IBU bapa mempunyai harapan berbeza terhadap hasil pembelajaran anak-anak setelah melalui alam persekolahan.
Sebahagian ibu bapa berharap anaknya memperoleh pencapaian cemerlang dalam peperiksaan, melanjutkan pendidikan sehingga peringkat tinggi dan akhirnya mendapat pekerjaan yang selesa.
Sebahagian ibu bapa lain pula berharap anaknya mempunyai ciri sahsiah dan akhlak terpuji dan tidak gusar jika prestasi akademiknya rendah dibandingkan dengan rakannya.
Sebahagian ibu bapa lagi berharap keseimbangan berlaku, anaknya cemerlang dalam bidang akademik dan pada masa sama, menonjolkan ciri ciri unggul dalam akhlak serta peribadinya.
Hasil pendidikan seperti yang dihasratkan oleh ibu bapa bergantung kepada hala tuju sistem pendidikan dilalui anak-anak.
Dalam hubungan ini, hala tuju sistem pendidikan negara telah melalui beberapa fasa.
Pada tahun 1950-an, proses pendidikan pada umumnya adalah proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) berlandaskan kepada hafalan. Pencapaian pembelajaran diukur melalui peperiksaan awam.
Gred diberikan berasaskan respons murid kepada soalan peperiksaan diberikan pada penghujung persekolahan.
Pendekatan pengajaran ketika itu berasaskan kaedah latih tubi. Pencapaian murid diukur berdasarkan prestasi menjawab soalan peperiksaan dalam masa tertentu.
Kaedah pendekatan sistem persekolahan ketika itu berkait rapat kemajuan sosioekonomi negara. Sistem pendidikan begini dapat memenuhi kehendak industri.
Pada tahun 1960-an, berikutan reformasi pendidikan di seluruh dunia, para pendidik dan penggubal dasar pendidikan negara merasakan bahawa keupayaan murid menguasai kemahiran dengan cekap semata-mata tidak mencukupi.
Penekanan kepada kefahaman adalah penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Murid bukan sahaja perlu menguasai kemahiran, tetapi juga mesti memahami apa yang dipelajari.
Ketika itu banyak perdebatan berlaku dalam kalangan para pendidik mengenai sama ada kefahaman perlu ditekankan dahulu diikuti dengan kemahiran atau kemahiran diperlukan untuk mencapai kefahaman.
‘Makna’ dalam pembelajaran mula diberi penekanan dalam proses PdP.
Pada era 1980-an pula, para pendidik mula prihatin terhadap peranan pendidikan dalam membentuk manusia. Proses pendidikan banyak melahirkan para cerdik pandai dalam pelbagai bidang.
Namun terdapat juga pelajar cemerlang dalam persekolahan tetapi tidak mempamerkan sikap atau ciri peribadi yang dihasratkan sistem pendidikan kita.
Ketika itu Falsafah Pendidikan Kebangsaan mula disuratkan sebagai hala tuju proses pendidikan. Nilai murni mula diterapkan dalam proses PdP.
Tetapi kehendak sosioekonomi menyebabkan pencapaian prestasi pelajar masih merupakan fokus utama pendidikan. Penerapan nilai murni tidak mendapat peranan utama.
Pencapaian lebih diutamakan dan kemenjadian atau pembinaan akhlak serta sahsiah hanya sampingan. Untuk mendepani cabaran terkini, negara memerlukan hala tuju pendidikan lebih konsisten dan lestari.
Pengalaman jelas menunjukkan bahawa hasil pembelajaran yang digariskan daripada pernyataan falsafah adalah lebih utama.
Negara sudah pasti tidak memerlukan rakyat yang bijak dan berketrampilan tetapi dalam masa sama mementingkan diri sendiri, menimbulkan gejala sosial, menyalahgunakan ilmu dan kuasa, serta melakukan salah laku rasuah.
Sebaliknya kita memerlukan rakyat yang mempunyai sifat seimbang dan harmonis dari sudut jasmani, emosi, rohani dan intelek.
Sahsiah seperti ini lebih utama, konsisten dan lestari seperti tertera dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Ini memberi implikasi bahawa kita harus memberi penekanan kepada kemenjadian murid sebagai teras utama pendidikan.
Pendidikan negara harus ditalakan sebagai proses berterusan kemenjadian manusia bermula di peringkat sekolah.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) wajar membuat penilaian semula hala tuju pendidikan negara dengan menerapkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang lebih mantap.
Usaha ini perlu bermula dengan mentakrifkan "...insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani...”
* Dr Noor Azlan Ahmad Zanzali ialah Ahli Unit Penyelidikan dan Pembangunan Pendidikan Ikram Musleh
Klik di sini untuk terus membaca