutamanya pengundi Cina tidak tetap, ia boleh berubah. Ini kerana sikap pengundi bukan Melayu ini lebih bersifat rasional seperti isu ekonomi dan kos sara hidup.

"Jadi kalau kerajaan ketika ini gagal menangani isu tersebut, ada kemungkinan besar untuk para pengundi ini beralih.

"PN tidak perlukan banyak pun untuk undi bukan Melayu. Pada saya, perikatan itu hanya perlukan sekitar 30 atau 20 peratus, itu pun sudah cukup untuk menguasai majoriti mudah di Parlimen,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca