MINGGU lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan menyampaikan amanat tahun baharu dan menyempurnakan Pelancaran Pelan Antirasuah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di hotel Royale Chulan. Selain menekankan supaya LTAT terus... Klik di sini untuk terus membaca

MINGGU lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan menyampaikan amanat tahun baharu dan menyempurnakan Pelancaran Pelan Antirasuah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di hotel Royale Chulan.

Selain menekankan supaya LTAT terus fokus dengan objektif utamanya meningkatkan faedah dan memenuhi kesejahteraan sosial warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), beliau juga menyeru warga melihat integriti dan tadbir urus baik dalam konteks yang luas dan tidak hanya tertumpu kepada jenayah rasuah.

Sehari kemudian, Ketua Setiausaha, Datuk Seri Muez Abdul Aziz menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2023 dengan menekankan agar warga ATM sentiasa melestarikan kelangsungan amalan pembudayaan integriti dalam perkhidmatan awam.

Beliau juga mengharapkan warga Kementerian Pertahanan menjauhkan sifat-sifat mazmumah seperti menyeleweng, salah guna kuasa dan terlibat dalam amalan rasuah.

Penekanan terhadap amalan urus tadbir baik, integriti, mengelakkan ketirisan dan pembaziran kewangan serta antirasuah telah ditonjolkan sebagai tema utama kerajaan hari ini.

Langkah ini amat diperlukan bagi menangani masalah hutang negara yang telah mencapai tahap kritikal dan boleh dikaitkan secara langsung dengan ‘budaya’ rasuah dan kepincangan tadbir urus yang bersifat seperti api dalam sekam.

Sektor pertahanan negara kerap dikaitkan dengan amalan kurang sihat ini. Apa lagi dengan pelbagai skandal yang begitu menonjol melibatkan dana besar sejak beberapa tahun kebelakangan.

Anjakan mahu dilakukan pucuk kepimpinan Kementerian Pertahanan Kerajaan Perpaduan bukan satu budaya asing atau baharu, malah perkara sama turut mahu dilakukan kerajaan terdahulu.

Yang menjadi batu penghalang ialah sejauh mana pucuk kepimpinan kerajaan serta rakyat marhaen benar-benar serius mahu menangani isu tersebut.

Negara mempunyai pelbagai mekanisme langkah pencegahan, undang-undang, khidmat nasihat serta program khusus berkaitan isu antirasuah.

Selain itu, mekanisme agama apabila sebahagian besar kepimpinan politik serta penjawat awam majoritinya beragama Islam telah memberi amaran keras terhadap pemberi dan penerima rasuah.

Contohnya, di peringkat nasional terdapat tiga entiti yang khusus memberi fokus kepada isu rasuah iaitu Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

GIACC mempunyai pelan Pembangunan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan dijulang sebagai pencapaian utama dalam mendukung usaha penting kerajaan untuk meningkatkan tadbir urus dan integriti ke arah membanteras rasuah.

Bagi IIM untuk tempoh 2018 sehingga 2021, sebanyak 214 agensi dari pada sektor awam dan swasta telah menerima konsultansi daripada IIM dengan 1,944 peserta menyertai pelbagai latihan dan konsultansi.

Pendedahan diberi termasuk berkaitan Sistem Pengurusan Antirasuah atau Anti-Bribery Management System (ABMS), Pelan Antirasuah Organisasi (OACP), Pelan Integriti Organisasi (PIO), Corruption Risk Management (CRM) dan Corruption Risk Assessment (CRA).

SPRM pula sekian lama telah melaksanakan pengesanan dan penyiasatan berhubung rasuah, meneliti amalan, sistem dan tata cara badan awam berhubung ruang dan peluang rasuah, menasihati badan awam serta mendidik masyarakat membanteras rasuah.

Kementerian Pertahanan juga komited dalam membanteras segala bentuk rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan serta memastikan pengurusan dasar pertahanan, pentadbiran dan pengurusan dilaksanakan dengan cekap, telus dan bebas rasuah.

Seiring dengan pelaksanaan NACP, Tentera Darat (TD) umpamanya membangunkan Pelan Antirasuah Tentera Darat (PAR TD) 2021-2025 dengan matlamat ke arah kecemerlangan integriti dan bebas rasuah.

Sistem Pengurusan Antirasuah selaras dengan keperluan MS ISO 37001:2016 telah diterima pihak TD pada Julai tahun lalu untuk memastikan amalan antirasuah dilaksanakan secara berterusan.

Gabungan mekanisme kerajaan dan nilai agama sepatutnya telah berjaya bertindak sebagai deteren kepada aktiviti rasuah, namun sehingga tahun lalu, bara yang membakar negara dari dalam dilihat semakin besar.

Walaupun pelbagai agensi ditubuhkan dan mekanisme antirasuah dibentang, adalah sukar melakukan perubahan jika kepimpinan di semua peringkat baik politik, penjawat awam, masyarakat dan sektor swasta tidak benar-benar ikhlas berniat untuk membasmi rasuah.

Dengan gendang perang kemelut pemerintahan negara masih lagi dipukul oleh pihak yang tewas dan isu takrifan rasuah pun mahu diubah maksudnya adalah sukar untuk negara bergerak ke depan dalam perkara ini.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima Anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.

Klik di sini untuk terus membaca