SHAH ALAM - Kerajaan perlu pertimbang rayuan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang terjejas untuk mengeluarkan wang simpanan mereka demi kelangsungan hidup, kata Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tasik Gelugor berkata, pengeluaran KWSP tersebut mesti mempunyai kriteria jelas dan dilakukan secara bersasar.
"Apa guna ada wang untuk bersara 20 tahun lagi jika nak hidup 20 hari pun tidak mampu?
"Ya, menabung untuk hari tua adalah penting. Sebab itulah bagi saya, perlu pertimbang pengeluaran bersasar. Bukan pengeluaran semberono,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Pada 16 Januari, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan perlu membuat penelitian lanjut dan mempertimbangkan masa depan pencarum sebelum membuat keputusan membenarkan pengeluaran sekali lagi tabung KWSP.
Menurut Anwar, hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati majoriti simpanan kumpulan pencarum berkenaan terlalu rendah sekali gus boleh membuatkan golongan ini berhadapan pelbagai kesukaran pada masa depan.
Jelas Anwar, adalah lebih baik kerajaan mencari jalan lain bagi membantu rakyat yang terkesan dengan wabak Covid-19.
Anwar berkata demikian selepas terdapat sekumpulan pencarum meminta Anwar mempertimbangkan satu lagi skim pengeluaran awal KWSP sehingga RM30,000.
Tambah Wan Saiful, kerajaan perlu percaya dengan kebolehan rakyat dalam merancang dan menguruskan kewangan mereka sendiri.
"Janganlah pula kerajaan anggap rakyat ini bodoh dan tidak tahu nak menjaga diri dan masa depan keluarga sendiri. Perlu yakin dengan kebijaksanaan rakyat mengurus kewangan keluarga,” ujarnya.
Wan Saiful turut mendakwa bahawa Kerajaan Perpaduan yang diwujudkan sejak Disember lepas masih gagal mengawal kenaikan kos sara hidup dan mengemukakan idea baharu untuk membantu rakyat membendung isu tersebut.
"Yang ada hanyalah menteri-menteri yang menyalahkan rakyat sahaja,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin berpendapat bahawa kemudahan akses kepada KWSP perlu hanya dibenarkan kepada pencarum yang masih tidak mengeluarkannya lagi.Bagaimanapun beliau bersetuju dengan pendirian kerajaan untuk tidak membenarkan penggunaan simpanan KWSP kepada mereka yang telah melakukannya sebelum ini.
"Sebab Kerajaan Perpaduan pada ketika ini sedang merancang beberapa pendekatan untuk melihat masalah yang dihadapi rakyat termasuk kos sara hidup,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca