MASALAH infrastruktur di Parlimen Hulu Selangor sering kali diperdebatkan kerana sehingga kini, belum berjaya diselesaikan sepenuhnya.
Ia ditambah dengan isu peningkatan kos sara hidup yang cukup membebankan bagi sebilangan penduduk dalam menjalani kehidupan seharian dan yang mencari rezeki dengan berniaga.
Ahli Parlimennya, Hasnizan Harun berkata, sebagai wakil rakyat, beliau perlu menggunakan pelbagai saluran termasuk media sosial bagi memastikan masalah rakyat di kawasannya itu dapat diselesaikan.
Ikuti wawancara eksklusif wartawan Sinar Harian, Izwan Rozlin bersama Hasnizan di pejabatnya, baru-baru ini.
SINAR HARIAN: Apakah kaedah Yang Berhormat (YB) gunakan dalam usaha menyelesaikan isu-isu di Hulu Selangor?
HASNIZAN: Kebanyakan isu di Hulu Selangor ini adalah isu-isu lama yang perlu diberi perhatian terutama membabitkan prasarana seperti jalan raya berlubang, banjir kilat disebabkan kelemahan sistem perparitan.
Saya gunakan media sosial untuk mengetengahkan sesuatu isu agar ianya dapat terus diselesaikan dengan lebih tuntas.
Niat saya bukan untuk menghentam, tetapi pendekatan saya lebih kepada luahan hati rakyat, saya temu ramah dan mereka cerita masalah satu persatu.
Alhamdulillah.. saya melihat beberapa tindakan telah diambil. Contohnya di Taman Bunga Raya ini, lampu jalan, lampu terlindung pokok, jalan raya mula dibaiki. Jadi ada komitmen daripada pihak bertanggung jawab bila isu ini diangkat.
Bagaimana maklum balas daripada rakyat dan pihak berwajib bila YB menggunakan media sosial untuk menyiarkan masalah setempat?
Saya bukan viral sekadar nak dapat publisiti. Contoh di simpang empat Sungai Buaya, situasi berbahaya di situ dan ramai yang mencadangkan disediakan lampu isyarat sedangkan laluan sibuk ketika waktu puncak saja, sesuaikah?
Apa yang saya cadangkan ialah dibuat satu bulatan kecil (roundabout) di situ. Jadi maknanya dia kena ikut arus trafik dan jalan tidak akan sesak.
Semua saya ceritakan di video atau live yang saya buat, tak semestinya saya nak salahkan pihak tertentu tapi saya juga permudahkan urusan mereka dengan menjawab persoalan rakyat.
Tapi saya juga dalam merangka pertemuan dengan semua pihak termasuk Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPS), Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor, Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membawa berkaitan kemudahan dan apa yang rakyat di sini mahukan.
YB cuba memperjuangkan isu peneroka Felda. Apa pengalaman YB?
Berkaitan dengan Felda, saya bukan nak cari masalah atau hendak menimbulkan keresahan kepada pihak Felda. Saya hanya menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.
Komen dan info sampai kepada saya sudah lama. Sebab saya dahulu adalah AJK (Ahli Jawatankuasa) Lajnah Tanah Pas Pusat termasuklah Felda sebelum saya jadi Bendahari Pas Selangor.
Akhirnya saya buat keputusan , saya akan turun padang naik motosikal dan lihat apa yang berlaku di situ,
Seorang warga Felda berumur 80 tahun, generasi pertama Felda cerita apa masalah berlaku di Felda yang kemudian saya siarkan di Facebook (FB) saya.
Tetapi saya tidak memfitnah Felda, saya hanya ceritakan balik dan ulas apa maklumat yang saya terima. Akibatnya FB saya berkaitan Felda telah dihide oleh admin FB , saya boleh tengok tetapi pasukan saya dan orang lain tak boleh tengok semula posting itu. Sampai tahap itu mereka buat pada saya.
Apa pendekatan yang digunakan bagi membantu golongan B40?
Kita ada bagi sumbangan berupa barangan keperluan asas, makanan di kawasan banyak golongan asnaf dan yang memerlukan.
Kos sara hidup tinggi antara punca mereka sukar untuk menjalani kehidupan seharian. Harga barang mahal jadi mereka berniaga untuk cari punca rezeki.
Namun berniaga juga kena ikut undang-undang, kalau kata syarat lesen kena kemas khemah, jadi ikutlah.
Jangan sampai barangan niaga kena sita nanti dah susah tak dapat berniaga, perkara ini sering saya nasihatkan agar tidak menjadi masalah di kemudian hari.
Masalah infrastruktur kawasan mana lagi yang diberi tumpuan?
Satu lagi isu air longkang melimpah masuk dalam tujuh buah rumah penduduk di Ulu Yam. Isu ini sama juga videonya telah disiarkan.
Video itu yang menariknya dapat visual air itu masuk ke dalam rumah dan perkara itu sudah berlaku selama lebih 20 tahun.
Sejak menang pilihan raya, saya bergerak tidak berhenti lagi. Dari Bukit Beruntung, saya pergi ke Ulu Yam di Batang Kali, masuk kawasan Felda dan Alah Batu. Alah Batu ini ada 37 buah rumah dengan kapasitinya penduduknya 160 orang.
Saya bertemu mereka dengan kerjasama NGO dapatkan dana untuk beli karpet surau. Termasuk kawasan orang asli di Changkat Bintang, Changkat Bintang ini dalam proses baik pulih dapur,dan juga pembelian karpet untuk orang asli.
Apa sumbangan YB dalam menyelesaikan tragedi Jalan Genting-Batang Kali yang runtuh, baru-baru ini?
Hari pertama kejadian sebenarnya satu pasukan dari Unit Amal Pas telah turun ke lokasi untuk membantu, namun kami terpaksa akur dengan arahan hanya agensi kerajaan sahaja boleh terlibat dalam operasi menyelamat. Jadi saya dan pasukan undur diri untuk memberi laluan
Walau bagaimanapun saya cuba bawa suara rakyat terutama kakitangan Genting Highland agar dapat melalui jalan itu untuk ke tempat kerja.
Terima kasih kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari kerana membantu sehinggakan laluan itu telah dapat dibuka khusus untuk pekerja Genting.
YB mengalami kesukaran kerana dana untuk ahli Parlimen pembangkang disekat, benarkah?
Apa yang boleh bantu saya akan bantu. Saya tidak dapat peruntukan ahli Parlimen tapi saya buat apa yang terdaya.
Sesuatu isu saya suka kongsi kepada masyarakat, saya tidak mahu buat kenyataan yang tidak betul. Bila betul saya tak dapat peruntukan saya akan ceritakan , supaya rakyat faham peruntukan itu pergi kepada lawan-lawan saya yang kalah pada pilihan raya umum lalu. Memang hal ini tidak adil.
Saya tiada peruntukan pejabat dan peruntukan kepada rakyat malah bajet melibatkan projek infra pejabat daerah sebanyak RM2 juta juga dinafikan.
Saya ada empat orang pembantu yang saya bayar mereka pakai gaji sendiri. Setakat apa yang mampu, kalau lebih saya tidak mampulah.
PROFIL
Nama : Hasnizan Harun
Umur: 52 tahun
Asal : Gopeng, Perak
Status : Berkahwin/anak lima orang
Jawatan : Ahli Parlimen Hulu Selangor
Penglibatan politik :
Yang Dipertua Pas Hulu Selangor
Bendahari Pas Selangor
Bendahari Perikatan Nasional (PN) Selangor
Klik di sini untuk terus membaca